.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

11/29/2005

Dewan Pemuda bantu jentera Pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir

Pasir Mas, Kelantan : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah menghantar petugas ke Pengkalan Pasir untuk membantu jentera pilihanraya sempena dengan Pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir pada 6 Disember 2005.

Seramai 7 orang Ahli Jawatankuasa DPP Kawasan, di ketuai oleh, Timbalan Ketua DPP Kawasan, Nor Azlan Ahmad. DPP Kawasan telah bertugas di Unit Peti Undi (UPU) Pengkalan Pasir, bersama-sama jentera PAS dari Negeri Selangor.

Pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir, diadakan berikutan kematian ADUN Pengkalan Pasir, Wan Abd Aziz Wan Jaffar, daripada PAS, pada 31 Oktober 2005 yang lalu. Di dalam pilihanraya umum yang lalu, Allahyarham Wan Aziz menewaskan Calon Barisan Nasional (BN), Hanafi Mamat dengan majoriti sebanyak 56.

Penamaan calon telah diadakan pada 27 November 2005. Pilihanraya kecil ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara calon PAS, Haji Hanifa Ahmad dan Hanafi Mamat (BN), manakala Dato’ Ibrahim Ali, bertanding diatas tiket bebas.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), telah menetapkan 6 Disember 2005 sebagai hari mengundi.

11/26/2005


BERSEMANGAT.....Calon PAS, Haji Hanifa Ahmad, 59 dijulang tangannya oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato'Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selepas majlis pengisytiharan calon di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas kira-kira jam 11.00 malam tadi.

Dewan Pemuda memerlukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan pejabat


Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang sedang membina dan menyiapkan Pejabat Pentadbiran DPP Kawasan bertempat di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Pejabat yang berukuran 20’ x 20’, mempunyai tiga bahagian iaitu pejabat pentadbiran, bilik perbincangan atau mesyuarat dan ruang legar atau lobi. Pejabat tersebut yang dijangka siap sepenuhnya sebelum akhir Disember 2005, dianggarkan menelan kos keseluruhan sebanyak RM6,418.00.

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom, telah meletakkan batu asas pejabat pentadbiran DPP Kawasan semasa program jamuan Hari Raya dan dialog bersama Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di KOMPAS, anjuran Jabatan Amal PAS Negeri Selangor.

DPP Kawasan masih memerlukan sumbangan dari orang ramai untuk menyiapkan pejabat tersebut. Untuk keterangan lanjut, boleh menghubungi Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, di talian 013-370 7271. Sebarang sumbangan boleh di masukkan ke dalam Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), di atas nama Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Karang, no akaun 12083010009852.

Jabatan Amal Selangor anjur jamuan Hari Raya


Tanjung Karang : Jabatan Amal Negeri Selangor, telah menganjurkan jamuan Hari Raya bersama Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu dan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS), bagi mengutip dana untuk Jabatan Amal Negeri Selangor.

Haji Mohamad Sabu yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, telah memberikan taklimat tertutup dan berdialog dengan ahli-ahli PAS di bilik mesyuarat KOMPAS.

Jamuan tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Turut Hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab dan Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim.

11/11/2005

Ustazah Sabariah Aktivis Muslimat PAS Tanjung Karang yang cekal dan gigih.



Ustazah Hajjah Sabariah Hashim, merupakan aktivis PAS Kawasan Tanjung Karang yang cekal dan gigih dalam memimpin parti khususnya di kalangan muslimat. Politik telah menjadi asam garam keluarganya, 4 orang adik beradiknya termasuk beliau sendiri terlibat secara langsung dengan PAS.

Ustazah Hajjah Sabariah, telah dilahirkan pada tahun 1937, di Kampong Kanchong Darat, Banting. beliau merupakan anak ke-5 daripada lapan orang adik beradik (4 lelaki dan 4 perempuan) kepada pasangan Allahyarham Haji Hashim Abu Mansur dan Allahyarhamah Maimunah Yusof.


Abangnya Allahyarham Ustaz Adnan Hashim, merupakan Pengasas PAS Kawasan Tanjung Karang/ Kuala Selangor dan pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, selain pernah bertanding di DUN Tanjung Karang pada tahun 1969. Manakala abangnya yang ke-4, Allahyarham Ustaz Ismail Hashim, merupakan Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor (1983-1994) dan Bekas Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor. Manakala adiknya, Allahyarham Ustaz Abdullah pernah bertanding sebagai calon PAS pada tahun 1982 di Parlimen Pelabuhan Klang.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Tinggi Hishamuddin, Sungai Berteh, Kelang, sehingga mendapat Rabi’ Thanawi.

Ustazah Sabariah memulakan kerjaya sebagai guru di beberapa buah sekolah di sekitar Tanjung Karang seperti Sekolah Rendah Agama (SRA) Jeram, SRA Block G, SRA Block J dan Sekolah Kebangsaan Seri Tiram Jaya, sebelum mengajar di Sekolah Menengah Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan pada tahun 1966. Manakala pada tahun 1977 Ustazah Sabariah telah berpindah ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa, Tanjung Karang sehingga beliau besara pada tahun 1992.

Ustazah Sabariah, yang kini menetap di Block J Sawah Sempadan, Tanjung Karang telah mendirikan rumahtangga dengan Haji Muhamad Ridhwan Hj Abd Hamid, yang juga merupakan seorang aktivis PAS, pada tahun 1959. Hasil perkongsian hidup selama 46 tahun beliau telah dikurniakan seramai 9 orang cahayamata.

Ustazah Sabariah merupakan seorang ibu contoh yang gigih dalam kegiatan keagamaan, kemasyarakatan dan politik, di samping berjaya mendidik anak-anak untuk, mencapai kejayaan di bidang pendidikan. Seramai 4 orang anaknya telah mengikut jejak langkahnya sebagai guru, manakala yang lain merupakan lepasan Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/S).

Penglibatan awal beliau di dalam PAS bermula sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan, kemudian diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, sebelum dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan. Pada tahun 2001, beliau telah diamanahkan sebagai Pemangku Ketua DMP Kawasan, berikutan Ketua DMP Kawasan ketika itu, Allahyarhamah Ustazah Hajjah Shamsiah Salleh, meninggal dunia.

Manakala pada tahun 2003, Ustazah Sabariah telah melepaskan jawatan dan memberikan laluan kepada Ustazah Hajjah Jamiyah Yusof untuk mengetuai DMP Kawasan. Manakala Ustazah Sabariah pula telah diamahkan sebagai Timbalan Ketua DMP Kawasan.

Usia bukan penghalang untuk beliau terus berbakti kepada masyarakat dan jamaah, dalam usia 68 tahun, Ustazah Sabariah masih aktif didalam PAS, kini beliau masih memegang jawatan sebagai Naib Ketua DMP Kawasan dan sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DMP Kawasan selain Ketua Muslimat PAS Cawangan Raden Putih.

Selain itu, Ustazah Sabariah juga aktif dengan masyarakat, pada sebelah petang 6 kali seminggu, beliau menghabiskan masa dengan mengajar agama kepada para muslimat di sekitar Tanjung Karang. Beliau juga memainkan peranan sebagai Bilal Jenazah di samping mengendalikan kursus-kursus yang berkaitan. Kebiasaannya, Ustazah Sabariah akan menunggang motosikal untuk ke setiap majlis ilmu dan program-program yang memerlukan kehadirannya.

Sebagai penghargaan di atas segala kegigihan, jasa dan pengorbanan beliau kepada masyarakat, maka pada tahun 1996, Ustazah Sabariah telah dianugerahkan TOKOH IBU MITHALI bagi peringkat Daerah Kuala Selangor. Manakala pada tahun berikutnya (1997) beliau telah diberikan anugerah yang sama oleh Kerajaan Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah (1418)

11/07/2005

Pengasas PAS Kawasan Tanjung Karang Meninggal Dunia

Tanjung Karang : Pengasas PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Haji Khalid Abd Hamid, 76, telah meninggal dunia pada 6hb November 2005 bersamaan 4 Syawal 1426H, jam 1.00 pagi, kerana sakit tua, di rumahnya di Batu 10, Jalan Bernam, Tanjung Karang.

Allahyarham Ustaz Khalid merupakan antara pengasas awal PAS Kawasan Tanjung Karang sejak tahun 1960-an bersama-sama dengan Allahyarham Ustaz Adnan Hashim, Tuan Guru Zakaria Ansari, Cikgu Awang Ansari dan lain-lain.

Beliau pernah menjadi Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang yang ketiga pada tahun 1969-1974. Manakala di dalam Pilihanraya Umum tahun 1982, Allahyarham telah bertanding sebagai calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong menentang calon Barisan Nasional (BN) Abd Shukur Harun, tetapi tewas.

Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tanjung Karang sebelum bersara daripada politik kerana faktor kesihatan.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri, Hajjah Zaleha Shamsudin dan sepuluh orang anak, enam lelaki dan empat perempuan, telah di kebumikan di tanah perkuburan Islam Tanjung Karang pada jam 11.00 pagi.

Solat jenazah telah diimamkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, dan telah disembahyangkan di Masjid Jamiul Hasanah, Batu 10.

Seluruh pimpinan PAS Kawasan Tanjung Karang, pimpinan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanjung Karang serta orang ramai telah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Fadzlin Taslimin dan Setiausaha PAS Kawasan Sungai Besar, Haji Abd Karim Satar. Al-Fatihah.

11/01/2005


AL-FATIHAH... ADUN Pengkalan Pasir, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar kembali ke Rahmatullah jam 6.10 pagi tadi (31 Oktober) di Pusat Perubatan Kota Bharu (KBMC) ketika usianya 55 tahun. Beliau menderita kanser hati sejak Julai lalu dan sering berulang alik ke hospital kerananya. Jenazahnya selamat dikebumikan tengahari ini di tanah perkuburan Pasir Mas. Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz menyifatkan beliau seorang yang baik dan menjaga kawasannya dengan baik sebelum sakit. Pilihan raya kecil dijangka akan diadakan dalam masa sebulan selepas pemergian Wan Abd Aziz dimaklumkan secara rasmi oleh Speaker DUN Kelantan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com