.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

12/28/2005

Pejabat Dewan Pemuda siap mengikut jadual

Tanjung Karang : Pejabat Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah siap sepenuhnya seperti yang dirancang. Pejabat yang berukuran 20’ x 20’ dibina di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS), hasil sumbangan Ahli-ahli Jawatankuasa DPP Kawasan dan sumbangan orang ramai.

Pejabat DPP mula dibina pada pertengahan november yang lalu dan perletakan batu asas telah dilakukan oleh Ketua DPP Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom.

Pejabat tersebut terdiri dari bilik pentadbiran, bilik berbincangan dan ruang tamu. Dengan adanya pejabat tersebut, pentadbiran DPP Kawasan akan lebih efisyen, selain memudahkan ahli-ahli pemuda merujuk sesuatu perkara kepada DPP Kawasan.

DPP Kawasan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan untuk menyiap pejabat tersebut. Walaubagaimanapun, DPP Kawasan masih memerlukan sumbangan orang ramai untuk menyelesaikan beberapa bayaran yang belum selesai dan untuk melengkapkan beberapa peralatan pejabat seperti komputer dan penghawa dingin.

Sebarang sumbangan boleh di masukkan ke dalam Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), di atas nama Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Karang, no akaun 12083010009852. Untuk keterangan lanjut, boleh menghubungi Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, di talian 013-370 7271.

12/25/2005

Orang Melayu hilang identiti Islam


Tanjung Karang : Gejala sosial dan rasuah politik telah di monopoli oleh orang melayu sehingga orang melayu hilang identiti Islamnya. Puncanya melibatkan semua pihak dari masyarakat hingga pemimpin serta ibu bapa yang tidak dapat mengawal anak-anak disebabkan pemimpin tidak membanteras punca maksiat, kata Haji Mahfuz Omar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat ketika berucap di program Hi Tea anjuran Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Selangor dan DMP Anjung Utara di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).


Ini, menurutnya, kerana ibu bapa yang telah memilih Barisan Nasional (BN). BN telah memisahkan agama dengan kehidupan masyarakat. Peratus (orang Islam) yang ke masjid dan surau sangat kecil menyebabkan ia gagal membina rohani umat Islam. Tambahan pula masjid dan surau dikongkong oleh UMNO.

Ulama’ mudah dipinggirkan oleh umat Islam, manakala fatwa Mufti tidak diikuti. PAS perlu mencari pendekatan untuk mengatasi masalah ini dan melahirkan anak-anak yang boleh menjadi “polis” kepada diri sendiri. Gerakan muslimat yang rapat dengan anak-anak boleh memainkan peranan, ujarnya.

Beliau yang juga Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah, turut melahirkan rasa bimbang mengenai pengajaran matapelajaran seks yang akan diajar di sekolah akan di salahguna (pelajar) dan memburukkan lagi (masalah) gejala sosial.

Lebih baik ditingkatkan budaya ilmu rumahtangga cara Islam kepada pelajar-pelajar, sarannya.

Pada program yang sama beliau turut menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin sekitar Tanjung Karang hasil sumbangan dari Lajnah Kebajikan DMPN Selangor dan DMP Anjung Utara.

Turut hadir ialah Ketua DMPN Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, Timbalan Ketua DMPN, Hajjah Noraini Hussein, Yang Dipertua PAS (YDP) Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad, YDP Sabak Bernam, Ustaz Abd Jalil Bajuri dan Timbalan YDP Tanjung Karang, Dr Mohd Yusof Abd Wahab.

Kewibawaan Umat Islam Tercabar


Tanjung Karang : Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan berkata, Kewibawaan (Umat) Islam tercabar apabila 4 orang gadis melayu (beragama Islam) menari bogel bagi menghiburkan sekumpulan ahli perniagaan dari Singapura.

Gejala seperti ini, menurutnya, banyak membawa bala bencana seperti banjir besar dan sebagainya.

Selain itu, banyak perkara menyentuh sensiviti umat Islam seperti kematian pendaki gunung everest, Mohamad Abdullah @ M Moorthy, yang telah memeluk Islam tetapi tidak dapat dikebumikan lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Hi Tea bersama Haji Mahfuz Omar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS) yang dianjurkan oleh Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Selangor dan Dewan Muslimat PAS Anjung Utara.

Di dalam program tersebut, Lajnah Kebajikan DMPN Selangor dan DMP Anjung Utara telah memberikan sumbangan kepada beberapa fakir miskin sekitar Tanjung Karang dan telah disampaikan oleh Haji Mahfuz Omar. Seramai lebih 30 orang telah menerima sumbangan dalam program tersebut.

Menurutnya, Tujuan 4 (DMP) Kawasan dalam Anjung Utara (memberikan sumbangan tersebut), kerana peratus pengundi melayu yang tinggi, disamping masih ramai rakyat yang tidak berkemampuan memerlukan bantuan.

Turut Hadir ialah Yang Dipertua PAS (YDP) Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad, YDP Sabak Bernam, Ustaz Abd Jalil Bajuri, Timbalan Ketua DMPN Selangor, Hajjah Noraini Hussein dan Setiausaha DMPN Selangor, Norlaili Aslah.

12/18/2005

Setiap amalan manusia akan dicatit oleh Malaikat – Ustaz Sallehen


Tanjung Karang : Di dalam al-Quran Allah menyebut setiap apa yang dilakukan oleh manusia tetap akan dicatit oleh dua Malaikat samaada baik atau buruk, kata Ustaz Sallehen Mukhyi, sewaktu menyampaikan kuliah mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Takkanlah dalam perkara besar seperti mengundi untuk melantik pemimpin, malaikat tidak mencatit (perkara tersebut)?, soalnya ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Tun Razak, yang mengatakan mengundi tidak ada kaitan dengan akhirat.

Menurutnya, Dalam kesusahan perjuangan Islam, Allah ( akan sentiasa) memberikan pertolongan. Perjuangan PAS adalah berdasarkan kepada aqidah, Allah tidak akan menggagalkan sunnahnya.

PAS tetap menang disudut moral di Permatang Pasir. Allah sengaja menangguhkan kemenangan, supaya Barisan Nasional (BN) terus melakukan kezaliman terhadap rakyat. Dan ketika kezaliman yang mereka lakukan telah sampai ke kemuncaknya, maka Allah akan mencabut kemenangan tersebut secara mengejut dari mereka dan memberi kemenangan kepada PAS, Ujarnya yang juga Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor.

Beliau yang juga Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Besar, menyeru supaya setiap ahli PAS meneruskan solat hajat dan melihat kesan dari solat hajat, kesan semangat juang dan kesan istiqamah (di dalam perjuangan Islam). Perjuangan batil tetap akan kecundang.

Ini merupakan kuliahnya yang pertama di KOMPAS selepas pulang dari Jordan. Kuliah yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan dengan kerjasama KOMPAS telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP, Dr Mohd Yusof Abd Wahab dan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan, Ustaz Khairullah Junid.

12/11/2005

Dewan Undangan Negeri tidak akan dibubar


PELANCARAN kempen Pas di Stadium Mini Pasir Mas 27 November lalu bagi mempertahankan DUN Pengkalan Pasir, nyata bagaikan dentuman guruh di langit tetapi hujan tidak jadi, apabila terpaksa menerima hakikat mereka tewas dengan majoriti 134 undi. Seperti biasa, Pas mempunyai pelbagai alasan untuk tidak mengiktiraf kejayaan BN. Wartawan Berita Minggu ISMAIL MAT dan NASIR HASAN menemui Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di pejabatnya, Kota Darulnaim, untuk mendapatkan komennya yang tidak berada di pusat penjumlahan kerana debaran penantian keputusan pilihan raya dikhuatiri menjejaskan jantungnya.

Kenapa Datuk tak hadir ketika keputusan penjumlahan undi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada Selasa lalu?

Sebenarnya, saya tak boleh tunggu lama-lama ketika hari pengiraan undi itu sebab tidak tahan rasa debaran, yang tidak baik untuk jantung saya seperti dinasihatkan doktor. Bukan setakat itu, malah untuk menonton siaran ulangan tinju pun tak tahan, kerana debaran yang membawa ke jantung.

Kalau begitu, bolehkah bertahan terhadap tekanan politik?
Kalau tekanan yang tak membabitkan jantung tak apa. Kerja dalam politik tak membabitkan jantung, hanya otak, sebab ia hanya bermain dalam kepala tetapi benda tu (melihat pertarungan termasuk menunggu keputusan pilihan raya) membawa debar ke jantung. Sebab tu saya balik awal dan rehat di rumah saja. Sudah lama saya naik tangga pejabat Pas, tetapi akhir-akhir ini, doktor nasihatkan jangan naik lebih tujuh anak tangga sebab takut memberi kesan pada jantung saya.

Apa komen terhadap laporan cadangan bubar DUN Kelantan selepas Pas kalah di Pengkalan Pasir, kerana dari segi moralnya, Kerajaan Pas perlu fahami aspirasi rakyat?

Itu bukan aspirasi rakyat, tetapi aspirasi tauke-tauke yang membawa pengundi hantu, kerana selepas bubar dewan, dia orang akan dapat banyak untung lagi, orang inilah yang dapat untung daripada biaya pengundi hantu dan orang inilah selalunya di belakang Umno. Orang ini kaki rasuah. Orang inilah tak habis-habis nak memenuhkan temboloknya yang tak tahu bila nak penuh. Ini bukan aspirasi rakyat tetapi orang inilah yang nak suruh Pas bubar.

Maksudnya, bagi Pas, pilihan raya kecil ini tak mencerminkan hakikat sebenarnya?
Memanglah! kerana banyak perkara. Pertamanya, undi Pos secara terang-terang. Tanpa undi Pos, Umno kalah 16 undi. Betul ke undi pos ini telus atau dipaksa mana-mana pihak. Di Banggol Chica, ada pengundi masuk melalui parit, dikejar oleh Nik Amar (Exco, Nik Amar Nik Abdullah) cuma tak dapat tangkap saja.

Maknanya, Pas tidak iktiraf keputusan pilihan raya kecil Selasa lalu?

Saya iktiraf dan terima keputusan pilihan raya itu dengan protes dan Pas akan buat petisyen, biar mahkamah mendengar dan membuat penyelesaiannya.

Pas tuduh Umno guna wang dalam kempen pilihan raya ini, tetapi Pas juga didakwa menggunakan pendekatan sama. Bukankah itu juga politik wang?

Saya sebagai Menteri Besar. Dua perkara saya buat. Pertama saya bagi pengajaran Islam melalui kuliah, kedua orang sakit saya bagi duit. Semua orang tahu, saya ada duit, nak kata tak ada duit mana boleh semua orang tahu. Jadi duit kena beri sebagai suruhan agama untuk menjaga maruah Islam yang saya pimpin. Rasuah ni barang yang tak dapat ditegah melainkan dalam kalbu kita sendiri. Soal duit, saya pun bagi duit, tapi bukan bentuk rasuah. Saya tak bagi rasuah, kerana saya tahu rasuah itu haram. Contohnya, saya melawat orang sakit saya bagi duit. Saya wajib bagi duit, sebab nak tolong sesama manusia. Saya bagi dalam RM50, tak banyak berbanding Umno hingga ribuan ringgit.

Apakah pendirian berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Saya asasnya memang tak mahu bubar. Kalau katakan saya nak bubar, untuk apa saya nak bubar, tak pasal-pasal. Banyak mengundang masalah, jika bubar belum tentu Umno menang atau Pas kalah. Ia menambahkan beban. Kenapa nak bubar? Nak cari masalah? Demokrasi betul, saya tak akan buat kerana ia boleh merosakkan moral saya. Ia akan memberi masalah kepada Pas dan Umno sendiri.

Ketika kempen, saya dapati laungan takbir `Allahu Akbar' di kalangan penyokong Pas kini semakin kurang kedengaran tidak seperti dulu?

Mungkin orang yang mendengar dan tak laung takbir tu bukan ahli Pas atau mungkin juga ramai ahli Umno. Orang Umno sebut `Hidup Melayu' Pas sebut `Allahu-Akbar'. Itu bezanya. Seorang Menteri ketika sama-sama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dulu pernah kata, macam mana mereka boleh duduk dengan Pas, kerana mereka sebut `Hidup Melayu' tapi Pas sebut `Allahu-Akbar'.

Jadi bermakna, ceramah Pas yang sesak di Stadium Pasir Mas tempoh hari lebih ramai orang Umno, bukan orang Pas sendiri?

Jika ramai orang Umno, memang itu yang kita mahu, kerana kita nak suruh orang Umno dengar ceramah kita, sebab Pas tiada radio yang boleh sampaikan mesej kepada mereka. Kalau pemimpin Pas ceramah pada orang Pas juga tak guna.

Apakah relevan Pas menjemput Penasihat Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkempen untuk Pas baru-baru ini. Sesuai lagikah isu lama yang dibawanya?

Pas tak jemput dia. Dia datang secara sukarela. Saya rasa dia ingin menyatakan isi hati dia atas pentas Pas.

Adakah tok guru setuju dan merestui perbuatan agresif penyokong Pas menahan serta merampas kunci van dinaiki Puteri Umno menyebabkan kenderaan itu terpaksa ditunda ke balai polis?

Saya tak setuju jika tindakan begitu sekali. Sama ada betul atau tidak maklumat itu saya tak boleh pasti. Jika kenderaan itu dikepung dan mereka yang ditahan itu diserahkan kepada polis. Itu saya setuju.

Mana boleh kita tidak bertindak agresif apabila orang lain bertindak agresif. Islam tak galakkan kita berdiam diri kalau orang bertindak demikian.

Kenapa hanya pemimpin Pas tertentu dibenarkan bercakap kepada media, hingga calon Pas sendiri dihalang berbuat demikian ketika pilihan raya Pengkalan Pasir.

Mungkin keadaan itu timbul kerana akhbar membuat laporan tidak adil dan berat sebelah. Dari segi peribadi saya boleh mengeluarkan apa saja kenyataan, tak ada masalah, tapi saya tak rela dari dunia sampai akhirat jika orang memutarbelitkan kenyataan saya.

Saya tak mahu kenyataan saya diambil sekerat-sekerat. Di antara Utusan Malaysia dan Berita Harian, Utusan Malaysia lebih berat sebelah dan memihak kepada BN. Ini menambahkan bebanan kepada pembaca.

Dipetik dari Berita Minggu 11/12/2005

Ustaz Khairullah Junid Pemimpin berilmu dan berpengalaman

Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan, Ustaz Haji Khairullah Junid, satu nama yang tidak asing lagi di Tanjung Karang, khususnya kepada aktivis PAS Kawasan. Dilahirkan pada 15 Januari 1938, di Bukit Canggang, Dengkil, Sepang. Tetapi dibesarkan di Tanjung Karang kerana mengikut kedua orang tuanya, Haji Junid b. Haji Yusof dan Hajah Musifah bt. Haji Taib, berhijrah ke Tanjung Karang. Beliau merupakan anak ke 2 daripada 3 orang adik-beradik.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang. Kemudian beliau menyambung pelajaran ke Sekolah Agama Menengah Hishamuddin, Sungai Berteh, Klang sehingga mendapat Rabi’ Thanawi. Selepas itu, pada tahun 1960, beliau menuntut di Nadzah Bukit Besar, Kedah, dan berguru dengan Tuan Guru Haji Othman Al-Yunusi, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah, ketika itu.

Setelah menamatkan alam persekolah, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan, Hajjah Salimah Haji Ibrahim, pada tahun 1961. Hasil perkongsian hidup selama 44 tahun, beliau telah dikurniakan seramai 10 orang cahayamata, empat lelaki dan enam perempuan. Dua orang anaknya telah mengikut jejak langkahnya sebagai pendidik.

Kerjaya

Pada tahun 1961, beliau telah memulakan kerjaya sebagai pendidik di Sekolah Agama Menengah Hamidiah, Kajang. Manakala pada tahun 1963 beliau telah berpindah ke Sekolah Agama Menengah di Jeram. Semasa di Jeram beliau sempat mengajar bersama Allahyarham Ustaz Abd Razak Dawami, Bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Pada tahun 1974, Beliau sekali lagi berpindah ke Sekolah Arab Batu 11, Tanjung Karang. Manakala pada tahun 1977, beliau mengajar di Sekolah Agama Menengah Seri Desa, Tanjung Karang. Pada tahun 1979 pula, beliau ditukarkan ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kampong Jawa, Klang, sehingga pada tahun 1983, beliau kembali mengajar di Sekolah Agama Menengah Seri Desa, Tanjung Karang sehingga bersara pada tahun 1993.

Mula bergiat dengan PAS

Beliau telah menyertai PAS pada tahun 1961, mula aktif dengan PAS sebagai Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan. Kemudian beliau telah diamanahkan beberapa jawatan di dalam PAS antaranya ialah sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Selangor, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Selangor. Setelah berlaku persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 1995, Cawangan beliau yang dulunya dibawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang dan Parlimen Kuala Selangor telah di masukkan ke DUN Sungai Burong dalam Parlimen Tanjung Karang. beliau kemudiannya menjadi Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tanjung Karang. Selain itu, Ustaz Khairullah juga pernah diamanahkan sebagai Naib Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor pada tahun 90-an.

Ustaz Khairullah yang kini menetap di Masjid Baroh, Tanjung Karang pernah dipilih oleh sebagai calon PAS di DUN Permatang menentang Jamaluddin Adnan dari Barisan Nasional (BN), dalam Pilihanraya Umum tahun 1995, tetapi tewas dengan majoriti 7,276.

Aktiviti masyarakat

Selepas bersara, beliau telah menabur bakti sebagai tenaga pengajar di Maahad Thahfiz Jamiul Hasanah, Batu 10, Tanjung Karang, sehingga tahun 2003. Selain itu, beliau juga merupakan Pembantu Imam di Masjid Jamiul Ahmadi, Masjid Baroh, Tanjung Karang. Dan mengajar secara mingguan samaada di masjid atau surau di sekitar Tanjung Karang, termasuk untuk muslimat.

Dalam usia 67 tahun, beliau masih lagi bergiat aktif dengan PAS. Selain masih menjadi Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan dan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan, beliau juga adalah Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor dan merupakan pengedar Harakah sekitar Tanjung Karang.





©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com