.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

1/31/2006

Jadikan kemenangan HAMAS sebagai pemangkin kepada perjuangan PAS

Tanjung Karang : Jadikan kemenangan Parti Islam HAMAS di Palestin di dalam pilihanraya Palestin sebagai pemangkin semangat perjuangan PAS di Malaysia, kata Ustaz Jamsari Marsom, Ketua Pengarah Unit Amal Malaysia sewaktu memberikan kuliah mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).

Menurutnya, Cadangan supaya Akta 121(1A) dikaji semula akan melenyapkan undang-undang syariah. Ini (adalah) peluang PAS untuk (mengajak) rakyat kembali kepada Al-Quran dan Hadith, ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Sabak Bernam berkata, Sebahagian mufti dan Ulama’ kerajaan kurang kelayakan mengakibatkan fatwa (yang dibuat) menjadi huru-hara dan tunduk kepada gerakan wanita yang anti-Islam.

Sempena mengambil semangat korban dan hijrah juga, beliau meminta supaya meluaskan konteks agihan daging korban dari dalam negeri ke luar Negara seperti Pakistan, Afghanistan dan sebagainya, selain menumpukan program kebajikan kepada ahli-ahli PAS daripada memberikan bantuan kepada kepada ahli Umno yang tidak mahu berubah.

Selain itu beliau juga menyeru supaya PAS Kawasan Tanjung Karang yang penuh dengan pengalaman supaya menggerakkan kembali ahli-ahli yang “tidur” disamping mentarbiyyah ahli keluarga supaya menyokong (perjuangan) Islam.

Kuliah mingguan tersebut yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyyah dan Pendidikan DPP Kawasan Tanjung Karang dengan kerjasama KOMPAS telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Haji Musa Mohamad, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim, Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin dan pimpinan PAS Kawasan dan DPP Kawasan.

Musuh-musuh dan kawan Syaitan


Tanjung Karang : Ustaz Jamsari Marsom berkata, Syaitan mempunyai musuh dan kawan di kalangan manusia. Musuh syaitan yang utama ialah Nabi Muhamad s.a.w. Manakala musuh syaitan yang kedua ialah Imam yang adil, orang kaya yang merendah diri dan peniaga yang jujur.

Selain itu ialah, orang alim yang khusyuk dalam sembahyang, orang alim dan ahli nasihat, orang mukmin yang berkasih sayang, orang yang sentiasa bertambah amalannya, orang mukmin yang sentiasa berwuduk dan orang yang selalu bersih.

Syaitan juga bermusuh dengan orang mukmin yang dermawan, orang mukmin yang baik akhlak, orang mukmin yang memberi manfaat, orang yang selalu membaca al-Quran dan Orang yang sentiasa Qiamullail.

Sementara kawan-kawan syaitan terdiri dari, hakim yang tidak adil, orang kaya yang sombong, peniaga yang khianat dan penipu, pemimpin dan penjual arak dan pemakan harta riba.

Selain itu kawan syaitan juga terdiri dari, pemakan harta anak yatim, orang yang mempermudah atau meringankan sembahyang, orang yang enggan membayar zakat dan orang yang banyak berkhayal.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan kuliah mingguan Deenul Islam anjuran Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang dengan kerjasama Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS) di KOMPAS.

Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Haji Musa Mohamad, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim, Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin dan pimpinan PAS Kawasan dan DPP Kawasan.

1/22/2006

Dewan Pemuda adakan dialog bersama guru-guru PASTI

Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah berjaya menganjurkan dialog bersama guru-guru Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) Kawasan Tanjung Karang di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).

Program dialog tersebut, yang buat pertama kalinya diadakan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada guru-guru PASTI. Seramai 16 daripada 20 orang guru telah hadir didalam dialog tersebut. Manakala DPP Kawasan di wakili oleh Ahli Jawatankuasa Harian DPP Kawasan dan Pengerusi PASTI Kawasan.

Diantara perkara yang dibincangkan didalam program tersebut ialah mengenai penyelarasan jadual waktu belajar, cuti dan aktiviti ko-kurikulum. Turut disentuh ialah mengenai masalah pentadbiran yang dihadapi oleh guru-guru diperingkat cawangan-cawangan.

Tanjung Karang mempunyai sebanyak 10 buah PASTI dengan 20 orang guru. Sebelum ini PASTI di kawasan Tanjung Karang sebanyak 9 buah, manakala pada tahun ini, sebuah lagi PASTI berjaya di tubuhkan di Bukit Belimbing, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 10 buah.

Ini merupakan majlis dialog kedua yang dianjurkan oleh DPP Kawasan bersama jentera-jentera dibawah DPP Kawasan. Sebelum ini, DPP Kawasan telah mengadakan majlis dialog bersama Jawatankuasa Pemuda Cawangan-cawangan dan jentera-jentera dibawah DPP Kawasan iaitu Ahli-ahli Jawatankuasa Unit Amal Kawasan dan Pengerusi PASTI Cawangan-cawangan.

Jawatankuasa harian DPP Kawasan yang hadir di dalam program tersebut ialah, Ustaz Mat Hasbullah Sudin (Ketua), Nor Azlan Ahmad (Timbalan Ketua), Abd Malek Abd Majid (Naib Ketua) dan Mohd Faizal Mohd Barja (Setiuasaha). Turut hadir ialah Pengerusi PASTI Kawasan, Mohd Ramdzan Rosman dan Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan, Ruhayana Chamsari.

Sebuah lagi PASTI berjaya ditubuhkan di Tanjung Karang


Tanjung Karang : Pusat Asuhan Tunas-tunas Islam (PASTI) Kawasan Tanjung Karang berjaya menubuhkan sebuah lagi PASTI menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 10 buah. PASTI yang baru ditubuhkan tersebut ialah PASTI Ar-Rahman di Bukit Belimbing.

Walaupun baru ditubuhkan, seramai 19 orang peajar telah mendaftar di PASTI tersebut. Manakala tenaga pengajar ialah Hajjah Zainon Salleh, yang sebelum ini menjadi tenaga pengajar di PASTI Mamba’ul Huda, Sungai Gulang-gulang.

Daripada 10 buah PASTI di Kawasan Tanjung Karang, 6 buah terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong, manakala 4 buah lagi di DUN Permatang. PASTI yang terletak DUN Sungai Burong ialah PASTI Al-Hidayah, PASTI Al-Amin, PASTI Al-Arif, PASTI Al-Ikhlas, PASTI Al-Badar dan PASTI nurul Islam. Manakala bagi DUN Permatang terdiri dari PASTI Mamba’ul Huda, PASTI An Najah, PASTI Al-Muttaqin dan PASTI Ar-Rahman.

Sementara itu jumlah keseluruhan pelajar PASTI pada tahun ini telah meningkat berbanding tahun lepas. Pada tahun ini jumlah pelajar PASTI telah meningkat seramai 413 orang berbanding tahun 2005 seramai 399 orang.

Manakala jumlah pelajar mengikut pecahan PASTI ialah, PASTI Al-Hidayah (90 orang), PASTI Al-Amin (30 orang), PASTI Al-Arif (20 orang), PASTI Al-Ikhlas (51 orang), PASTI Al-Badar (30 orang), PASTI Nurul Islam (50 orang), PASTI Mamba’ul Ulum (65 orang), PASTI An-Najah (33 orang), PASTI Al-Muttaqin (25 orang) dan PASTI Ar-Rahman (19 orang).

1/21/2006

DPP Tanjung Karang terbitkan buletin Suara Pemuda

Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah menerbitkan buletin yang diberi nama Suara Pemuda. Berita-berita didalam buletin tersebut diambil daripada web blog PAS Kawasan Tanjung Karang dan beberapa artikel daripada laman web lain.

Bekas Ketua DPP Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi, telah sudi merasmikan pelancaran pertama Suara Pemuda, semasa Kuliah Mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).

Suara Pemuda yang mengandungi 12 muka surat dijual dengan harga RM1.00, adalah terbitan tidak berkala yang dikeluarkan oleh DPP Kawasan untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai melalui bahan bacaan.

Ustaz Sallehen di dalam ucapannya, memuji DPP Kawasan yang mengambil inisiatif menerbitkan buletin tersebut untuk menyebarkan maklumat kepada orang ramai. Beliau juga meminta ahli-ahli PAS memberikan sokongan kepada DPP Kawasan dalam usaha menyebarkan maklumat semasa.

Rata-rata ahli PAS yang ditemui semasa pelancaran tersebut juga memuji langkah DPP Kawasan menerbitkan buletin tersebut dan berharap supaya DPP Kawasan meneruskan usaha tersebut pada masa-masa yang akan datang.

Turut hadir semasa pelancaran Suara Pemuda ialah Yang Dipertua (YDP) Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab dan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan, Ustaz Khairullah Junid dan beberapa pimpinan Dewan Pemuda dan PAS Kawasan.

Contohi sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim


Tanjung Karang : Sebaik-baik bekalan ialah taqwa dan asas (kepada) taqwa adalah ilmu. Program ilmu (adalah) jaminan untuk masuk (kedalam) syurga, kata Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi, semasa memberikan kuliah mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).

Menurutnya, Terdapat banyak perbezaan (antara) manusia yang bertaqwa, dengan manusia (yang) tidak bertaqwa. Sejarah pengorbanan (yang) bermula sejak zaman Nabi Ibrahim, semasa Naib Ibrahim menerima perintah dari Allah swt supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail. Naib Ibrahim melaksanakan perintah Allah tanpa ragu atas dasar ketaqwaan yang tinggi.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Besar, mengigatkan supaya, jangan mengganggap perjuangan Islam akan mati. Islam masih boleh menang didalam pilihanraya dengan syarat mengikut peraturan dalam perjuangan Islam dan menepati syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Islam untuk mencapai kemenangan.

PAS menurutnya, perlu bersiap sedia untuk mengambil alih kuasa pemerintahan pada masa akan datang. Beliau juga menyeru ahli-ahli PAS supaya meningkatkan istiqamah, fikrah, kesatuan maklumat, tarbiyah, kuliah dan sebagainya.

Kalah didalam Pilihanraya bukan alasan untuk lemah di dalam perjuangan. Islam memerlukan kekuatan politik untuk merubah kebatilan (yang semakin banyak berleluasa), ujarnya lagi.

Kuliah mingguan tersebut yang dianjurkan oleh Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan, DPP Kawasan dengan kerjasama KOMPAS telah mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Turut hadir didalam kuliah tersebut ialah, Yang Dipertua (YDP) Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab, Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin dan beberapa pimpinan Dewan Pemuda dan PAS Kawasan.

1/12/2006

PAS Kawasan Tanjung Karang adakan korban sempena Aidil Adha

Tanjung Karang : PAS Kawasan Tanjung Karang telah mengadakan korban sempena dengan Hari Raya Aidil Adha di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).

Seekor lembu telah dikorbankan dalam program tersebut. Ini merupakan program tahunan PAS Kawasan Tanjung Karang sejak beberapa tahun yang lalu.

Ahli-ahli PAS Kawasan Tanjung Karang telah hadir sejak awal pagi bagi menjayakan program tersebut.

Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Haji Musa Mohamad, Naib YDP PAS Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab , Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin.

Sementara itu, PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, turut melakukan korban pada Hari Raya Aidil Adha pertama di hadapan rumah Ketua Penerangan PAS Cawangan, Haji Ithnain Salleh.

Seekor lembu telah dikorbankan selepas sembahyang raya. Daging korban berkenaan telah diedarkan kepada penduduk sekitar kampong.

1/08/2006

Dewan Pemuda PAS Kawasan adakan dialog dengan seluruh jentera di bawah DPP


Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah mengadakan majlis dialog bersama Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan-cawangan dan seluruh jentera dibawah DPP Kawasan iaitu Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Unit Amal Kawasan dan Pengerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Cawangan-cawangan bertempat di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS).

Pelbagai masalah telah ditimbulkan mengenai pentadbiran DPP Kawasan terutama yang melibatkan pengurusan PASTI di peringkat Kawasan dan Cawangan di dalam dialog yang berlangsung selama hampir tiga jam.

Turut disentuh ialah mengenai pembinaan Pejabat Pentadbiran DPP Kawasan yang baru siap dan dijangka akan digunakan sepenuhnya tidak lama lagi.

Program tersebut melibatkan AJK DPP Kawasan serta Penyelaras Unit Amal dan Penyelaras PASTI Kawasan. Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Ustaz Musa Mohamad serta beberapa AJK PAS Kawasan Tanjung Karang.

Ustaz Ghani Shamsudin Seru Banteras Pengundi Hantu


Tanjung Karang : Hantu merujuk kepada makhluk (halus atau bukan) yang mengganggu dan menggugat kesejahteraan individu dan masyarakat, justeru ia makhluk yang tidak mahu mengikut lunas kebenaran, keadilan dan kewajaran. Sebaliknya hanya menurut perasaan tamak, dendam, jahat dan watak berpuaka, Kata Ustaz Haji Abd Ghani Shamsudin, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Hantu menurutnya, tidak mengikut tuntutan akal (yang) waras. Sebaliknya ia mahu bersultan di mata beraja di hati. Hantu juga berfahaman egoistic, mata duitan dan bersemangat duniawi meskipun dia sendiri makhluk dari alam ghaib. Hantu tidak akan mematuhi undang-undang; meskipun undang-undang yang ia sendiri buat atau gariskan untuk dirinya.

(Pengundi) Hantu tidak menganggap perbuatannya dalam apa jua bidang sebagai ada kaitan dengan dosa dan pahala. Lebih-lebih lagi dalam pilihanraya. Tuhan baginya tidak akan masuk campur dalam menentukan piawaian baik (atau) buruk perbuatannya, ujarnya yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang.

Gejala (pengundi) hantu dalam pilihanraya ini sebenarnya lahir dari sifat rakus berkuasa dan tamak untuk terus berkuasa sampai bila-bila. Kekuasaan bermakna kekayaan, wang dan pengaruh serta mertabat duniawi.

Dengan merebaknya kehadiran manusia hantu yang terus menerus menggandakan kehadiran manusia yang diperkakas dan dijadikan hantu secara langsung atau tidak langsung maka proses hidup bermuafakat, bersyura dan berdemokrasi tidak wujud. Rakyat tidak ada ketuanan yang sebenarnya, ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor berkata, keadaan seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan berleluasa; sebab akibatnya sangat merosak dan meruntuhkan sendi hidup yang beradab dan bermoral.

Menurutnya, seluruh individu rakyat yang prihatin mesti berusaha membenteras kewujudan hantu dalam segala bentuk. Masa depan bangsa dan negara banyak bergantung kepada semada kita dapat dan berjaya membenteras gejala ini atau sebaliknya kita gagal.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan Kuliah Mingguan Deenul Islam, di Kompleks PAS Sungai Burong (KOMPAS). Turut hadir ialah YDP Kawasan, Ustaz Haji Musa Mohamad, Naib YDP Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab dan Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim.

1/06/2006

Diberi notis pindah 24 jam kerana aktif dengan PAS

Gelombang reformasi dalam Pilihanraya Umum ke-10 tahun 1999 berikutan pemecatan Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memberi kesan yang besar kepada rakyat. Lebih membanggakan lagi PAS yang selama ini tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, (Kecuali DUN Sungai Panjang, Haji Hamdan Bakri, mengunakan tiket Barisan Nasional (BN) tahun 1974) telah memperolehi 4 kerusi DUN di dalam Pilihanraya umum tahun 1999.

Salah satu kerusi yang berjaya dimenangi oleh PAS ialah DUN Sungai Burong melalui calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali yang telah berjaya menewaskan Calon BN, Dato’ Mohd Aini Taib. Berikutan gelombang kemaraan rakyat yang memuncak kepada Umno ketika itu, Umno telah melakukan berbagai cara untuk menyekat rakyat terutama kakitangan kerajaan daripada terus aktif dengan parti pembangkan terutamanya PAS.

Ustazah Hajjah Asmah bt. Ahmad, 56, adalah salah seorang aktivis PAS Tanjung Karang yang telah menjadi mangsa politik balas dendam Umno. Beliau, yang ketika itu mengajar di Sekolah Agama Menengah Seri Desa (SAMSED), telah diberikan notis pindah 24 jam ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ) di Shah Alam, Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), beberapa tahun sebelum beliau bersara, atas arahan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Dato’ Noh Omar, kerana terlibat secara aktif di dalam Pilihanraya umum tersebut.

Latarbelakang

Ustazah Asmah Ahmad, dilahirkan pada 11 Mac 1949, di Kampong Masjid Baroh, Sungai Tengi Kanan, Tanjung Karang. Bapanya Haji Ahmad b. Imam Razi merupakan seorang guru agama di kampongnya, manakala ibunya Hajjah Napsiah bt. Abd Jalil, adalah suri rumah sepenuh masa. Beliau merupakan anak bongsu kepada sembilan beradik.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kampong Jawa, Klang, dan telah mendapat Rabi’ Thanawi pada tahun 1969.

Pada tahun 1978 sehingga 1981 beliau telah mengambil Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, dalam pengkhususan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.

Keluarga

Ustazah Asmah telah mendirikan rumahtangga pada 13 Februari 1970 dengan Haji Mohd Jamil Hj Nawawi, yang bekerja sebagai Pengurus Kilang Padi, dan telah dikurniakan seramai 5 orang anak kesemua lelaki.

Suaminya juga merupakan aktivis PAS di Kawasan Kuala Selangor. Pernah menyandang beberapa jawatan di dalam PAS seperti Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Selangor.

Manakala di dalam Pilihanraya Umum tahun 1986, Haji Mohd Jamil, telah dipilih sebagai Calon PAS menentang calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Yusof Hasan di DUN Sungai Tinggi, tetapi tewas. Suaminya, telah meniggal dunia pada 1 September 1991, kerana penyakit paru-paru berair.

Dua orang anaknya telah berkerja dan telah mendirikan rumahtangga dan telah dikurniakan seorang cucu. Manakala yang selebihnya masih bersekolah.

Kerjaya

Setelah mendapat Rabi’ Thanawi, pada tahun 1969 beliau telah bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Pekan Tanjung Karang sehingga tahun 1977.Manakala pada tahun 1977 beliau telah berpindah ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa (SAMSED), Tanjung Karang sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1978.

Setelah berjaya memperolehi Diploma Pendidikan, pada tahun 1981 beliau terus berkhidmat di SAMSED sehingga tahun 2000. Pada tahun 2001 beliau telah dipindahkan ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ), Shah Alam, sehingga beliau bersara pada Mac 2005 yang lalu.

Sepanjang berkhidmat dengan JAIS sebagai guru selama 35 tahun, beliau telah dianugerahkan, Anugerah Perkhidmatan Guru Cemerlang pada tahun 1995 dan 2004.

Naluri sebagai seorang guru memang telah sebati di dalam jiwanya, ini terbukti walaupun beliau telah bersara, tetapi beliau masih lagi mengajar tuisyen Bahasa Arab kepada pelajar-pelajar di SAMTAJ setiap hari selasa dan rabu.

Di antara bekas – bekas pelajar Ustazah Asmah, yang berjaya dibidang masing-masing termasuklah, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Karang, Ustaz Nasir Joyo, adik kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Pegawai Masjid Daerah Kuala Selangor, Ustaz Khair Ramli dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustazah Hajjah Jamaiyah Yusof.

Mula bergiat dengan PAS

Ustaz Asmah, yang dilahirkan di dalam keluarga PAS, mula bergiat aktif sekitar tahun 90-an dan memegang jawatan sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan, sehingga tahun 2002. Pada tahun 2002, beliau terpaksa melepaskan jawatan, disebabkan beliau telah dipindahkan ke SAMTAJ.

Setelah bersara pada tahun 2005, beliau sekali lagi telah diamahkan sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan. Di samping itu, beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyyah DMP Kawasan Tanjung Karang.

Beliau juga aktif memberikan kuliah kepada muslimat PAS sekitar Tanjung Karang. Pada hari selasa setiap minggu, beliau mempunyai kelas khusus untuk Muslimat PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

Beliau merupakan aktivis Muslimat yang tabah dan berani, semasa menerima notis berpindah dalam masa 24 jam, beliau telah diberi pilihan jika mahu terus mengajar di SAMSED, beliau diminta membuat rayuran kepada Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar, tetapi beliau tidak mengindahkannya dan terus mengambil keputusan berpindah ke SAMTAJ sehingga bersara.

Ustazah Asmah juga pernah di pujuk oleh Penghulu Mukim Tanjung Karang, supaya tidak terlibat secara aktif dengan PAS, tetapi beliau tetap dengan pendiriannya.

Aktiviti masyarakat

Ustazah Asmah, bukan sahaja aktif di dalam politik tetapi juga turut terlibat secara aktif dengan masyarakat. Selain mengajar di kelas-kelas pengajian untuk Muslimat PAS, beliau turut memberikan kuliah kepada kaum ibu di Masjid Baroh yang berhampiran dengan rumahnya.

Beliau juga terlibat sebagai pendakwah di Unit Mubalighah, JAIS sehingga sekarang, dan sering di jemput untuk memberikan ceramah samaada di jabatan-jabatan kerajaan atau swasta, terutama semasa bulan Ramadhan melalui program Penghayatan Ramadhan yang dianjurkan oleh Unit Mubalighah.

Keberanian, ketabahan dan kerajinan beliau sebagai pimpinan PAS khususnya dikalangan Muslimat sewajarnya menjadi contoh kepada setiap pimpinan dan ahli PAS di Tanjung Karang.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com