.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

5/26/2006

DPP Tanjung Karang anjur pertandingan bola sepak di KOMPAS

Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang melalaui Lajnah Seni, Kebudayaan dan Sukan (DACS) telah menganjurkan perlawanan bola sepak di padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Perlawanan 7 sebelah tersebut telah dimulakan pada jam 6.00 petang dan berakhir pada jam 6.45 petang antara pasukan Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali. Pertandingan sengit pada petang rabu tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol semasa separuh masa pertama.

Keputusan berubah beberapa minit selepas permainan di mulakan dalam separuh masa kedua apabila Pasukan Saidina Abu Bakar berjaya memecah kebuntuan kedua-dua pasukan dengan menjaring gol pertama. Beberapa minit kemudian Pasukan Saidina Ali pula berjaya mendapat gol yang pertama menjadikan kedua-dua pasukan mendapat satu sama.

Kegembiraan Pasukan Saidina Ali tidak lama apabila Pasukan Saidina Abu Bakar berjaya menjaringkan lagi sebiji bola beberapa minit sebelum permainan ditamatkan. Menjadikan Pasukan Saidina Abu Bakar menang 2-1 menewaskan Pasukan Saidina Ali. Manakala Pasukan Saidina Osman yang bertanding pada hari sebelumnya menduduki tempat ke-3.

Naib Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Dr Mohd Yusoff Abd Wahab, telah sudi menyampaikan hadiah kepada pemenang. Hadiah telah disumbangkan oleh DPP Kawasan.

Turut Hadir ialah Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, Ketua Penerangan PAS Kawasan, Abd Malek Abd Majid, yang juga Naib Ketua DPP Kawasan, Setiausaha DPP Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja dan Ketua Lajnah DACS, Mohd Sofian Mohd Khalil.

Permainan bola sepak tersebut diadakan setiap hari pada waktu petang dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pemuda-pemuda. DPP Kawasan juga akan terus menggerakkan Lajnah DACS, untuk menarik sokongan pemuda-pemuda di Kawasan Tanjung Karang melalui program-program sukan dan sebagainya yang akan dirancang pada masa-masa yang akan datang.

Orang ramai sekitar KOMPAS turut tidak melepas peluang menyaksikan pertanding tersebut sehingga selesai.

5/23/2006

Muktamar Dewan Ulama’ PAS Selangor berjalan dengan baik


Tanjung Karang : Muktamar Tahunan Dewan Ulama’ PAS (DUP) Negeri Selangor kali ke-18 telah berjalan dengan lancer di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan telah dirasmikan oleh Ustaz Dr Mohamad Mat Daud, Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat.

Muktamar dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-quran oleh Huzaifah Mohd Noor, dari Maahad Thahfiz Jamiul Hasanat, Batu 10 Tanjung Karang, kemudian diikuti dengan Ucapan aluan dari Ketua DUP Negeri Selangor, Ustaz Mohd Zain Abd Rahman seterusnya ucapan perasmian oleh Ustaz Dr Mohamad Mat Daud.

Selepas majlis perasmian selesai, Ketua DUP Negeri Selangor, turut melancarkan sebuah buku yang dikarang oleh Ulama’ yang bertajuk “Kemelut harga minyak ; mengapa tidak kembali kepada Islam” sebelum berhenti rehat pada jam 11.00 pagi.

Muktamar pernuh berlangsung pada jam 11.15 pagi sehingga muktamar ditangguhkan pada jam 2.00 petang, selepas Ustaz Mohd Zain, memberikan ucapan penggulungan.

Turut hadir semasa perasmian ialah, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri (BPPN) Selangor, Haji Mohd Yusof Ludin, Naib Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim serta ahli-ahli PAS Kawasan Tanjung Karang

Ulama jangan berjuang dalam gerakan Islam untuk jadi kaya

Tanjung Karang : Ulama’ bukan sahaja (memberikan) kuliah di surau dan masjid sahaja tetapi pada semua aspek. Amanah dari Allah pada Ulama’ untuk berjuang menegakkan Islam, kata Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ustaz Dr Mohamad Mat Daud, semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama’ PAS (DUP) Negeri Selangor kali ke-18 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Menurutnya, Hendak (menjadi) kaya bukan dalam perjuangan Islam. Jika berjuang (dalam gerakan Islam) untuk menjadi kaya, Pimpinan Ulama’ (hebat) bagaimanapun akan hanyut, ramai pimpinan PAS telah dari (meninggalkan PAS) kerana wang. Selagi ada rezeki jangan takut (untuk) berjuang (dalam) Islam, katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) DUP Pusat mempersoalkan mengenai idtilah bid’ah yang sering ditimbulkan oleh orang ramai, katanya, bid’ah (yang) paling besar ialah mengubah hukum Allah.

Beliau juga meminta Ulama’ membuktikan (dalam bentuk) amalan sebelum melafazkan percakapan (untuk perjuangan Islam). Umur bukan alasan untuk bergerak aktif (dalam perjuangan Islam). Ulama’ juga perlu berjuang dari muda.

Ulama’ diminta contohi perjuangan Sheikh Ahmad Yaasin

Tanjung Karang : Ulama’ bukan sekadar pendakwah tetapi sebagai ‘Murabbi’ dan penggerak Jamaah, Kata Ketua Dewan Ulama’ PAS (DUP) Negeri Selangor, Ustaz Mohd Zain Abd Rahman, dalam ucapan aluan sempena Muktamar DUP Negeri Selangor kali ke-18 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ustaz Dr Mohamad Mat Daud.

Semasa belajar (para Ulama’) telah memahami hukum dan asas Islam. Bila berada di dalam jamaah (Ulama’ perlu) memahami peranan dan tugas Ulama’. Jawatan, menurutnya, tidak penting tetapi gerak kerja dalam jamaah perlu dibuat, katanya

Ulama’ perlu terus belajar pendekatan semasa dan istilah-istilah dalam perjuangan Islam dan demokrasi.

Keyakinan Sheikh Ahmad Yaasin akan kemenangan (Islam di Palestin) patut dijadikan tauladan kepada para Ulama’ terkini. Ulama’ PAS Perlu menghidupkan semula perjuangan Islam sebagaimana perjuangan Sheikh Ahmad Yaasin, katanya lagi.

5/20/2006

Orang Islam perlu membuat amalan dengan bersungguh-sungguh

Tanjung Karang : Ketua Pengarah Unit Amal Malaysia, Ustaz Jamsari Marsom berkata, Jadikan pengajian sebagai muhasabah (untuk) diri sebagai orang yang beriman. Selain itu setiap orang Islam perlu melakukan 4 amalan dengan bersungguh-sungguh supaya dapat diterima Allah, Katanya sewaktu memberikan kuliah mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Perkara pertama yang perlu diamalkan oleh setiap orang, menurutnya ialah, Jihad Fisabilillah bukan dengan niat serong. (Berjihad) dengan harta dan dengan diri. Inilah perniagaan terbaik yang Allah SWT tawarkan kepada hamba-nya kerana pahalanya amat besar.

Jihad dikalangan orang muda adalah (lebih) hebat kerana (mereka) menggunakan zaman mudanya ke jalan Allah dengan mengenepikan dahulu kepentingan peribadinya. Tahap kita baru jihad (untuk) menentang nafsu-nafsu jahat dan belum sampai tahap berperang dengan senjata, ujarnya.

Perkara yang kedua ialah, Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan mengikut landasan syariat dengan tidak berbelanja secara melampau berbanding bulan lain dan banyak bersedekah kepada saudara muslimin, katanya yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Sabak Bernam.

Beliau yang juga Bekas Pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) berkata, Perkara yang ketiga ialah orang yang menunaikan fardhu haji hanya kerana Allah. Dan pulang daripada Makkah tidak mengulangi perkara-perkara maksiat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Serta pulang dari Makkah tidak menjadi seperti "syaitan bisu" yang hanya membiarkan maksiat berlaku disekelilingnya.

Manakala yang keempat ialah, Orang yang sakit kemudian sembuh, selepas itu bertaubat dengan Allah. Jangan selepas sembuh tidak insaf dan terus memusuhi gerakan Islam. Contohnya utama abad ini ialah Airel Sharon, yang telah membunuh ribuan Umat Islam di Palestin, sedang nazak tetapi tidak mati lagi, ujarnya lagi.

Kuliah mingguan Deenul Islam tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP, Dr Md Yusoff Abd Wahab, Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah dan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan, Ustaz Khairullah Junid.

5/18/2006

KOMPAS jadi tumpuan pimpinan PAS Pusat

Tanjung Karang : Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) menjadi tumpuan pimpinan PAS Pusat setiap minggu bermula dengan perasmian Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tanjung Karang pada 22/4/2006. Mesyuarat agung tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ustaz Haji Hassan Shukri, yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat. Mesyuarat agung PAS Kawasan pula diadakan pada 23/4/2006.

Pada 30/4/2006 pula perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) oleh Tiimbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ustaz Idris Ahmad, yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat dan AJK PAS Pusat. Muktamar penuh DPPNS pada keesokan harinya pada 1/5/2006.

Muktamar Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor pula diadakan pada 7/5/2006 dan telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Hajjah Azizah Khatib Mat. Manakala Muktamar penuh DMPN Selangor dibuat selepas majlis perasmian selesai.

Yang terakhir ialah Muktamar Dewan Ulama’ PAS Negeri (DUPN) Selangor yang akan berlangsung pada 21/5/2006 dan akan dirasmikan oleh Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Dr Mohamad Mohd Daud yang juga AJK Dewan Ulama’ PAS Pusat.

5/10/2006

Aktivis yang Istiqamah di dalam perjuangan


Ustazah Hajjah Safiah bt Lebai Ahmad, 56, merupakan aktivis PAS kawasan Tanjung Karang yang low profile dan istiqamah di dalam perjuangan. Anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah ini, dilahirkan pada 2 Oktober 1950, tetapi dibesarkan di Tanjung Karang, Selangor.

Beliau merupakan anak ke-2 daripada 2 orang adik-beradik, kedua-duanya perempuan. Bapanya, Haji Lebai Ahmad bin Hj Omar merupakan guru agama sepenuh masa yang mengajar di Institusi pondok, di Kedah. Setiap bulan Ramadhan bapanya juga dijemput oleh Sultan Kedah untuk bertadarus al-Quran di Istana Kedah. Manakala ibunya, Hajjah Robeah bt Yusof, juga merupakan guru al-quran, dan masih mengajar sehingga sekarang di Desa Taqwa, Jeram, Selangor. Bapanya telah meninggal dunia semasa beliau didalam kandungan lagi.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang, Arau Perlis sehingga darjah 6. Kemudian menyambung pengajian ke peringkat menengah di Madrasah Nurul Islam, Ayer Hitam, Kedah, sebelum berpindah ke Tanjung Karang, Selangor, dan menetap di Sungai Sireh, kerana mengikut ibunya berpindah.

Di Tanjung Karang beliau menyambung pengajian di Sekolah Agama Rakyat Batu 11. Selepas itu beliau menyambung lagi pengajian di Sekolah Agama Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan sehingga mendapat Rabi’ Ibtida’ie.

Keluarga

Selepas menamatkan pengajian beliau telah mendirikan rumahtangga di usia 18 tahun dengan Ustaz Haji Munjir bin Ashaari, 66, seorang pesara guru dan pengamal perubatan Islam pada tahun 1968.

Hasil perkongsian hidup selama 38 tahun beliau telah dikurniakan seramai 7 orang cahayamata, 4 lelaki dan 3 perempuan. 3 orang anaknya telah mendirikan rumahtangga, manakala seorang lagi telah meninggal dunia. Beliau telah dikurniakan seramai 7 orang cucu.

5 orang anaknya telah berkerja, 2 orang bekerja sebagai guru, seorang pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Seorang Penolong Pengarah dan seorang lagi sebagai Doktor Perubatan. Manakala Seorang lagi masih menuntut di dalam jurusan Undang-undang di Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Mula aktif dengan PAS

Ustazah Safiah yang dilahirkan di dalam keluarga PAS mula mengenali PAS semasa mendengar ceramah dari Frof. Zulkifli Mohamad, Timbalan Presiden PAS, semasa berceramah berhampiran rumahnya di Kedah ketika berusia 11 tahun. Beliau menyertai PAS secara rasminya pada tahun 1968.

Pada tahun 1978 beliau telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri. Manakala pada tahun 1980 beliau telah dipilih sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sehingga sekarang.

Manakala pada tahun 1982 beliau telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang. Dalam masa yang sama beliau juga diamanahkan sebagai AJK Lajnah Ekonomi DMP Kawasan Tanjung Karang.

Beliau tidak pernah ketinggalan menyertai setiap Pilihanraya kecil yang berlaku dan bertugas sebagai perayu undi untuk PAS. Pengalaman manisnya semasa menjadi perayu undi ialah semasa Pilihanraya Kecil Parlimen Arau, Perlis pada tahun 1998 yang menyaksikan calon PAS ketika itu, Ustaz Hashim Jasin, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis telah berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Kassim, yang juga adik kepada Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidah Kassim.

Setiap hari rabu petang pula beliau akan akan mengikuti kelas pengajian di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang dipimpin oleh Naib Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Sabariah Hashim. Manakala setiap hari jumaat malam sabtu beliau tidak ketinggalan mengikuti Kuliah Mingguan Deenul Islam juga di KOMPAS.

Sepanjang beliau meminpin Muslimat di Cawangannya, DMP Kawasan Tanjung Karang telah memilih Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sebagai Muslimat PAS Cawangan terbaik tahun 2005 sempena dengan Mesyuarat Agung DMP Kawasan Tanjung Karang yang lalu.

Sekarang beliau masih lagi diamanahkan sebagai AJK DMP Kawasan Tanjung Karang dan Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri selain menjadi Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMP Kawasan Tanjung Karang.

Jejak langkahnya sebagai aktivis PAS turut diikuti oleh salah seorang anaknya. Anak lelakinya merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang dan AJK Lajnah Penerangan dan Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Dan merupakan lepasan Diploma Thahfiz Al-Quran dari Institut Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Aktivit Masyarakat

Selain aktif secara langsung dengan PAS, beliau dan suaminya juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam di bawah bimbingan Ulama’ terkenal Frof. Dato’ Dr Harun Din. Beliau sendiri telah dianugerahkan ijazah di dalam bidang perubatan Islam pada 22 Ogos 1999. Beliau sering membantu suaminya untuk merawat pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan mereka.

Selain itu, Ustazah Safiah dan suaminya juga sering membawa rombongan untuk mengerjakan Umran dan Haji. Beliau dan suaminya akan akan membawa rombongan umrah sebanyak 3 kali setahun, biasanya pada bulan 5, 8 dan 12 selain membawa rombongan haji.

Di qariahnya, beliau merupakan bilal jenazah Muslimat di Masjid Jamiul Hasanah, Batu 10, Tanjung Karang. Selain itu, beliau juga sering mengadakan kelas-kelas pengajian untuk Muslimat di Cawangannya.

5/09/2006

Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor berjalan lancar

Tanjung Karang : Muktamar Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor kali ke-19 telah berlangsung dengan jayanya di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan telah dirasmikan oleh Ketua DMP Pusat, Ustazah Hajjah Azizah Khatib Mat.

Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-quran oleh adik Huzaifah, dari Maahad Thahfiz Jamiul Hasanah Batu 10, Tanjung Karang. Kemudian diikuti dengan nyanyian lagi PAS dan As-ma'ulhusna.

Selepas itu bekas Ketua DMP Pusat yang pertama, Ustazah Hajjah Siti Zubaidah Ali, telah memberikan ucapan ringkas dan nasihat kepada perwakilan DMP yang hadir. Kemudian ucapan tema Ketua DMP Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, yang bertajuk “Menggarap Kepimpinan Muslimat Berwibawa”, Sebelum Ketua DMP Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat, memberikan ucapan perasmian.

Selepas itu persembahan multimedia dari Lajnah Teknologi Maklumat (IT) DMP Negeri Selangor. DMP Negeri Selangor turut memberikan anugerah kepada tokoh-tokoh Muslimat PAS Negeri Selangor. Antaranya penerima anugerah tersebut ialah Bekas Pemangku Ketua DMP Kawasan Tanjung Karang, Ustazah Hajjah Sabariah Hashim, yang juga Naib Ketua DMP Kawasan, serta menyampaian cenderamata dan sijil penghargaan kepada Ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) DMP Negeri Selangor dan Ketua-ketua DMP Kawasan-kawasan, yang telah disampaikan oleh Ketua DMP Pusat, Ustazah Azizah Khatib Mat.

Muktamar penuh telah berlangsung selepas majlis perasmian berhenti rehat pada jam 12.00 tengahari. Selepas itu muktamar ditangguhkan sebentar untuk sembahyang zohor dan makan tengahari sebelum disambung pada jam 2.30 petang. Muktamar DMP Negeri Selangor selesai pada jam 6.00 petang selepas ucapan penggulungan daripada Timbalan Ketua DMP Negeri, Noraini Hussin dan Ketua DMP Negeri, Wah Hasrina Wan Hassan.

Turut hadir semasa perasmian dan mukatamar penuh ialah Bekas Ketua DMP Pusat yang pertama, Ustazah Hajjah Siti Zubaidah Ali, AJK PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Azri Mohamad Arish, Bendahari DPP Negeri, Muzzamil Hafiz, Ketua Penerangan DPP Negeri, Khairuddin Othman dan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad.

Ikhlas berjuang dalam jamaah Islam – Ustazah Azizah Khatib Mat

Tanjung Karang : Keikhlasan adalah rahsia untuk berjuang di dalam jamaah Islam. Selain itu berjuang di dalam gerakan Islam juga akan mendapat ketenangan jiwa, kata Ketua Dewan Muslimat (DMP) Pusat, Ustazah Hajjah Azizah Khatib Mat, semasa berucap dimajlis perasmian Muktamar DMP Negeri Selangor kali ke-19 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong.

Selain itu setiap ahli jamaah juga perlu istiqamah terhadap tugas dan amanah yang dipukul. Setiap ahli juga perlu bekerja atau bertugas setiap masa walaupun tanpa jawatan. Contohi Khalid Al Walid yang dilucutkan jawatan sebagai ketua perang oleh Saidina Omar semasa peperangan sedang berjalan. Khalid terus menyertai peperangan tersebut walaupun telah dilucutkan jawatannya.

Selepas peperangan selesai Saidina Omar bertanya kepada Khalid mengapa beliau terus menyertai peperangan walaupun telah dilucutkan jawatan, Khalid berkata kepada Omar, “Aku berperang kerana Allah bukan kerana Omar”.

Setiap masalah yang dihadapi boleh diselesaikan dengan syarat diadakan perbincangan dan bersedia membuat dan menerima teguran antara pimpinan dan anak buahnya. Selain itu, setiap ahli juga perlu sentiasa bersikap telus atau terbuka, ujarnya yang juga Ketua DMP Negeri Pahang.

Setiap ahli PAS perlu prihatin terhadap keperluan jamaah seperti menghadiri setiap program yang dirancangan. Setiap ahli jamaah juga perlu bersikap tolak ansur antara satu dengan yang lain dan mengenepikan kepentingan pribadi, ujarnya lagi.

Diakhir ucapannya beliau juga menyeru supaya Muslimat tidak aktif secara bermusim seperti hampir dengan Pilihanraya umum dan sebagainya.

Turut hadir semasa perasmian ialah Bekas Ketua DMP Pusat yang pertama, Ustazah Hajjah Siti Zubaidah Ali, Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Azri Mohamad Arish, Bendahari DPP Negeri, Muzzamil Hafiz, Ketua Penerangan DPP Negeri, Khairuddin Othman dan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad.

Cabaran – cabaran yang sedang dihadapi

Tanjung Karang : Antara kemanisan dalam perjuangan ini ialah adanya mehnah dan trinbulasi. Mehnah dan tribulasi yang menjadi sunnatullah kepada orang-orang yang beriman bagi membuktikan kebenaran bai’ah dan pengakuan yang dibuat mereka. Dalam bahasa perjuangan, mehnah dan tribulasi akan menentukan siapakah golongan yang akan tetap dengan perjuangan dan siapakah golongan yang akan tercicir di pertengahan jalan perjuangan yang jauh dan panjang ini, kata Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, di dalam ucapan tema bertajuk “Menggarap Kepimpinan Muslimat Berwibawa” sempena Muktamar DMP Negeri Selangor kali ke-19 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Cabaran luaran (yang) kita terpaksa berhadapan dan bersaing dengan NGO-NGO yang lain yang kelihatan lebih terkehadapan dalam mendepani isu-isu kemasyarakatan dan semasa. Tidak ketinggalan juga NGO-NGO yang mengunakan nama Islam tetapi mempertikaikan syariat Islam seperti Sister In Islam (SIS) yang kerap kali mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan syariat Islam, ujarnya.

Aqidah masyarakat yang bercelaru juga menjadi cabaran kepada kita yang bergelar dai’ ini. Di mana kita sedia maklum bahawa masyarakat merupakan mad’u kita. Unjuran itu pendekatan dakwah yang sesuai perlu dicari demi untuk memastikan bahawa risalah Islam yang kita bawa ini tidak lari daripada syariat Islam yang sebenarnya. Tambahan pula fahaman Islam hadhari yang ditanamkan Umno-BN kepada masyarakat makin merumitkan kita untuk mendekati masyarakat yang sememangnya perlu diberi penerangan yang betul tentang Islam.

Sasaran dakwah kikta termasuk juga masyarakat non muslim. Mereka juga merupakan pengundi target kita terutamanya bagi kawasan pilihanraya yang peratus pengundi non muslim yang tinggi, ujarnya lagi.

PAS perlu gerakkan program tarbiyah

Tanjung Karang : Sirah telah membuktikan kepada kita, bagaimana berjayanya Rasulullah s.a.w mentarbiyyah dan membentuk para sahabat yang akhirnya mereka telah menjadi pemimpin yang berjaya membawa Islam ke mercu kejayaan yang amat membanggakan dan usaha ini diteruskan oleh para sahabat sehinggalah jatuhnya kerajaan Islam di zaman Othmaniah, Kata Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan, di dalam ucapan tema bertajuk “Menggarap Kepimpinan Muslimat Berwibawa” sempena Muktamar DMP Negeri Selangor kali ke-19 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

PAS merupakan sebuah gerakan Islam yang meneruskan perjuangan yang dilakukan (oleh) Rasulullah s.a.w dan para sahabat, maka usaha untuk melahirkan kepimpinan Muslimat berwibawa perlu diberi penekanan demi untuk melahirkan kepimpinan Muslimat yang akan menghasilkan gerakkerja yang berkesan, ujarnya.

Kita juga sedia maklum bahawa gagalnya kita melahirkan kepimpinan Muslimat berwibawa kerana gagalnya kita dalam system tarbiyyah. Untuk itu, saya mengharapkan Lajnah Tarbiyyah di semua peringkat memandang ‘serius’ perkara ini.

Generasi muda merupakan harapan kita untuk meneruskan perjuangan kita ini. Lantaran itu, mereka ini perlu dikaderkan demi untuk melahirkan pemimpin Muslimat yang menepati neraca yang telah ditetapkan. Jadi pada saya, peranan dan tanggungjawab mengkaderkan kepimpinan muslimat muda mestilah menjadi tanggungjawab Dewan Muslimat, bukan diserahkan kepada Nisa’, ujarnya lagi.

5/03/2006

Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berjalan lancar

Tanjung Karang : Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor kali ke-40 telah berjalan dengan lancar di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Muktamar yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua DPP Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pada hari ahad malam telah di mulakan dengan pemeriksa perbarisan Unit Amal di perkarangan KOMPAS. Diikuti dengan Ucapan aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Panatia Muktamar DPP Negeri Selangor, Azri Mohamad Arish, yang juga Setiausaha DPP Negeri Selangor.

Kemudian penyampaian Anugerah Pengurusan PASTI Cawangan terbaik 2005, Pengurusan PASTI Kawasan terbaik 2005, Pengurusan Unit Amal terbaik 2005 dan Unit Kerja Jamaah (UKJ) terbaik tahun 2005.

Selepas itu, Timbalan Ketua DPP Negeri Selangor, Ustaz Kamal Ashaari telah memberikan ceramah dan diikuti dengan ceramah oleh Ustaz Idris Ahmad, seterusnya merasmikan muktamar DPP Negeri Selangor tersebut.

Muktamar penuh berlangsung pada jam 8.30 pagi dan dimulakan dengan Ucapan Tema Ketua DPP Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom, dengan tema ‘Menjiwai Perjuangan Mendepani Cabaran’.

Muktamar kali ini juga telah dipancarkan secara langsung melalui saluran 3 web tv PAS, semasa ceramah perasmian muktamar dan muktamar penuh.

Seramai lebih 1,000 orang perwakilan dan orang ramai mendengar ceramah tersebut. Di dalam muktamar tersebut sebanyak 2 ekor lembu aqiqah telah disembelih bagi meraikan perwakilan dan orang ramai yang hadir.

Muktamar yang berlangsung selama satu hari, berhenti rehat pada waktu tengahari sebelum disambung pada jam 2.00 petang dan berakhir pada jam 5.00 petang. Dalam muktamar tersebut sebanyak 5 usul telah dibahaskan. Manakala 3 usul telah diterima tanpa bahas.

Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Haji Mohd Yusof Ludin, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP PAS Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab dan Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim.

DPP Tanjung Karang duduki tempat ke-2 Anugerah UKJ Peringkat Negeri Selangor

Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang menduduki tempat ke-2 Anugerah Unit Kerja Jamaah (UKJ) peringkat Negeri Selangor tahun 2005, sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor kali ke-40 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Anugerah tersebut telah di sampaikan oleh Timbalan Ketua DPP Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan diterima oleh Setiausaha DPP Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja.

Tempat pertama anugerah UKJ jatuh kepada DPP Kawasan Gombak, manakala tempat ketiga jatuh kepada DPP Kawasan Shah Alam.

Bagi Anugerah Pengurusan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Cawangan terbaik jatuh kepada PASTI Aishah, Kawasan Kota Raja. Manakala bagi anugerah PASTI Kawasan terbaik jatuh kepada PASTI Kawasan Shah Alam.

Manakala bagi Anugerah Unit Amal terbaik tahun 2005 jatuh kepada Kawasan Sungai Besar. Anugerah tersebut telah diumumkan oleh Setiausaha DPP Negeri Selangor, Azri Mohamad Arish.

Turut hadir ialah Setiausaha Badan Perhubungann PAS Negeri Selangor, Haji Mohd Yusof Ludin, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP PAS Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan Haji Mohd Saad Ibrahim dan beberapa pimpinan Angkatan Muda Parti KeADILan Rakyat (PKR).

Pelbagai Isu besar yang perlu dihadapi di Negeri Selangor

Tanjung Karang : Pelbagai isu besar terpaksa kita hadapi di negeri yang (Dato’ Seri Dr Mohd) Khir Toyo kata maju ini. Persoalannya samaada kita benar-benar telah menyingsing lengan menghadapinya atau sekadar melepas batuk di tangga menyelesaikannya, kata Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom, sewaktu memberikan ucapan tema sempena Muktamar DPP Negeri Selangor yang bertajuk ‘Menjiwai Perjuangan Mendepani Cabaran’ di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

DPP Negeri Selangor sewajarnya memainkan peranan penting menjuarai isu masyarakat setempat sebagai keprihatinan kita kepada golongan marhaen. Kita dikehendaki mampu mengurus isu sehingga menyemarak sokongan rakyat seluruhnya kepada kita. Inilah yang dikatakan menjiwai perjuangan Islam yang biasanya diwakili dan dibantu oleh golongan dhu’afa’ dan fuqara’, ujarnya.

DPP Negeri Selangor, katanya, melahirkan dukacita apabila terlalu banyak maksiat yang berleluasa berlaku di kalangan rakyatnya khususnya muda-mudi. Perlakuan sumbang, tidak senonoh tidak mampu dibendong lagi. Bukan sekadar manusia yang menjadi mangsa, bukit-bukau di Selangor juga diperkosa dengan rakus oleh kerajaan tempatan tanpa memikirkan eko sistem dan keperluan semasa.

Isu Bukit Cherakah atau nama barunya Bukit Cahaya Seri Alam diteroka, digondol dan dimusnah melampau tahap kecerdikan manusia berfikir, merupakan tindakan yang tidak boleh dimaafkan, ujarnya lagi.

Empangan Semenyeh pula semakin cetek hari demi hari disebabkan hilangnya tempat tadahan hujan di Selangor. Hal ini amat membimbangkan kita. Sungai-sungai yang membekalkan air kepada rakyat seumpama Sungai Gombak juga dikatakan tercemar dengan Ammonia.

Ada orang kata ia adalah tahi manusia tetapi yang lebih malang ialah melimpahnya najis khinzir yang masuk ke dalam sungai. Kita pun tak tahu yang mana betul, tapi bagi kita itulah akibat sumber air ini dimiliki dan dikuasai oleh egelintir kapitalis. Menteri Besarnya bukan main memperlekeh Kelantan. Apa yang maju?, Adakah negeri yang maju? Atau pemimpin dan kroni yang maju kantongnya?, ujarnya.

5/02/2006

Pemuda wajib bersedia berdepan dengan segala cabaran yang akan berlaku

Tanjung Karang : Cubaan musuh-musuh Allah ingin menubuhkan ‘Interfaith Commisison (IFC), Suruhanjaya Antara Agama, yang mengizinkan mereka mencampuri urusan dan hal ehwal agama Islam, cubaan musuh-musuh Allah ingin meminda Perlembagaan Persekutuan artikel 121(1A), cabaran orang bukan Islam mempersenda agama dengan bercium di khalayak ramai, kes jenayah meningkat, kes murtad mencecah sehingga 250,000 dan berbagai gejala sosial berlaku di sekeliling kita. Justeru itu, kita wajib bersedia berdepan dengan segala kemungkinan cabaran yang akan berlaku, kata Ustaz Ramli Sidom, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, di dalam ucapan tema yang bertajuk ‘Menjiwai Perjuangan Mendepani Cabaran’ sempena Muktamar DPP Negeri Selangor kali ke-40 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Kita juga berhadapan (dengan) Pilihanraya ke-12 iaitu sekitar bulan Oktober 2007. Pemuda selaku tenaga penting dan sayap kanan kepada perjuangan wajib ke depan dalam menongkah segala kejahatan dan kemungkaran Umno dan Barisan Nasioanl (BN).

Segala persiapan mestilah dilakukan oleh setiap Kawasan selaras dengan cita-cita serta keyakinan kita dengan janji Allah. Tanpa perancangan yang rapi, pasti negeri kita ini akan terus dikuasai oleh penderhaka Allah, ujarnya.

Isu-isu yang berlaku, katanya, sebenarnuya adalah ujian Allah kepada kita bagi menilai pengabdian kita kepadaNya. Juga untuk memberi peluang kpeada kita untuk menjadi manusia mulia disisi Allah. Serangan-serangan berterusan yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam kepada golongan yang cintakan Islam berlaku turun-temurun sehingga kiamat.

Allah telah memilih kita untuk berada di dalam perjuangan suci ini; membela agamaNya, membela ajaranNya, membela NabiNya. Mereka berterusan menuduh kita parti yang memecah belah masyarakat, memecah perpaduan Umat. Inilah tuduhan jahiliyyah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Inilah Tuduhan jahiliyyah pada zaman Nabi Nuh, Ibrahim dan Musa a.s. Dan inilah tuduhan mereka pada zaman kita dan akan datang. Justeru itu kita perlu perkukuhkan saf jamaah. Kita (juga) perlu rancang baik-baik strategi kita agar beroleh kemenangan, ujarnya lagi.

Ulama’ dalam Umno umpama terompah kayu – Ustaz Idris Ahmad

Tanjung Karang : Dasar perjuangan PAS ialah Islam. PAS meneruskan perjuangan para rasul iaitu mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah dan menentang taghut. Malangnya Media massa (telah) memutar belit dan mengganggap Islam agama keganasan, kemunduran dan segala yang negatif, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ustaz Idris Ahmad, sewaktu berucap di dalam ceramah sempena Perasmian Muktamar DPP Negeri Selangor kali ke-40 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Kelemahan pemimpin Umno (untuk) mendaulatkan Islam menyebabkan pemimpin-pemimpin bukan Islam berani mempertikaikan amalan Islam. Umno menggunakan agama untuk mengaut keuntungan dan Ulama’ mereka ibarat ‘terompah kayu’ yang digunakan dalam pilihanraya untuk melawan Ulama’ PAS/ Keadilan. Ulama’ bila menyertai Umno (akan) menjadi rosak dan alat sahaja, ujarnya yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Tetapi Ulama’ PAS, katanya, bila mendapat kuasa mereka (akan) melaksanakan suruhan Allah SWT. Contohnya Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang memerintah Kelantan.

Mufti pun kini (telah) dihadkan fungsinya kerana Islam tidak ditinggikan oleh penguasa contohnya isu sure heboh yang boleh mencetuskan gelaja maksiat (telah) diharamkan oleh mufti tetapi mereka membuat juga dan menukar nama dengan Jom Heboh pula, katanya lagi yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat.

Zakat telah dijadikan pinjaman dan bahan ugutan pelajar yang belajar di Timur Tengah. Dato’ Seri Dr Harussani Zakaria digam daripada berceramah di negeri Selangor kerana bersuara meminta isu-isu agama dirujuk kepada majlis mufti.

Turut berucap ialah Timbalan Ketua DPP Negeri Selangor, Ustaz Kamal Ashaari.

Konsep Islam Hadhari gagal – Ustaz Kamal Ashaari

Tanjung Karang : Amanah yang dipikul (oleh gerakan Islam) semakin berat. (Kerana) kegagalan pemimpin negara mebela nasib golongan bawahan dan miskin akan membawa bencana kepada negara, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Kamal Ashaari, sewaktu berucap di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) sempena perasmian Muktamar DPP Negeri Selangor kali ke-40 yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua DPP Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Penguasa, menurutnya, gagal melaksanakan perancangan dalam konsep ‘Islam Hadhari’ ciptaan mereka terutama hal-hal yang berkaitan hukum Islam. Golongan yang menyeleweng bebas bercakap tentang Islam seperti Sisters In Islam (SIS), tanpa pemantauan pihak berkuasa pentadbiran Islam seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan sebagainya.

Kesan akhirnya Islam (akan) diperkotak-katikkan kerana penguasa hanya lebih gemar mempertahankan ekonomi daripada isu-isu perundangan Islam.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com