.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

6/29/2006

Tanjung Karang tubuhkan koperasi hartanah

Tanjung Karang : Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Selangor, Haji Zulkifli Mamat, telah merasmikan pelancaran penubuhan Koperasi Hartanah Al-Falah Tanjung Karang Berhad (KOHAF) di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Program dimulakan dengan persembahan nasyid dari pelajar Jamiul Hasanat, Batu 10, kemudian diikuti dengan taklimat ringkas dari Bendahari (penaja) KOHAF, Abd Malek Abd Majid. Selepas itu, Pengerusi (Penaja) KOHAF, Dr Md Yusoff Abd Wahab, telah memberikan ucapan ringkas.

Haji Zulkifli Mamat, telah memberikan ucapan perasmian sejurus selepas itu. Di dalam ucapannya beliau telah memberikan pengalamanannya menubuh dan mengendalikan Koperasi Hartanah Pulai Chondong (KOHAP). Kemudian beliau telah menjawab soalan daripada orang ramai berkaitan dengan perjalanan koperasi.

Program tersebut dihadiri oleh Ahli-ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan, Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, serta ahli-ahli PAS seluruh kawasan Tanjung Karang.

Antara yang hadir ialah Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Haji Musa Mohamad, Ketua Urusan UIama’ PAS Kawasan, Ustaz Khairullah Junid dan Setiausaha PAS Kawasan, Ustaz Haji Khairullah Junid.

6/23/2006

Teks Khutbah Jumaat : Jangan melantik pemimpin seperti Bani Israel


Teks khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Haji Musa Mohamad, yang juga Imam Masjid Jamiul Hasanat, Batu 10, Jalan Bernam, Tanjung Karang.
______________________________

Tuan-tuan dan puan-puan para tetamu Allah sekalian saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan dan puan-puan ahli jamaah sekalian marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa carilah bekalan dan sebaik-baik bekalan itu ialah takwa kepada Allah s.w.t.

Tuan-tuan sidang jumaat yang dikasihani sekalian marilah pada hari yang mulia ini kita mengambil pengajaran daripada firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Apakah kamu tidak memerhatikan kisah-kisah pemimpin-pemimpin dikalangan Bani Israel sesudah Nabi Musa a.s apabila mereka berkata kepada nabi mereka ketika itu, lantiklah oleh kamu seorang raja bagi memimpin kami supaya kami berjuang dan berperang kejalan Allah, lalu nabi mereka berkata nanti apabila Allah mewajibkan kamu berperang, kamu berpaling iaitu tidak menunaikan perintah Allah. Maka mereka menjawab mengapa kami tidak boleh berperang pada jalan Allah padahal kami telah dihalau keluar meninggalkan tanah air, isteri dan anak-anak kami. Manakala Allah mewajibkan kepada mereka berperang kebanyakan mereka melarikan diri hanya sebahagian kecil sahaja yang menyahut panggilan itu. Sebenarnya Allah maha mengetahui iaitu Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Dan berkatalah nabi mereka Allah telah melantik seorang yang bernama Thalut menjadi raja yang memimpin kamu. Mereka menjawab bagaimana dia dilantik menjadi pemimpin kami, padahal kami lebih baik daripada dia di dalam menentukan kerajaan dan dia tidak mempunyai harta kekayaan yang banyak. Nabi mereka berkata, Allah memilih Thalut menjadi raja yang memimpin kamu kerana dia seorang (yang) berilmu dan mempunyai tubuh badan yang gagah berani. Sesungguhnya Allah mengurniakan kekuasaan kepada siapa yang dikehendakinya kepada hambanya dan Allah maha luas kurnianya lagi maha mengetahui”

Sidang jumaat yang dihormati sekalian begitulah cerita kaum Bani Israel yang di paparkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quranul karim untuk menjadi pengajaran kepada Umat Islam dan juga kaum Bani Israel. Kisah itu juga hanya diketahui sebahagian Ulama’ Bani Israel apabila ayat-ayat (Allah) dibacakan kepada mereka, Ulama’-ulama’ mereka dapat membuktikan bahawa Nabi Muhamad sebenar-benar nabi dan Rasul akhir zaman yang dijanjikan Allah s.w.t.

Walaupun dikalangan mereka dilantik rasul-rasul dan nabi-nabi yang paling ramai dan mereka sendiri berbangga dengan keturunan Nabi Ya’akub bin Ishak bin Ibrahim a.s, tetapi apabila mereka menerima perintah Allah mereka menjadi hina.

Ini adalah disebabkan mereka meninggalkan perintah jihad fisabilillah iaitu berjuang menegakkan kalimah Allah s.w.t.

Allah s.w.t memberi kemuliaan kepada suatu umat itu dengan Islam bukan dengan keturunan dan kekayaan. Apabila Islam itu ditinggalkan maka bangsa itu akan menerima penghinaan daripada Allah s.w.t. bernarlah apa yang diucapkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika dilantik menjadi Khalifah yang bermaksud :

“Tidaklah sesuatu kaum yang meninggalkan perjuangan jihad melainkan Allah akan mendatangkan kehinaan dan kemusnahan kepada mereka.”

Iaitu bencana yang menimpa kepada kaum Bani Israel.

Penyakit kedua ialah rasuah. Mereka dipengaruhi oleh wang serta menjadikannya sebagai alat untuk mencapai kuasa pemerintahan untuk membeli manusia bagi menghasilkan sesuatu hajat dalam kehidupan di dunia tanpa mempedulikan kepada benar dan salah. Mereka memilih pemimpin dan ketua yang boleh memberi wang dan harta bagi mencapai sesuatu impian hidup di dunia ini. Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada Umat Islam di dalam sabdanya yang bermaksud :

“Allah s.w.t melaknat orang memberi rasuah dan yang menerima rasuah”

Di dalam Hadith yang lain sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya, kedua-dua mereka di dalam neraka”

Penyakit yang menggunakan wang kerana pangkat dan kebesaran adalah menjadi penyakit yang membawa bencana kepada sesuatu umat. Marilah kita menghitung diri dan masyarakat kita dengan ikhlas. Sebenarnya penyakit ini sedang dialami oleh umat Islam di akhir zaman ini. Kita tidak (boleh) menyelamatkan umat kita melainkan dengan Islam. Dengan berjihad pada jalan Allah dan membuang penyakit rasuah termasuk menggunakan wang untuk berkuasa. Semua penyakit ini perlu dibuang segera jika tidak kita akan dilaknat oleh Allah di dunia dan di akhirat. Penyakit (yang) melanda umat Islam hari ini telah menjadikan (kita) bangsa yang hina. Kemuliaan hanya dengan Islam. Hina dan celaka sekiranya mencari selain dari Islam. Allah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Hujurat yang bermaksud :

“Orang-orang yang jika kami berikan mereka kekuasaan (memerintah) dimuka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Dan ingatlah, bagi Allah jualah kesudahan segala urusan manusia”

6/20/2006

Pemimpin yang gigih dan disegani oleh kawan dan lawan

Ustaz Haji Musa Mohamad, 64, merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang yang gigih dan disegani oleh kawan dan lawan.

Diatas kegigihannya, PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri yang dipimpinnya kini telah mempunyai bangunan sendiri yang berharga RM40,000.00. Bangunan tersebut kini dijadikan sebagai kelas PASTI Al Hidayah, Batu 10.

Beliau juga telah berusaha mencari dana melalui PAS Cawangan-cawangan untuk membayar hutang tanah dan pembinaan Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang berjumlah ratusan ribu dan sehingga kini telah berkurangan sehingga sebanyak RM30,000.00.

Latarbelakang

Beliau yang dilahirkan pada 16 Mac 1942 di Batu Pahat, Johor, tetapi dibesarkan di Sekinchan, Selangor adalah anak ke 5 daripada 8 orang adik beradik (4 lelaki dan 4 perempuan) kepada pasangan, Mohamad bin Haji Ariff dan Rupiah bt. Sarudin. Ibu bapanya merupakan seorang petani.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Leman, Sekinchan dari darjah 1 sehingga darjah 5 pada tahun 1951. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Sekolah Arab Nurul Falah Sungai Leman pada tahun 1959, dari darjah 3 sehingga darjah 6. Manakala pada tahun 1960 beliau memasuki Darjah Khas tahun 2 di Sekolah Agama Batu 23 Sungai Nibong.

Pada tahun 1961 beliau menyambung pelajaran di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum Dato’ Manan, Tanjung Karang sehingga mendapat Rabi’ Ibtida’i. Sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Agama Menengah Batu 38 Sabak Bernam dan mendapat Thani Thanawi dan berhenti sekolah kerana mendapat tawaran bekerja sebagai guru.

Beberapa tahun kemudian beliau menyambung pelajar semula di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum Dato’ Manan, dan mendapat Rabi’ Thanawi pada tahun 1970.

Kerjaya

Beliau memulakan kerjaya sebaik sahaja menamatkan pelajar di Sekolah Agama Menengah Batu 38 Sabak Bernam, pada 1 Januari 1962 di Sekolah Rendah Agama Parit 7 Sungai Leman, sebelum berpindah ke Sekolah Arab Mamba’ul Ulum pada tahun 1968. Ketika mengajar di sekolah tersebut, beliau tidak melepaskan peluang untuk meningkatkan kelayakkannya dalam bidang agama, lantas beliau telah mengambil peperiksaan Rabi’ Thanawi di sekolah berkenaan dan telah berjaya memperolehi sijil Rabi’ Thanawi pada tahun 1970.

Pada tahun 1977 beliau telah dipindahkan ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa Tanjung Karang sehingga tahun 1978. Manakala pada 1 Januari 1978 beliau telah berpindah ke Sekolah Rendah Agama Batu 11 selama 16 hari sebelum dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Seri Tiram Jaya pada 17/1/1978 sehingga tahun 1982.

Manakala pada tahun 1982 beliau telah bertugas di Sekolah Rendah Agama Parit Serong sehingga tahun 1984. Dan pada tahun 1984 beliau telah bertukar ke Sekolah Rendah Agama Parit 4 Sekinchan, selama 13 tahun sebelum bersara pada tahun 1997.

Di Sekolah Rendah Agama Parit 4 Sekinchan, beliau telah dilantik sebagai Penolong Kanan pada tahun 1984 sehingga tahun 1995. Manakala pada tahun 1995 beliau telah dilantik sebagai Guru Besar di sekolah berkenaan sehingga beliau bersara pada tahun 1997.

Keluarga

Beliau yang kini menetap di Batu 10, Jalan Bernam, Tanjung Karang, telah mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Hajjah Napsiah bt. Maon, 53, pada tahun 1 Januari 1972. Hasil perkongsian hidup selama 34 tahun beliau telah dikurniakan seramai 3 orang cahayamata, seorang lelaki dan 2 orang perempuan. Anak lelakinya telah mendirikan rumahtangga dan beliau telah dikurniakan seorang cucu.

Isterinya yang kini mengajar di Sekolah Rendah Agama Sungai Sireh juga merupakan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al Hidayah Batu 10, sejak PASTI tersebut di tubuhkan pada tahun 1993 sehingga sekarang. Ustazah Napsiah juga adalah Naib Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri dan bekas Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang.

Mula bergiat aktif dengan PAS

Ustaz Musa mula menyertai PAS pada tahun 1963 di Cawangan Sungai Leman sebelum berpindah ke Cawangan Sungai Tengi Kiri pada tahun 1984. Beliau mula bergiat aktif dengan PAS pada tahun 1985 dan dipilih sebagai Naib Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sebelum dipilih sebagai Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri pada tahun 1986 sehingga sekarang.

Di peringkat Kawasan, beliau pernah dipilih oleh perwakilan sebagai Naib YDP PAS Kawasan Tanjung Karang pada tahun 1986 sehingga pada tahun 1989, dibawah YDP PAS ketika itu, Tuan Guru Haji Hakim Abdullah. Manakala pada tahun 1989 beliau telah dilantik sebagai Bendahari PAS Kawasan Tanjung Karang sebaik sahaja tidak mempertahankan jawatan Naib YDP PAS Kawasan selama beberapa tahun.

Selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Bendahari PAS Kawasan dan beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjung Karang sehingga pada tahun 2003.

Selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya PAS Kawasan Tanjung Karang yang dulunya mempunyai 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu, DUN Sungai Panjang, DUN Sekinchan dan DUN Sungai Burong telah dipecahkan. DUN Sungai Panjang dan DUN Sekinchan telah diletakkan dibawah Parlimen baru iaitu Parlimen Sungai Besar. Manakala DUN Permatang yang dulunya terletak di Parlimen Kuala Selangor telah dimasukkan ke Kawasan Tanjung Karang. Ini menjadikan Parlimen Tanjung Karang kini mempunyai 2 DUN iaitu DUN Sungai Burong dan DUN Permatang.

Pada tahun 2003 beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Tanjung Karang sehingga tahun 2005. Manakala pada tahun 2005 beliau telah menang tanpa bertanding sebagai YDP PAS Kawasan Tanjung Karang menggantikan Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, yang tidak mempertahankan jawatan. Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Di peringkat Negeri pula beliau merupakan AJK Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor dari tahun 2003 sehingga sekarang. Beliau juga merupakan Pengerusi PASTI Al Hidayah, Batu 10, sejak ia ditubuhkan juga sehingga sekarang.

Selepas Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999 PAS Kawasan Tanjung Karang khasnya DUN Sungai Burong telah mencatat kenangan manis apabila berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Burong melalui calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali yang berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Mohd Aini Taib. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Pengerusi Pusat Khidmat Komuniti (PKK) ADUN Sungai Burong sehingga tahun 2004.

Aktiviti Masyarakat.

Selain bergiat aktif dengan PAS beliau juga turut terlibat secara aktif dengan aktiviti masyarakat. Beliau merupakan Imam Masjid Jamiul Hasanat, Batu 10 Tanjung Karang sejak tahun 1985 sehingga sekarang. Beliau juga mempunyai kuliah tetap di beberapa buah Masjid dan Surau di sekitar kawasan Tanjung Karang.

Beliau turut dijemput untuk memberikan kuliah mingguan dan ceramah agama di jabatan-jabatan kerajaan sekitar Tanjung Karang seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Sekolah.

Ustaz Musa juga sering mendapat jemputan sebagai Hakim Tilawah Al-Quran di peringkat Mukim dan Daerah Kuala Selangor. Selain itu, beliau juga merupakan Mudir Maahad Thahfiz Jamiul Hasanat Batu 10 Tanjung Karang dari tahun 1994 sehingga sekarang.

6/17/2006

Pejuangan Islam penuh dengan cabaran

Tanjung Karang : Perjuangan Islam perlu berdasarkan kepada aqidah dan menguatkan tarbiyyah di kalangan pendukung gerakan Islam, kata Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom, sewaktu memberikan Kuliah Mingguan Deenul Islam anjuran Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan DPP Kawasan Tanjung Karang.

Perjuangan Islam, juga menurutnya, akan berhadapan dengan beberapa cabaran diantaranya ialah seperti mukmin sesama mukmin yang dengki kepadanya (pejuang Islam) seperti saudara-mara, ahli keluarga dan sesama ahli jamaah selain masalah peribadi yang melibatkan individu.

Cabaran seterusnya ialah golongan munafik yang sentiasa membenci dan golongan yang sentiasa bersekongkol memerangan Islam. Mereka sentiasa berusaha untuk memadamkan cahaya Allah melalui mulut-mulut mereka, tetapi Allah sentiasa memelihara agamaNya, ujarnya.

Kumpulan Artikel 11 dan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) serta Sisters In Islam (SIS) adalah diantara kumpulan yang sedang aktif berusaha untuk menghapuskan Artikel 121A dalam Perlembagaan Persekutuan seterusnya menghapuskan kuasa mahkamah Syariah. SIS pula didokongi oleh anak-anak bekas Perdana Menteri dan Perdana Menteri seperti Datin Paduka Marina Mahathir dan Nori Abdullah, ujarnya lagi.

Cabaran terakhir yang akan dihadapi ialah syaitan yang selalu menyesatkan manusia.

Dalam Perkembangan berlainan, beliau turut mengulas kenyataan Mufti Perak, Dato’ Seri (Dr) Haji Harussani Zakaria, mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan perayaan kongsi raya kerana bertentangan dengan Islam seperti yang dianjurkan oleh kerajaan setiap kali musim perayaan. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah membuat kenyataan bahawa perayaan tersebut akan tetap diteruskan, ujarnya.

Apa yang dibimbangi, katanya, anak-anak dan cucu-cucu kita pada masa akan datang tidak akan dapat membezakan perayaan-perayaan agama. Jika padangan Mufti dan Majlis Fatwa tidak dipedulikan adalah lebih baik mereka semua menyertai PAS sahaja!, ujarnya kesal.

Diantara yang hadir ialah, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim, Setiausaha DPP Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja, Ketua Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan DPP Kawasan, Ustaz Shamsudin Mohamad.

Pendukung gerakan Islam perlu melakukan “Tajdid”


Tanjung Karang : Setiap ahli pendukung gerakan Islam wajib mengikuti majlis Ilmu setiap masa. Jangan sampai lebih 40 hari tidak mendengar majlis-majlis ilmu, kata Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom.

Pendukung-pendukung gerakan Islam juga harus membuat tajdid (pembaharuan) setiap hari seperti menghadiri majlis-majlis ilmu untuk membuat tajdid dalam aqidah setiap masa.

Tajdid juga perlu dilakukan dalam perkara amal seperti memasyarakatkan PAS, tarbiyah, usrah, tamrin dan wala’ kepada pimpinan selama mana pemimpin itu tidak menderhaka kepada Allah, jangan bertanya apa yang jamaah boleh beri sebalinya tanya apa yang perlu diberi kepada jamaah, ujarnya.

Tajdid yang seterusnya yang perlu dilakukan, menurutnya, ialah dalam jihad dan dalam taktik dan strategi dalam jamaah. Seperti bagaimana untuk menarik sokongan pengundi dari berbagai kaum, remaja, wanita dan sebagainya.

Dalam perkembangan yang lain, beliau turut meminta ahli-ahli PAS supaya mengambil contoh perjuangan HAMAS di Palestin yang sedang mendapat tekanan daripada Israel dan daripada Presiden Palestin sendiri, Mahmood Abbas.

PAS, katanya, telah berjaya membantu Kerajaan HAMAS dengan mengumpulkan dana sebanyak RM3 juta untuk disumbangan kepada rakyat Palestin yang menghadapi sekatan Ekonomi.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan kuliah mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) anjuran bersama dengan Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan DPP Kawasan Tanjung Karang.

Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim, Setiausaha DPP Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja dan Ketua Lajnah Tarbiyah dan Pendidikan DPP Kawasan, Ustaz Shamsudin Mohamad.

6/12/2006

Demokrasi tertutup di bawah pimpinan Perdana Menteri

Tanjung Karang : Sebelum PIlihanraya Umum (PRU) ke-11 tahun 2004 yang lalu Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Menteri Dalam Negeri telah bertindak menutup saluran demokrasi. Pak Lah telah bertindak menekan rakyat supaya tidak mendengar ceramah daripada PAS dan parti pembangkang, Kata Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS semasa berceramah di Padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) pula, bukan lagi menjadi badan bebas, dan menjadi “orang suruhan” Barisan Nasional (BN) semasa pilihanraya umum yang lalu. Di Terengganu lebih 70,000 pengundi luar telah didaftar sebagai pemilih untuk menjatuhkan kerajaan yang dipimpin oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Hussein, di dalam pertemuan antara PAS dan SPR, menurutnya, mengakui bahawa pilihanraya di Negeri Selangor tidak sah mengikut undang-undang kerana senarai daftar pemilih yang bercelaru antara satu sama lain. Di samping penambahan waktu mengundi selepas jam 5.00 petang, katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, juga turut menyangkal laporan yang ditulis di dalam akhbar yang mengatakan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, mengizinkan ahli PAS membaling batu kepada anggota keselamatan di dalam demontrasi aman, di dalam ucapan penggulungan Ucapan Dasar Presiden PAS, semasa Muktamar di Kedah.

Jika rakyat hanya mendengar akhbar arus perdana dan media massa kerajaan tetapi tidak membaca akhbar Harakah dan mendengar penjelasan daripada PAS, rakyat akan menjadi “bodoh” sampai bila-bila, ujarnya lagi.

Di luar Negara, menurutnya, rakyatnya bertanggungjawab terhadap Negara, dan menjadi pengimbang kepada Negara. Di Negara Barat, tidak ada Perdana Menteri yang boleh bertongkat langit seperti di Malaysia.

Ceramah yang buat pertama kalinya diadalah di padang KOMPAS dan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Lebih 4,000 orang telah membanjiri padang KOMPAS.

Turut Hadir ialah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP PAS Kawasan, Dr Md Yusoff Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim dan Bendahari PAS Kawasan, Haji Maskuri Mardzuki.

Kenaikan harga minyak dan elektrik bebankan rakyat

Tanjung Karang : Kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen telah menjadii beban kepada rakyat. Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kenaikan harga minyak tidak akan membebankan rakyat, Kata Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS semasa berceramah di Padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Tetapi sekarang rakyat telah merasai beban daripada kenaikan harga minyak tersebut. Harga barang naik atau tidak sekarang?, soalnya

Kini, menurutnya, Kerajaan telah menaikkan pula taarif elektrik sebanyak 12%. Sekali lagi Pak Lah telah berbohong kepada rakyat dengan mengatakan harga barang tidak akan naik. Ini adalah satu pembohongan kepada rakyat!.

Ini juga akan menambahkan lagi beban kepada rakyat. Selepas ini harga barang akan lebih melambung tinggi dengan kenaikan taarif elektrik dan harga minyak, katanya.

Di Arab Saudi, menurutnya, Kerajaan Arab Saudi telah menurunkan harga minyak kerana kerajaan telah mendapat keuntungan daripada kenaikan harga minyak dunia. Tetapi di Malaysia, kerajaan telah menaikkan harga minyak, katanya.

Beliau juga mempersoalkan keuntungan yang diperolehi oleh Petronas. Petronas juga telah menaja iklan untuk Formula One (F1) sebanyak RM90 juta.

Ketika Timbalan Perdana Menteri, (Dato’ Seri) Najib (Tun Razak), meminta rakyat berjimat cermat, tiba-tiba Pesta Bollywood akan diadakan pada bulan September dan penaungnya adalah isterinya sendiri, (Datin Seri) Rosman (Mansur). Manakala Najib, pula telah meluluskan peruntukan serta merta sebanyak RM10 juta, ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Di dalam Pilihanraya Umum Sarawak, rakyat Sarawak telah memberi pengajaran kepada Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihanraya tersebut dengan memberi undi kepada pembangkang. Di Kawasan Bandar, DAP dan Keadilah telah mendapat 9 buah kerusi DUN. Manakala calon PAS di DUN Beting Maro berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 3,000 (di dalam pilihanraya tahun 2001) kepada 800 majoriti, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, ujarnya lagi.

Ceramah Isu semasa yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Seramai lebih 4,000 orang telah mendengar penjelasan tersebut. Turut hadir ialah, Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP, Dr Md Yusoff Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim dan Bendahari PAS Kawasan, Haji Maskuri Mardzuki.

Dr Mahathir serang kerajaan di bawah pimpinan Pak Lah

Tanjung Karang : Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, sedang menghadapi serangan dari Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu ekonomi seperti isu Permit Import (AP) dan Isu Jambatan Bengkok antara Malaysia dan Singapura, kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu semasa berceramah 120 minit di Kompleks PAS DUN Sungai Burong yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang.

Dr Mahathir, katanya, telah membuat kenyataan di media massa mengenai kelemahan-kelemahan yang berlaku di zaman pemerintahan Pak Lah. Semua penjelasan-penjelasan yang dibuat oleh Rafidah Aziz dan Pak Lah bohong!, katanya.

Dr Mahathir juga mempertikaikan Isu pembatalan pembinaan jambatan bengkok, sedangkan pada bulan Februari yang lalu, Pak Lah telah mengeluarkan kenyataan untuk meneruskan projek tersebut. Tetapi tiba-tiba dibatalkan sekarang, katanya.

Semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, dia telah berbincang dengan Perdana Menteri Singapura dan tidak timbul isu penjualan pasir dan ruang udara kepada Singapura. Tetapi kenapa isu tersebut timbul sekarang. Ini semua menjadi persoalan, katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang, berkata, semasa Almarhum Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor, beliau selalu berdoa supaya dipanjangkan umur Dr Mahathir, supaya Dr Mahathir dapat melihat kesilapan-kesilapan yang dilakukan sepanjang pemerintahannya.

Sekarang, menurutnya, Dr Mahathir, telah merasai segala kesilapan-kesilapan yang pernah dilakukannya sepanjang menjadi Perdana Menteri dulu.

Barangkali, Dr Mahathir begitu marah kepada Pak Lah kerana banyak projek-projek besar kerajaan telah jatuh kepada menantunya, Khairi dan anaknya Kamaluddin Abdullah. Tetapi anak-anaknya tidak menadapat sebarang projek daripada kerajaan, katanya.

Kerajaan Pak Lah, juga menurutnya, turut menghadapi masalah keyakinan daripada ahli-ahli bawahan. Umno Negeri Johor juga telah menganjurkan konvensyen dan menolak pelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris. Jika ini diteruskan masa depan orang Melayu akan kucar-kacir, katanya lagi.

Ceramah yang buat pertama kalinya diadakan di padang KOMPAS telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Dianggarkan seramai 4,000 orang telah menghadiri ceramah tersebut bagi mendengar penjelasan isu-isu semasa. Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP, Dr Md Yusoff Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim dan Bendahari PAS Kawasan, Haji Maskuri Mardzuki.

Kerajaan Pak Lah Sangat Lemah

Tanjung Karang : Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, berkata di zaman Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, menjadi Perdana Menteri, Seramai 9 orang Menteri bukan Islam berani menghantar memorandam mempertikaikan kuasa Mahkamah Syariah. Perkara seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Selain itu, Kumpulan Artikel 11 bergerak di setiap negeri ke seluruh Negara seperti Melaka, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan dan Johor. Kumpulan ini dianggotai oleh peguam-peguam seperti Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kota Bharu, Zaid Ibrahim. Di Pulau Pinang, Orang ramai telah menganjurkan demontrasi membantah perhimpunan tersebut dan akhirnya telah dibatalkan oleh Polis. Menurut mereka, Artikel 11 memberi hak kepada orang Islam untuk Murtad.

Di dalam perayaan Thaipusam pada tahun ini juga telah disebarkan artikel di dalam bahasa Tamil yang menghina Nabi Muhamad s.a.w. Dan Laporan Polis telah dibuat tetapi tidak diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Manakala di Damansara, ada pihak yang membantah supaya suara azan tidak berkumandang diluar masjid. Tatapi Pak Lah tidak berani membantah kumpulan-kumpulan ini kerana bimbang dengan teguran-teguran dari Negara Barat.

Selain itu, kumpulan 11 ini berani kerana telah mendapat sokongan dari kumpulan Sisters In Islam (SIS). Manakala SIS pula dianggotai oleh anaknya, Nori Abdullah. Nori pula adalah isteri kepada Khairi Jamaluddin, katanya.

Kerajaan yang dipimpin oleh Pak Lah sekarang adalah sebuah kerajaan yang sangat lemah. Pak Lah, hanya berani bertindak terhadap PAS. Kerana tidak ada pihak luar yang membela PAS jika kerajaan bertindak ganas terhadap PAS.

Mufti Perak, Dato’ Seri Dr Harussani Zakaria, sudah mula turun ke gelanggang dan memberi kuliah kepada orang ramai kerana masalah aqidah yang semakin mengancam di dalam Negara. Masalah murtad semakin banyak berlaku di dalam Negara. Murtad telah menjadi darurat sekarang, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang.

Ustaz-ustaz yang hendak memberi kuliah telah disekat oleh kerajaan. Bekas Imam Masjid Negara, Ustaz Taib Azzamuddin Mohd Taib hendak diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana hendak memberi kuliah di sebuah surau di Negeri Selangor, katanya.

Beliau berkara demikian semasa berceramah di Padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang. Seramai lebih 4,000 orang telah menghadiri ceramah yang julung-julung kalinya diadakan di padang KOMPAS.

Turut hadir ialah Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP PAS Kawasan, Dr Md Yusoff Abd Wahab, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim dan Bendahari PAS Kawasan, Haji Maskuri Mardzuki.

6/07/2006

Klik Untuk Besarkan




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com