.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

8/25/2006

Tanjung Karang sertai Jambori Amal Kebangsaan

Tanjung Karang : Tanjung Karang menyertai Jambori Amal Kebangsaan di Ranau, Sabah pada 18 – 23 Ogos 2006. Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, mengetuai seramai 10 orang perserta dari Kawasan Tanjung Karang.

Berbagai acara menarik telah dijalankan sempena dengan jambori tersebut, antaranya ialah setiap peserta menjadi keluarga angkat kepada penduduk tempatan, acara sukan seperti tarik tali, bola sepak bersama dengan penduduk tempatan. Bekas penyanyi kumpulan Nasyid Raihan, Nazrey turut megadakan persembahan pada waktu malam. Selain itu, pesertaUnit Amal turut berpeluang mendaki Gunung Kinabalu.

Peserta jambori Amal turut diraikan oleh penduduk tempatan, sebanyak seekor lembu dan seekor kerbau telah disembelih bagi meraikan kehadiran peserta jambori amal. Unit Amal Negeri Selangor telah menghantar seramai 49 orang peserta daripada 387 orang peserta dari seluruh negara.

Antara pimpinan DPP Kawasan yang turut menyertai jambori tersebut ialah Naib Ketua DPP Kawasan, Abd Malek Abd Majid, Setiausaha, Mohd Faizal Mohd Barja, Ahli Jawatankuasa (AJK), Mohd Maruty Mohd Alib dan Penyelaras Amal Kawasan, Haji Baharuddin Kassim

8/15/2006

DPP Kawasan teruskan lawatan ke Cawangan-cawangan

Tanjung Karang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang meneruskan lawatan ke cawangan-cawangan untuk bertemu dengan pemuda-pemuda cawangan. Pada kali ini DPP Kawasan telah mengaturkan perjumpaan dengan 4 lagi cawangan iaitu Batu 9 Kampong Tengah, Sungai Tengi Kiri, Jalan Bagan Tengkorak dan Batu 11.

Lawatan diketuai oleh Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin. Lawatan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kalangan pemuda-pemuda cawangan.

Program yang diadakan di sebuah gerai di Kampong Razali, Batu 9, dimulakan dengan ucapan daripada Ustaz Mat Hasbullah, yang juga Ketua Pemuda PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri dan diikuti dengan jamuan ikan dan kerang bakar.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah, Timbalan Ketua DPP Kawasan, Nor Azlan Ahmad, Naib Ketua, Abd Malek Abd Majid, Penolong Setiausaha, Salim Sarman, dan beberapa orang Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Kawasan, Ustaz Shamsudin Mohamad, Mohd Ramdzan Rosman dan Mohd Sofian Mohd Khalil yang juga Ketua Pemuda Cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

Antara yang hadir memeriahkan program ialah Ketua PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, Ghazali Asri dan Setiausaha PAS Cawangan Tanjung Karang Pekan, Mat Adnin Kosnon. Ini merupakan program lawatan ketiga DPP Kawasan ke cawangan-cawangan bagi mengeratkan hubungan antara DPP Kawasan dan pemuda cawangan-cawangan.

8/14/2006

Anwar tidak akan menyertai Umno

Tanjung Karang : Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata, Tengku Razaleigh Hamzah beri dua cadangan kepada saya untuk menjadi Perdana Menteri iaitu dengan cara menyertai Umno atau menyertai PAS seterusnya mengambil alih pucuk pimpinan PAS dan melakukan reformasi.

Saya tegaskan disini, saya tidak akan menyertai Umno. Tengku Razaleigh berkata perjuangan melalui PKR sukar diterima ramai kerana rakyat tidak boleh menerima parti berbilang kaum, katanya.

Isunya sekarang ialah perubahan dan keadilan, saya yakin perubahan ini boleh dibuat oleh PKR, PAS dan DAP. Kita beri penjelasan kepada rakyat supaya tukar pemerintah, agenda kita jelas kekal bersama PKR dan bermuafakat kuat dengan PAS serte terus bekerjasama dengan DAP, katanya lagi.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri juga berkata, kita bukan nak tolak Islam sebagai agama persekutuan, kita bukan nak tolak akta 121(1A). Kita nak pertahankan hak agama Islam dan mahkamah syariah dan hak orang bukan Islam.

Beliau berkata demikian di dalam ceramah umum di padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dihadapan lebih 10,000 orang bersama Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali.

Jangan halang Dr Mahathir untuk bercakap - Anwar

Tanjung Karang : Biarkan (Tun) Dr Mahathir bercakap (mendedahkan penyelewengan kerajaan dibawah Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi). Tetapi kita jangan terperangkap dengan kata-katanya, ujar Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sewaktu berceramah di pdang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Kita jangan lupa, katanya, yang paling zalim sepanjang pemerintahannya ialah Dr Mahathir. Nik Adli (Anak Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan) ditahan dibawah ISA oleh Dr Mahathir tanpa mempedulikan nasib anak dan isterinya.

Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, berkata, semasa menjadi menteri, saya pernah menimbulkan mengenai isu penyelewengan AP (Permit Import) tetapi Dr Mahathir yang mempertahan sebab apa?, sebab (Dato’ Seri) Rafidah (Aziz) orang kanan dia. Bila ganti dengan Pak Lah sama juga dia pertahankan Rafidah.

Dulu (semasa zaman Dr Mahathir) kebanyakan kontrak diberi kepada anaknya, Mirzan dan Mukhriz, sekarang PM sama beri pada anak dan menantu, kataranya lagi.

Turut berucap ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Jangan jadi seperti ayam daging – Tuan Guru Abd Hadi Awang


Tanjung Karang : Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, kita tidak mahu budaya binatang di ajar kepada rakyat. Kita mahu rakyat yang berwibawa dan bertanggungjawab. Beliau berkata demikian sewaktu berceramah di hadapan lebih 10,000 orang di padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Binatang hidupnya hanya untuk makan tetapi manusia makan untuk hidup. Ini berbeza dengan binatang yang hidup untuk makan. Macam ayam daging yang dapat makanan yang cukup, air yang cukup. Kemudian dibawa menaiki lori dan mereka merasa seronok, ujarnya

Tetapi ayam-ayam ini tidak tahu yang mereka akan dijual dan akan disembelih. Tetapi (ayam-ayam tersebut) tidak faham, ujarnya lagi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Terengganu berkata, Negara telah mencapai kemerdekaan hampir 50 tahun, tetapi rakyat masih tidak membuat perubahan. Negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi telah membuat beberapa kali perubahan.

Kerajaan (yang dipimpin) Umno adalah kerajaan manusai bukan kerajaan tuhan yang tentunya mempunyai banyak kelemahan, ujarnya.

Peristiwa 13 Mei adalah satu contoh kegagalan Umno dalam menyatukan kaum kerana hendak menyatukan kaum dengan ekonomi semata-semata. Peristiwa 13 Mei berlaku di negeri yang Umno memerintah tetapi tidak berlaku di Negeri yang PAS kuat seperti di Kelantan dan Terengganu, ujarnya

Peristiwa tersebut berlaku di negeri Selangor dan Perak, Di Kelantan Dato’ Asri telah meminta ahli-ahli PAS supaya menjaga orang-orang cina dan India.

Bila sudah memerintah (mereka) bergaduh sesama sendiri. Untuk menyelesaikan masalah, rakyat mesti membuat perubahan dan rakyat mesti diberi hak mengundi siapa wakil yang terbaik di Parlimen dan DUN, ujarnya lagi.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Marang, berkata, Kita boleh melihat TV tetapi jangan kita percaya. Biar kita yang pulas TV tetapi jangan kita biarkan TV memulas kita. Jadilah orang yang bijak dan boleh membuat perubahan.

Beri peluang PAS memerintah dan lihat perubahan


Tanjung Karang : Bila PAS diberi pelung untuk memerintah seperti di Terengganu tahun 1999, PAS telah membuat perubahan yang baik kepada rakyat, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Terengganu mempunyai royalti minyak dan ada perjanjian yang sah dan ditandatangani oleh Menteri-Menteri Besar. Di dalam perjanjian tersebut negeri-negeri yang mempunyai minyak akan diberikan royalti minyak sebanyak 5%. Semua negeri-negeri menandatangi perjanjian ini termasuk negeri Selangor yang tidak mempunyai minyak serta negeri Kedah dan Perlis yang hanya mempunyai minyak gamat. katanya yang juga Bekas Menteri Besar Terengganu.

Tetapi kerajaan pusat telah bertindak merompak royalti minyak sebanyak 5% tersebut.

Sebaik sahaja PAS diisytiharkan menang, katanya, saya telah mengisytiharkan seluruh bandar di Terengganu dihapuskan cukai pintu rumah kediaman. Kerana kita mengganggap rumah kediaman adalah rukun hidup. Walaupun kita kehilangan duit (hasil daripada cukai) berjuta-juta ringgit, katanya

Kita juga melakukan reformasi tanah dan menyelesaikan masalah setinggan serta petani-petani. Kita memberi hak milik tanah kepada mereka dan diluluskan di dalam mesyuarat EXCO, katanya lagi.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) juga, katanya, diberi lampu hijau untuk menyiasat mana-mana EXCO dan Pegawai kerajaan negeri yang melakukan rasuah dan penyelewengan.

Umno telah melakukan provokasi, yang mengatakan anak-anak EXCO mendapat wang zakat. Ini yang orang-orang Umno tak faham, wang zakat bukan sahaja untuk golongan fakir miskin tetapi ia terbahagi kepada beberapa asnaf. Antaranya ialah fisabilillah, termasuk dalam kategori fisabilillah ini ialah biasiswa kepada pelajar-pelajar, katanya.

Ahli-ahli EXCO kerajaan PAS Terengganu, bukannya seperti ahli-ahli EXCO Umno yang hidup mewah. EXCO-EXCO PAS hidup susah, kerana pendapatan mereka disumbangkan semula kepada rakyat! Sebab itu, anak-anak mereka diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran, katanya lagi

Bila Umno melakukan provokasi tersebut, katanya, BPR terus datang menyiasat, seperti turun tak pijak tangga, dan menyiasat Majlis Agama dan meminta nasihat daripada Mufti, akhirnya perkara, tersebut betul dan tidak menyalahi peraturan.

Turut berucap ialah Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

PKR simpati bila Dr Mahathir disembur gas pemedih mata


Tanjung Karang : Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Bekas Perdana Menteri telah membuat banyak rungutan (terhadap apa yang berlaku pada dirinya) seperti peristiwa penyemburan gas pemedih mata. Kita bersimpati dengan apa yang menimpa beliau, tetapi (kita perlu ingat) siapa yang memulakan semua perkara ini (berlaku).


Pejuang-pejuang reformasi telah lama disembur dengan gas pemedih mata seperti peristiwa yang berlaku di lebuhraya KESAS, ujarnya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, juga berkata, perjuangan PKR akan tetap diteruskan walaupun (Dato’ Seri) Anwar (Ibrahim) telah dilepaskan. Agenda PKR sekarang adalah untuk terus menegakkan keadilan kepada rakyat, ujarnya lagi.


Beliau berkata demikian sewaktu berucap didalam ceramah umum di padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) bersama Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Turut berucap ialah Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.


Dalam berkembangan berlainan, Dr Wan Azizah, telah menyampaikan sumbangan kepada ibu-ibu tunggal di Kampong Parit Serong sempena dengan lawatannya ke kampong tersebut. Beliau turut menyampaikan ceramah kepada kaum wanita di kampong tersebut, kira-kira 300 orang wanita telah menghadiri ceramah tersebut.

Pilihanraya Umum dijangka akan diadakan pada bila-bila masa

Tanjung Karang : Pilihanraya umum dijangka akan berlaku pada bulan Jun, Julai atau ogos 2007. Tetapi dengan perkembangan politik yang berlaku, Pilihanraya dijangka akan berlaku pada bila-bila masa, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali.


Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor menyeru supaya pertugas-petugas PAS disemua peringkat samaada Kawasan, Majlis Tindakan DUN (MTD) dan Unit Peti Undi (UPU) akan melipat gandakan usaha untuk menghadapi pilihanraya.


PAS telah menyusun langkah dan strategi yang baik untuk menapak kemenangan di dalam pilihanraya umum akan datang. Di harapkan dengan kehadiran kedua-dua pemimpin utama dari dua parti akan dapat melonjakkan semangat ahli-ahli dalam pilihanraya umum kali ini, setidak-tidaknya menjadi pembangkang yang kuat (di DUN dan Parlimen), ujarnya.


Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam ceramah umum yang diadakan di pasang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) bersama Penasihat Parti KeADILan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Ceramah yang julung-julung kalinya diadakan di KOMPAS dengan melibatkan dua pemimpin utama Barisan Alternatif (BA) telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai. Dianggarkan lebih 10,000 ribu orang telah menghadiri ceramah tersebut.

8/10/2006

Program turun padang DPP Kawasan

Sungai Gulang-gulang : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah mengadakan program turun padang untuk bertemu dengan pemuda-pemuda di Markaz PAS Sungai Gulang-gulang. Program yang melibatkan 4 Cawangan iaitu Cawangan Sungai Gulang-gulang, Parit Serong, Seri Tiram Jaya dan Mayang Rotan telah berjaya menarik minat pemuda-pemuda di cawangan tersebut.

Program yang dimulakan dengan ucapan aluan daripada Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, selepas itu DPP Kawasan telah menjamu pemuda-pemuda cawangan dengan ikan dan kerang bakar.

Di dalam ucapannya, Ustaz Mat Hasbullah, telah menyeru supaya cawangan-cawangan menguatkan pemuda masing-masing kerana gerak kerja pilihanraya memerlukan tenaga dan sokongan daripada pemuda.

Ini merupakan program kedua yang dianjurkan oleh DPP Kawasan, sebelum ini DPP Kawasan telah mengadakan lawatan yang sama di Markaz PAS Sungai Yu yang melibatkan dua cawangan iaitu Sungai Yu dan Sungai Terap.

Program-program seperti ini akan terus diadakan pada masa yang akan datang untuk merapatkan hubungan antara DPP Kawasan dan pemuda Cawangan-cawangan.

Turut hadir ialah Haji Chamsari Kasaman, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan yang juga Ketua PAS Cawangan Sungai Gulang-gulang dan Haji Sugee Zainal Abidin, Ketua PAS Cawangan Parit Serong. Manakala pimpinan DPP Kawasan yang turut hadir ialah, Timbalan Ketua, Nor Azlan Ahmad, Setiausaha, Mohd Faizal Mohd Barja, AJK DPP Kawasan, Ustaz Shamsudin Mohamad, Muhd Rusli Kamsani, Mohd Sofian Mohd Khalil dan Penyelaras Jabatan Amal dan PASTI Kawasan, Haji Baharuddin Kassim dan Mohd Ramdzan Rosman.

8/07/2006

Klik Untuk Besarkan

8/04/2006

Memorandom kepada OIC gagal dihantar

Putrajaya : Perhimpunan Aman Wanita dan Kanak-kanak bagi menghantar memorandum kepada Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang bermesyuarat di JW Marriot, Putrajaya, atas kelembapan badan tersebut dalam menangani isu Palestin dan Lubnan gagal apabila tiada wakil daripada OIC yang menerima memorandum tersebut.

Perhimpunan yang dikendalikan oleh Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Wanita Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Halwa Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS), telah disertai kira-kira 400 orang wanita dan kanak-kanak. DMP Pusat diketuai oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) DMPP, Ustazah Hajjah Nuridah Salleh manakala Wanita PKR diketuai oleh, Fuziah Salleh.

Perhimpunan aman tersebut berlaku sedikit ketegangan dengan pihak polis apabila mereka tidak dibenarkan berarak ke tempat pemimpin OIC bermesyuarat untuk menghantar memorandum tersebut. Phak polis telah menggunakan 2 ekor anjing bagi menghalang peserta demontrasi untuk berarak ke hotel JW Marriot.

Setelah diadakan beberapa perbincangan dengan pihak polis, seramai 5 orang pimpinan wanita telah dibenarkan menuju ke hotel JW Marriot dengan diiringi oleh beberapa orang polis untuk menghantar memorandam tersebut, antaranya ialah, Ustazah Nuridah, Fuziah Salleh dan Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan.

Bagaimanapun hasrat pemimpin wanita tersebut untuk menyerahkan memorandum tersebut tidak berjaya apabila tiada seorangpun wakil OIC yang menerima memorandum tersebut. Sebaliknya Pengerusi OIC, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, hanya menghantar Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Azhar Othman, untuk menerima memorandum tersebut.

Menurut Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh, Kegagalan OIC menghantar salah seorang Ahli Jawatankuasa OIC (untuk menerima memorandum) menunjukkan kegagalan dan kelemahan pemimpin OIC (yang dipengerusikan oleh Pak Lah). Kalau macam ini bagaimana (pemimpin OIC) hendak menekan UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu)?, soalnya.

“Pak Lah telah menghantar Setiausaha Akhbarnya, Azhar Othman, untuk menerima memorandum tersebut. Apa kaitan Setiausaha Akhbar PM dengan OIC?. Amat malang bagi OIC jika pengerusinya gagal membezakan jawatannya antara Perdana Menteri dan Pengerusi OIC”, ujarnya lagi kesal.

Sementara itu, AJK DMPP, Ustazah Nuridah Salleh, turut kesal dengan tindakan polis yang menghalang peserta demontrasi untuk berarak dengan menggunakan dua ekor anjing.

“Mereka mengatakan kami menggunakan kanak-kanak (untuk menyertai demontrasi). Sebenarnya kami bukan menggunakan kanak-kanak (untuk tujuan itu), tetapi hendak menunjukkan, kanak-kanak yang seperti inilah yang menjadi mangsa (tindakan zionis Israel) di Palestin dan Lubnan”, ujarnya lagi.

Seorang lagi AJK DMPP, Aiman Athirah Al-Jundi, berkata, OIC hanya pandai bercakap tetapi tidak ada (apa-apa) tindakan. Seramai 56 anggota OIC tetapi sehingga kini umat Islam bukan sahaja dihina tetapi telah dibunuh (oleh tentera zionis Israel).

“Malaysia (yang) menjadi Pengerusi tetapi tidak ada apa-apa tindakan. Sepatutnya OIC boleh memanggil dan berjumpa dengan UN. Tetapi OIC hanya mengambil sikap ada telinga tuli, ada mata buta”, ujarnya lagi kesal.

Bagaimanapun memorandum tersebut tidak diserahkan kerana kegagalan pihak OIC menghantar wakilnya bagi menerima memorandum tersebut. Turut serta dalam perhimpunan tersebut ialah Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli.

8/02/2006

PAS Hantar Memorandum Bersama kepada PBB

Kuala Lumpur : PAS telah mengetuai parti-parti politik dan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) menghantar Memorandum Bersama di pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi membantah kegagalan badan dunia itu dalam menangani isu pencerobohan dan kezaliman rejim zionis Israel yang didalangi oleh Amerika Syarikat keatas rakyat Palestin dan Lubnan dengan diiringi oleh kira-kira 500 orang terdiri dari kalangan wanita dan kanak-kanak.

PAS telah diketuai oleh Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) diwakili oleh Naib Presidennya, Tian Chua dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) pula telah diwakili oleh Presidennya, Haji Zaid Kamaruddin.

Seramai 10 orang pemimpin telah berjumpa dengan Penyelaras PBB di ketuai oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Antara yang mengiringi beliau ialah Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Salahuddin Ayub, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad, yang juga Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan beberapa pimpinan yang lain.

Sementara itu diluar pejabat PBB, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli dan Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Idris Ahmad, telah berucap mengecam tindakan tidak bertamadun Israel dan Amerika serta kelemahan PBB dan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang dipengerusikan oleh Malaysia dalam menangani isu ini.

Sejurus selepas itu, Ustaz Nasharuddin telah membacakan kenyataan akhbar bersama yang telah diserahkan kepada wakil PBB. Dalam masa yang sama, orang ramai telah membakar bendera zionis Israel sebagai menunjukkan kebencian terhadap kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis itu.

Antara NGO yang turut sama menghantar memorandum bantahan tersebut ialah
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM), Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan beberapa NGO yang lain.

Antara pimpinan PAS yang turut menyertai demontrasi tersebut ialah Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaafar, AJK Dewan Muslimat PAS (DMP) Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi dan Ustazah Nuridah Salleh.

PAS Kesal PBB & OIC gagal menangani masalah yang berlaku di Palestin dan Lubnan

Kuala Lumpur : Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, kesal dengan kelemahan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menangani isu Palestin dan Lubnan yang telah diserang oleh Rejim Zionis Israel dan didalangi oleh Amerika Syarikat.

PBB, menurutnya, telah hilang fungsi asal penubuhannya. PBB juga gagal membela nasib tentera pengamannya yang telah dibunuh oleh tentera Israel. PBB hanya mengikut telunjuk pihak Amerika sahaja

Sementara itu, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, mempertikaikan kenyataan Menteri Luar, Dato’ Seri Syed Hamid Albar, yang mengeluarkan kenyataan bahawa Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) hanyalah sebagai persidangan semata-mata.

Apa gunanya Malaysia menjadi pengerusi OIC jika hanya untuk menambah jawatan dan menunjukkan kehebatan malaysia semata-mata, katanya lagi.

Di Lubnan, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice, telah dihalau keluar (dari Negara itu) kerana tangan mereka penuh dengan darah, tetapi di Malaysia, Condoleezza Rice, boleh bermain piano, ujarnya kesal.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pula menganggap PBB sebagai ”Pertubuhan Berat Sebelah” kerana tidak mengambil peduli nasib yang menimpa rakyat Palestin dan Lubnan.

Sudah lebih 20 hari Rejim Zionis Israel menyerang Lubnan tetapi mereka masih gagal menumbangkan Hizbullah, katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS (AJK) Pusat, yakin tidak lama lagi Umat Islam boleh bersembahyang di Masjid Al-Aqsa hasil daripada perjuangan yang telah dilakukan oleh Hamas di Palestin dan Hizbullah di Lubnan.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com