.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

12/26/2006

DPP Tanjung Karang sertai Himpunan 15K Pemuda Malaysia

Kota Bharu : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah menyertai Himpunan 15,000 Pemuda Malaysia yang dianjurkan oleh DPP Pusat bertempat di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan.

DPP Kawasan Tanjung Karang telah berjaya menghantar seramai lebih 40 orang peserta diketuai oleh Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin. Peserta Tanjung Karang mula bertolak dari Masjid Jamiul Hasanat Batu 10 selepas isya’ dengan menaiki sebuah bas.

Program yang bermula pada jam 9.00 pagi dimulakan dengan ucapan perasmian daripada Ketua DPP Pusat, Salahuddin Ayub, kemudian ucapan daripada bekas-bekas Ketua DPP Pusat iaitu, Dato’ Haji Mustafa Ali, Dato’ Ustaz Haji Abu Bakar Chik, Haji Mahfuz Omar dan Haji Mohamad Sabu.

Himpunan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pemuda-pemuda seluruh negara itu berhenti rehat untuk makan tengahari dan sembahyang zohor dan disambung semua dengan ucapan daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abd Aziz Nik Mat.

Program berakhir pada jam 5.30 petang dengan penyerahan watikah tugas jentera Pilihanraya pemuda kepada Ketua DPP PAS Negeri-negeri, diikuti dengan bacaan ikrar pemuda dan doa wehdah oleh Ahli Jawatankuasa (EXCO) DPP Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Noor

Umno bawa ajaran sesat – Tuan Guru Nik Abd Aziz

Kota Bharu : Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, berkata, dalam surat khabar selalu disebut, al-arqam sesat, rufaqa’ sesat, tetapi umno sendiri sesat. (Sebab) bila Umno menolak Islam maknannya Umno anggap Islam rosak.

Bila kita beli barang di kedai, kita pilih-pilih barang, bila barang yang kita tolak maknnya barang tu dah rosak, begitu juga Umno, bila dia tolak Islam, maknnya dia anggap Islam ni rosak, katanya.

Bumi yang kita duduk Allah yang buat, tubuh badan kita dari hujung rambut sampai hujung kaki naik semula ke hujung rambut semuanya Allah yang buat, tapi kenapa kita tolak Islam?, maknnaya bukan arqam sahaja sesat tapi umno pun sama, (Ayah) Pin belaka, katanya lagi.

1400 tahun yang lalu Abu Jahal pernah memberi banyak tawaran kepada Nabi Muhamad s.a.w supaya menghentikan dakwah. Kalau Nabi nakkan harta, kami boleh beri, kalau nabi nak perempuan, kami akan beri perempuan.

Umno meniru tawaran Abu Jahal, (contohnya) semasa Pilihanraya Kecil DUN Pengkalan Pasir, Umno telah menawarkan mana-mana wakil rakyat PAS yang masuk Umno akan diberi jawatan Timbalan Menteri Besar. Dua orang wakil rakyat PAS iaitu Dato’ Hasan Mohamad dan ADUN Kemuning, Haji Zakaria Yaakub menerima tawaran setengah juga jika bersetuju menyertai Umno. Tetapi wakil-wakil rakyat PAS tidak melompat parti bila menerima tawaran tersebut, katanya lagi yang juga Menteri Besar Kelantan.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan berkata, sejak PAS memerintahkan Kelantan selama 15 tahun tidak ada apa-apa yang berlaku terhadap orang-orang cina atau sebagainya. Pembangunan di Kelantan juga berlaku dengan pesat. Menyebabkan Umno sekarang tidak lagi menyebut soal pembangunan, sebaliknya menggunakan slogan Kelantan baru.

Kelantan, katanya, adalah pembawa perubahan contohnya Kerajaan Kelantan telah menubuhkan sistem pajak gadai Islam Ar-Rahn, mewajibkan projek-projek perumahan mempunyai 3 bilik dan sebagainya, ini adalah kejayaan yang PAS bawa selama memerintah kelantan.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam Himpunan 15,000 pemuda Malaysia di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan. Turut berucap ialah Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Ciri-ciri perjuangan Islam

Kota Bharu : Perjuangan (untuk) menegakkan Islam menentang musuh-musuhnya akan sampai sehingga hari qiamat. Yang menyambung perjuangan Nabi sekarang ialah parti Allah yang ditentukan oleh Allah di dalam al-quran, kata Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang.

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya.

Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.


Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, Islam yang menjadi penyelamat ini tidak boleh ditegakkan melainkan dengan perjuangan, dengan jihad dan dengan kesediaan kepada kita untuk mengorbankan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah sebagaimana firmannya,

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan yang besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya) dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa Ibni Mariam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)? Mereka menjawab: Kamilah pembela-pembela (agama) Allah! (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang.

Perjuangan Islam, menurutnya, ada pasang surut dan kalah menang. Ingat!, jangan lari dari perjuangan Islam, kamu mesti terus dengan Islam. Jadilah kamu seperti pengikut-pengikut Nabi Isa mereka tidak berganjak dengan Islam, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Terengganu

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di dalam Himpunan 15,000 pemuda Malaysia di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan. Turut berucap ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Perjuangan Islam sedang dikepung di seluruh negara

Kota Bharu : Hari ini perjuangan Islam menghadapi cabaran di seluruh dunia, apa yang berlaku di Iraq menghadapi serangan dari tentera bersekutu. Begitu juga apa yang berlaku di Afghanistan NATO telah mengambil alih kuasa dari tentera Amerika.

Apa yang berlaku di Palestin kerajaan Hamas dikepung, disekat segala kemudahan dan kewangan. Yang berlaku di depan mata kita sendiri di Kelantan dan Terengganu sewaktu PAS memerintah, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Kita dikepung oleh kuasa politik, media dan sebagainya, apa salah kita?, salah kita ialah sebab kita hendak menegakkan Islam, sebab kita hendak mendaulatkan Islam, mendaulatkan syariat Islam..

Kenapa mereka marah kepada kita? Kepung kita?, sebabnya kerana kita berjuang untuk Islam. Kalau inilah perjuangan kita, kerana Islam yang hendak kita tegakkan, maka inilah perjuangan yang benar perjuangan yang bersungguh-sungguh untuk mendaulatkan Islam.

Beliau yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, orang-orang melayu yang beragama Islam telah hilang rasa sensiviti dengan apa sahaja rasuah dan penyelewengan yang berlaku dalam negara.

Di Jepun bila seorang kakitangan kerajaan di bawah kerajaan LDP pada tahun 80-an, rakyat jepun telah menolak parti LDP di dalam pilihanraya. Di India bila berlaku rasuah dalam pembelian senjata rakyat India mengalahkan parti kongress di dalam Pilihanraya.

Tetapi di negara kita bila berlaku banyak skandal, tetapi tidak ada di dalam pemikiran rakyat untuk membuat perubahan. Inilah banjir kesesatan yang menyesatkan pemikiran.

Perjuangan Islam, menurutnya, adalah seperti Emas yang mahal dengan batu yang tidak berharga. Batu yang tidak berharga boleh diambil ditepi-tepi jalan, tetapi emas yang mahal perlu digali, dipecah batunya, dibakar sehingga cair dan dibentuk barulah ia menjadi emas yang mahal. Inilah perjuangan Islam.

Turut berucap ialah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Talqinkan politik Umno dan Bn dalam Pilihanraya umum akan datang

Kota Bharu : Bekas Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Haji Mahfuz Omar, berkata, Islam sedang di ancam, rakyat sedang di ancam, kedaulatan negara sedang digugat dan yang menggugatnya ialah Umno dan Barisan Nasional (Bn) di dalam negara kita.

Marilah dengan moto dan tema Pemuda Sebagai Penggerak Kebangkitan Rakyat supaya seluruhnya dapat melihat bahaya Umno dan Bn lebih bahaya daripada dadah. Ini mesti disuntik ke dalam pemikiran rakyat, katanya.

Umno dan Bn merupakan bahaya kepada kepada Islam. Umno telah gagal memberi perlindungan kepada Islam, Umno gagal beri perlindungan kepada hak umat Islam. Mereka hanya mampu berucap retorik dengan slogan kosong di dalam Perhimpunan Agung Umno, katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat juga berkata, Pemuda Umno hanya mampu mencabut dan mencium keris sahaja. Pemuda PAS saya yakin tidak seperti Pemuda Umno. Semangat keberanian, semangat kepahlawanan, semangat sebagai seorang mujahid ada di dalam setiap Pemuda PAS.

Sekarang, katanya, anda semua seharusnya merasai betapa umat kita sedang terancam. Oleh sebab itu di tangan andalah untuk mentalqinkan politik Umno dan Bn pada Pilihanraya Umum akan datang.

Kita sudah tidak mempunyai waktu untuk menanti satu waktu yang lain sekaranglah waktu untuk mentalqinkan politik Umno dan Bn, katanya yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah

Mereka sedang menjual maruah negara, mereka sedang menggadai kedaulatan negara satu demi satu. Bila berhadapan dengan orang melayu mereka kata mereka adalah pejuang melayu dan bangsa tetapi sebenarnya merekalah penyangak-penyangak bangsa, katanya lagi.

Pemuda PAS mempunyai tanggungjawab yang besar

Kota Bharu : Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Salahuddin Ayub, berkata, Pemuda PAS mempunyai tanggungjawab besar bila pulang ke tempat masing-masing. Kita akan menghadapi ancaman gejala sosial, ancaman bagaimana Umno mendaftarkan pengundi-pengundi hantu, bagaimana musuh-musuh Islam cuba merungkai Islam termasuk dari Pemuda dan Puteri Umno.

Pimpinan PAS, menurutnya, meletakkan tanggungjawab ini kepada pemuda PAS Cawangan-cawangan. Pemuda PAS tidak sama dengan pemuda Umno. Antara kita dan pemuda Umno jarakkannya umpama bumi dengan langit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan, berkata, walaupun mereka ada kekuatan wang ringgit dan jentera kerajaan tetapi mereka tidak ada 2 perkara di dalam jiwa mereka iaitu semangat juang Islam dan Akhlak Islam yang mulia. Inilah yang membezakan pemuda PAS dan pemuda Umno.

Beliau juga meramalkan Pilihanraya Umum akan diadakan pada hujung tahun 2007. kita bersedia untuk menjadi petugas dan jentera Pilihanraya, di tangan pemudalah diletakkan tanggungjawab ini.

Pemuda PAS bersedia untuk bertarung dengan mereka diatas pentas yang ada. Tetapi jangan ada tangan-tangan yang merosakkannya, katanya.

PAS, menurutnya, telah membuat tiga tuntutan yang perlu ditunaikan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) iaitu bersihkan daftar pemilih daripada pengundi-pengundi hantu. Yang kedua, meminta dakwat untuk celup cap jari dan yang ketiga ialah hapuskan pengundi pos.

Beliau juga mengigatkan supaya jangan mencabar pemuda PAS, jangan bakar darah pemuda, kita bersedia berjuang diatas pentas yang bersih jika mereka abaikan tunggu arahan daripada pemuda, katanya lagi.

Beliau berkata demikian waktu berucap merasmikan Himpunan 15,000 Pemuda Malaysia yang diadakan di Padang Perdana, Kota Bharu, Kelantan

12/14/2006

Klik Untuk Besarkan

12/13/2006

Nisa’ Bersama mu di Tanjung Karang

Tanjung Karang : Nisa’ negeri Selangor telah mengadakan program Nisa’ bersama mu di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong dan telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Negeri Selangor, Hajjah Wan Hasrina Wan Hassan.



Dalam program tesebut Nisa’ Negeri telah memberikan sumbangan kepada penduduk miskin di sekitar DUN Sungai Burong antara cawangan yang terlibat dalam program tersebut ialah PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, Ban 3 Parit 1 Sungai Sireh, Sungai Kajang, Batu 12 dan Parit 4 Dalam.

Rombongan-rombongan Nisa’ tersebut telah disambut oleh Ketua-ketua Muslimat PAS Cawangan masing seperti, Ketua Muslimat PAS Batu 9 Kampong Tengah, Siti Insiah Haji Tahir dan Ketua Muslimat Ban 3 Parit 1 Sungai Sireh, Hajah Salimah Sukaimi, yang juga Ahli Jawatankuasa DMP Kawasan Tanjung Karang.


Program yang berlangsung selama 2 hari tersebut turut melibatkan pelajar-pelajar di sekitar Tanjung Karang. Berbagai aktiviti telah diadakan seperti ceramah motivasi, pertanding nasyid dan sebagainya.


Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Nisa’ Pusat, Muna Izzah Dato’ Fadzil dan beberapa AJK Nisa Pusat serta Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Jamaiyah Yusof.

Umno yang telah “melingkup” bangsa Melayu – Ustaz Kamal Ashaari.

Sawah Sempadan : Kesan daripada kesilapan rakyat dalam memilih pemimpin di dalam Pilihanraya Umum yang lepas ialah dengan kenaikan harga barang, minyak dan sebagainya. Manakala pada tahun hadapan harga tol pula akan dinaikkan oleh kerajaan, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Kamal Ashaari, sewaktu berceramah di Markaz PAS Block C, Sawah Sempadan.

Beliau turut mempertikaikan sepanjang Dato’Seri Abdullah Ahmad Badawi,menjadi Perdana Menteri selama 3 tahun apa yang kurang? Jenayah semakin meninggkat, bilangan penagih dadah juga turut meningkat dan sebagainya.

Beliau turut menyentuh mengenai tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang telah bertindak merobohkan rumah setinggan di Kampung Berembang yang telah didiami oleh penduduk tersebut sejak 40 tahun yang lalu. Sedangkan majoriti penduduk di Kampong Berembang adalah ahli-ahli Umno.

Penduduk Kampong Berembang memohon tanah kepada kerajaan negeri tetapi tidak diluluskan oleh kerajaan yang mereka sokong selama ini. Tetapi bagaimana Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Datin Zizah Ngah boleh dianugrahkan sebanyak 8 lot tanah dengan mudah dan dengan harga yang sangat rendah di Kampong Idaman?, soalnya.

Sebenarnya, menurutnya, Umno adalah pelingkup kepada orang-orang melayu bukannya pembela orang melayu seperti yang di war-warkan didalam Pehimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Diakhir ucapannya beliau berkata, tidak ada yang boleh mengubah masyarakat melainkan kita sendiri melalui Pilihanraya Umum akan datang.

Ceramah yang julung-julung kalinya diadakan di Markaz PAS Block C, Sawah Sempadan telah dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang. Turut hadir ialah, Yang Dipertua PAS (YDP) Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad, Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim.

Umno berpura-pura membela Islam

Tanjung Karang : Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat, Ustaz Idris Ahmad, meminta supaya pemuda-pemuda yang menjadi penyelamat ummah, aqidah serta menyelamatkan bangsa dalam negeri Selangor ini. Barisan Nasional (BN) telah membawa rakyat ke dalam kesesatan sama ada dalam agama ataupun bangsa.

Pemuda Umno kononnya mahu membela murtad. Kenapa (mereka) membangkitkan isu murtad di dalam Perhimpunan Agung Umno?. Kenapa bila (Dato Seri) Nazri Aziz berkata penunjuk perasaan yang menentang IFC di Pulau Pinang sebagai bodoh. orang-orang Umno hanya mendiamkan diri?, soalnya.

Ini disebabkan sentimen rakyat yang menyebelahi PAS yang telah memperjuangkan isu tesebut sejak dari awal lagi.

Tetapi di dalam Perhimpunan Agung Umno berlagak seperti harimau. Beribu-ribu orang (Islam) telah murtad tetapi baru sekarang (kononnya) hendak jadi pembela.

Selama ini yang menjadi pembela keluarga Noraishah Bukhari, Hartina Kamaruddin ialah orang-orang PAS. Mana pemuda-pemuda Umno?, soalnya lagi

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di perasmian Himpunan Pemuda PAS (HIMPAS) 06 dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Selangor di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Berbagai masalah dalam pentadbiran Negeri Selangor

Tanjung Karang : Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir, mempertikaikan bagaimana seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor Kawasan Pelabuhan Klang, Dato’ Zakaria Md Deros, yang kelayakan akademiknya rendah dan bekerja sebagai penjaga pintu pagar keretapi sebelum menjadi ADUN) boleh membina Istana dengan 17 buah bilik, walaupun hanya baru dua penggal menjadi ADUN.

Selain itu, Zakaria, sebagai Ahli MPK turut gagal mengemukakan pelan kepada MPK untuk membina Istana tersebut. Ahli-ahli MPK yang lain juga gagal mengemukakan pelan kepada MPK dalam pembinaan rumah mereka.

Beliau yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kelana Jaya, juga berkata, belum pun habis isu yang membabitkan ADUN Pelabuhan Klang tersebut, seorang lagi wakil rakyat BN iaitu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Negeri Selangor, Dato’ K Sivalingam, turut gagal mengemukakan pelan dalam pembinaan restoran miliknya yang terletak di Padang Jawa, Shah Alam.

Selain itu katanya, Di Seksyen 7 Shah Alam terdapat Kompleks rumah-rumah EXCO Selangor yang bernilai RM20 juta untuk 10 orang EXCO. Daripada 10 buah rumah tersebut hanya 4 buah rumah sahaja yang didiami oleh EXCO Selangor manakala yang selebihnya hanya dijadikan rumah persinggahan dan menjadi kediaman ahli keluarga EXCO.

Menurutnya lagi, Kos hidup rakyat semakin hari semakin neninggkat dengan kenaikan cukai tanah sebanyak 10%, kenaikan bilelektrik dan air. Pada tahun hadapan kerajaan seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Seri S Samy Vellu akan menaikkan tol bermula 1 Januari 2007.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap di Himpunan Pemuda PAS (HIMPAS) 06 dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Selangor di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

HIMPAS 06 & Pelancaran Jentera Pilihanraya Pemuda Selangor

Tanjung Karang : Himpunan Pemuda PAS Negeri Selangor (HIMPAS) 06 dan Pelancaran jentera Pilihanraya Pemuda Negeri Selangor telah berjaya diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Program tersebut yang melibatkan seluruh pemuda-pemuda PAS Negeri Selangor dan telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Idria Ahmad, yang juga Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Pusat. Turut memberikan amanat kepada jentera pilihanraya pemuda ialah Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir.

Program selama sehari tersebut berakhir pada jam 3.30 petang dengan dimulakan dengan Nyanyian Lagu Tema PAS dan Unit Amal pada waktu pagi selepas itu Timbalan Ketua DPP Selangor, Ustaz Kamal Ashaari selaku Pengarah HIMPAS telah memberikan kata-kata aluan diikuti dengan ucapan Ketua DPP Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom.

Manakala Ketua DPP Pusat, Salahuddin Ayub telah memberikan pidato khas kepada pemuda-pemuda pada waktu petang. Simbolik kepada pelancaran HIMPAS dan jentera Pilihanraya tersebut ialah menyerahan bendera PAS oleh Ustaz Idris Ahmad kepada DPP Kawasan-kawasan seluruh negeri Selangor.

Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad dan Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com