.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

2/28/2007

KOHAF berjaya adakan Mesyuarat Agung Permulaan

Tanjung Karang : Koperasi Hartanah Al-Falah Kuala Selangor Berhad (KOHAF) telah berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Permulaan bertempat di Dewan Besar Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Cawangan Tanjung Karang di Sungai Kajang.

Mesyuarat Agung Permulaan tersebut telah dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Ekonomi, Jabatan Pembangunan Koperasi Wilayah Sabak Bernam/ Kuala Selangor, En Silvam.

Di dalam Mesyuarat Agung Permulaan tersebut turut diadakan pemilihan Ahli Lembaga Koperasi, antara yang terpilih ialah, Ustaz Mohd Judi Sarjo, Ustaz Mat Hasbolah Sudin, Abd Malek Abd Majid, Nor Az Azlan Ahmad, Mohd Faizal Mohd Barja, Ustaz Mohd Tohid Sanimun, Haji Baharuddin Kassim, Mohd Sofian Mohd Khalil, Mohd Ramdzan Rosman dan Ustazah Jamiyah Yusof.

Manakala muka-muka baru ialah yang menganggotai ALK ialah, Azami Masri, Abd Rahman Bujang, Ustazah Shamsiah Arsad dan Ustaz Kassim Kayat

Turut hadir ialah Penasihat Kehormat KOHAF, Ustaz Musa Mohamad yang juga Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan dan Ketua Urusan Ulama' PAS Kawasan,
Ustaz Khairullah Junid

Kemenangan Islam Semakin Hampir

Tanjung Karang : Kemenangan di dunia hanya seketika tetapi kemenangan di akhirat (adalah) lebih utama, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu menjadi ahli panel Forum Perdana Kemenangan Islam Semakin Hampir di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat.

Pendokong PAS perlu sedar akan segala bentuk gangguan, cabaran, godaan dan ujian dalam perjuangan Islam. Tiada keikhlasan (dalam perjuangan) punca gugur dalam perjuangan Islam, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Pahang, juga menyeru supaya terus tekadkan usaha dan gerak kerja untuk kemenangan Islam. Jika tidak mahu menyokong Islam jangan menyusahkan pejuang Islam. Susana akan semakin hancur jika Umno/ Bn berkuasa lebih lama, katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi AJK PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, yang menjadi ahli panel di dalam forum tersebut berkata, Kedatangan bangsa Jawa, Banjar dan Bugis ke Melaka adalah untuk membantu orang Melayu menyerang Portugis yang hendak menghancurkan Islam di Tanah Melayu, bukan sekadar untuk mencari tanah kebun dan sebagainya.

Kemenangan perjuangan Islam dari hijrah Rasulullah s.a.w merubah segalanya, menegakkan yang hak dan menolak kebatilan, katanya yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka.

Umno, katanya, tidak kuat kerana mereka banyak bergantung kepada harta kerajaan. PAS yang dituduh lemah tapi tidak pernah menggunakan harta kerajaan sebaliknya mempunyai bangunan markaz sendiri, katanya lagi.

Naib Presiden PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali, pula berkata, Potensi kemenangan di Selangor makin jauh jika sokongan terhadap Islam masih longgar, kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi, supaya jangan suka mengintip program maksiat hanya akan mengundang bala kemungkaran semakin berleluasa.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, juga menyeru supaya orang ramai membina sistem keluarga menurut acuan Islam dengan mengadakan usrah, kuliah, bacaan al-quran dan sebagainya. Ahli-ahli PAS juga tidak wajar berdiam diri demi menuju kemenangan Islam.

Forum Perdana yang julung-julung kalinya diadakan ini telah dipengerusikan oleh, Ketua Penerangan Jabatan Pilihanraya PAS Negeri (JPN) Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi. Turut hadir ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang, AJK PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

2/26/2007

Sila Klik Untuk Besarkan

2/23/2007

Pemuda Tanjung Karang sertai persidangan pengurus DPP

Kota Bharu : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah menyertai Persidangan Pengurus-Pengurus DPP yang diadakan di Hotel Perdana, Kota Bharu, Kelantan selama 3 hari 2 malam pada 17-19 Februari 2007.

Persidangan tersebut yang melibatkan Ketua dan Setiausaha DPP Kawasan-Kawasan seluruh negara bertujuan untuk memantapkan pentadbiran pemuda PAS Kawasan di semua peringkat, terutamanya dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 yang akan datang

DPP Kawasan telah diwakil oleh Setiausaha DPP Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja dan Ketua Penerangan DPP Kawasan, Ustaz Muhd Faizal Al-Hafiz.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Bendahari DPP Pusat, Zaki Ibrahim, yang juga Ketua DPP Negeri Kelantan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran Kelantan.
Manakala majlis penutup pula telah dilakukan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Haji Husam Musa, yang juga EXCO Kanan Kerajaan Negeri Kelantan. Turut hadir ialah Ketua DPP Pusat, Salahuddin Ayub.

2/14/2007

Sila klik untuk besarkan

2/13/2007

DPPNS edar buletin Ren Min Shi Shi kepada penduduk cina di Tanjung Karang.

Tanjung Karang : Lajnah Integrasi Nasional Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) telah mengedarkan buletin Ren Min Shi Shi kepada masyarakat cina disekitar Tanjung Karang sempena dengan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi.

Sebanyak 2,000 naskah telah diedarkan disekitar pekan Tanjung Karang dan Bagan Pasir diketuai oleh Pengerusi Lajnah Integrasi Nasional DPPNS, Zahriezan, pada jam 10.00 pagi sehingga jam 1.00 tengahari.

Rata-rata masyarakat cina menyambut baik langkah PAS mengedarkan buletin tersebut kepada mereka.

Seluruh DPP Kawasan di Negeri Selangor turut mengedarkan buletin tersebut di kawasan masing-masing pada hari yang sama. Manakala Kawasan Tanjung Karang telah dipilih sebagai tuan rumah untuk pelancaran bagi peringkat negeri Selangor.

Ren Min Shi Shi ialah buletin yang diterbitkan oleh Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat sejak tahun lalu untuk memberi penerangan kepada masyarakat cina mengenai PAS.

Turut menyertai program tersebut ialah Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS), Haji Yusof Ludin dan Setiausaha PAS Kawasan, Haji Mohd Saad Ibrahim.

Manakala DPP Tanjung Karang telah diketuai oleh Ketuanya, Ustaz Mat Hasbullah Sudin dan beberapa orang AJK DPP Kawasan serta Pemuda Cawangan. Unit Amal Kawasan Pandan turut menyertai program tersebut.

2/05/2007

PAS Perlukan kuasa politik untuk membuat perubahan

Tanjung Karang : Pada zaman nabi-nabi banyak ujian-ujian yang memerlukan pengorbanan dan perjuangan PAS berdasarkan kepada syariat dan al-quran adalah hujah dalil qat’ie. Setiap kerja yang kita lakukan perlu mendapat redha Allah, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Ustazah Hajjah Jamilah Ibrahim.

Beliau yang juga Bekas Anggota Dewan Negara berkata, saya pernah mencadangkan di dalam Dewan Negara supaya kilang-kilang menetapkan jadual kerja bagi kaum wanita pada waktu siang sahaja. Kerana pada waktu malam kaum wanita mempunyai tanggungjawab lain sebagai isteri di rumah.

Sebab bila isteri bekerja pada waktu malam, suami tidak ada yang melayan dirumah, itu diantara sebab berlakunya sumbang mahram sekarang. Tetapi cadangan tersebut tidak diterima oleh pihak kerajaan dan mereka mengatakan pembangkang perfikiran tertutup, katanya.

Beliau juga menyeru kepada kaum wanita supaya memilih pemimpin yang halatujunya jelas kepada Allah, kepimpinan yang benar-benar berjuang untuk Islam bukan yang palsu.

Ustazah Jamilah yang juga Bekas Ketua DMPP, mengambil contoh kerajaan negeri Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, telah mengeluarkan wang kerajaan Kelantan dari Bank biasa kepada Bank Islam sebaik sahaja memerintahkan Kelantan. Hasilnya Bank-bank lain telah membuka system perbankan Islam selepas itu.

Tok Guru Nik Aziz juga telah mewujudkan pajak gadai Islam iaitu system Ar-Rahn, sekarang Ban Rakyat telah meniru cara Kelantan. Dikelantan juga diwujudkan Sekolah ”Bustanul Arifin” iaitu sekolah yang menggunakan sistem thahfiz dan sains. Hasrat Tok Guru Nik Aziz ialah satu masa akan datang sekolah ini akan melahirkan profesional yang hafiz, katanya.

Menyentuh mengenai Islam hadhari yang dijaja oleh kerajaan sekarang, beliau berkata, Islam tetap Islam tidak perlu diletakkan hadhari sebab Islam itu sendiri bersifat hadharah, sebagai contoh sebelum kedatangan Islam kanak-kanak perempuan dibunuh hidup, tetapi selepas kedatangan Islam melarang perbuatan tersebut. Itu tandanya Islam membela wanita, katanya lagi.

Sebab itu, katanya, kuasa melalui politik perlu diperjuangkan sebab dia boleh membawa perubahan.

Beliau berkata demikian sewaktu berceramah isu semasa yang dianjurkan oleh PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, di Bilik Gerakan PAS Cawangan. Ketua DMP Tanjung Karang, Ustazah Hajah Jamiyah Haji Yusof, turut memberikan ucapan.

Ini adalah kali kedua Ustazah Jamilah, memberikan ceramah anjuran PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari muslimat. Turut hadir ialah Naib Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajah Sabariah Hashim dan beberapa AJK DMP Kawasan.

Banjir : Tanda amaran Allah kepada manusia

Tanjung Karang : Ketua Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang, Ustazah Hajah Jamiyah Haji Yusof berkata, biasanya pada hujung-hujung tahun banjir akan melanda Kelantan dan Terengganu. Tetapi kenapa dengan tiba-tiba banjir besar melanda Johor.

Itu semua, katanya, adalah tanda-tanda amaran Allah kepada manusia sebagai peringatan. Tentera-tentera Allah ada macam-macam dari bumi, udara, air, angin dan sebagainya. Allah tidak menganiaya hambanya tetapi kitalah yang menzalimi diri kita sendiri, katanya.

Di kelantan bila berlaku banjir mangsa-mangsa banjir yang dikumpulkan di tempat pelindungan sentiasa melakukan sembahyang hajat, zikir dan sebagainya, tetapi di johor diadakan konsert untuk menenangkan jiwa, katanya kesal.

Beliau juga turut menyentuh mengenai masalah murtad yang semakin berleluasa di dalam negara, di malaysia, katanya, menurut seorang bekas Mubaligh Kristian di Sabah, bukan 250,000 orang melayu yang murtad tetapi lebih dari angka itu. Sekarang, bekas mubaligh tersebut telah memeluk Islam.

Menurut bekas mubaligh kristian itu juga, setiap hari rabu dan sabtu pendakyah-pendakyah kristian akan menyebarkan risalah-risalah mereka di tempat-tempat awam termasuklah masjid dan surau untuk meluaskan pengaruh mereka, ada kalanya pendakyah-pendakyah ini akan bertudung semasa menyebarkan risalah tersebut, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu berceramah isu semasa yang dianjurkan oleh PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, di Bilik Gerakan PAS Cawangan bersama bekas Ketua DMP Pusat, Ustazah Hajah Jamilah Ibrahim

Turut hadir ialah Naib Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajah Sabariah Hashim dan beberapa AJK DMP Kawasan.

2/03/2007

Pimpinan PAS Tanjung Karang terus ziarahi aktivis PAS Kawasan di HTAR

Klang : Pimpinan PAS Kawasan Tanjung Karang terus menziarahi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan, Wan Dolah Wan Konok, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sejak isnin yang lalu.

Pimpinan PAS Kawasan Tanjung Karang diketuai oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, selama kira-kira setengah jam. Wan Dolah atau lebih mesra dengan panggilan Pak Wan masih belum sedarkan diri sejak dimasukkan ke HTAR.

Isterinya, Sumijah Mohamad, 49, mengucapkan terima kasih atas kesudian pimpinan PAS Kawasan menziarahi suaminya yang sedang terlantar di hospital berkenaan dan memohon doa daripada pimpinan PAS Kawasan supaya Pak Wan disembuhkan seperti sedia kala.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Naib YDP PAS Kawasan, Dr Haji Md Yusof Abd Wahab, AJK PAS Kawasan, Ustaz Haji Kassim Kayat, Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja, AJK Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, Hajjah Pawet Jupri dan beberapa aktivis PAS Kawasan, Haji Salleh Abul dan Haji Ithnain Salleh.

Sebelum ini antara pimpinan PAS yang telah menziarahi Pak Wan adalah bekas YDP PAS Kawasa, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, yang juga Naib Presiden PAS dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor serta AJK PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin yang juga Timbalan YDP PAS Kawasan.

2/02/2007

Dr Hasan Ali lawat aktivis PAS Tanjung Karang di HTAR

Klang : Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, telah meluangkan masa kira-kira setengah jam, mengunjungi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjung Karang, Wan Dolah Wan Konok, 53, yang kini sedang dirawat di wad 8B, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang sejak Isnin lalu akibat penyakit barah hati.

Beliau yang juga bekas Yang Dipertua PAS (YDP) Kawasan Tanjung Karang, turut melahirkan rasa dukacita terhadap masalah yang dihadapi oleh Wan Dolah atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan dikalangan ahli PAS Tanjung Karang. Dalam lawatan singkat tersebut beliau sempat bertanyakan masalah kesihatan yang dialami oleh Pan Wan kepada isterinya, Sumijah Mohamad, 49.

Menurut isterinya, Pak Wan telah mengidap penyakit barah hati sejak beberapa tahun yang lalu dan telah mendapat beberapa kali rawatan di hospital sebelum ini, namun penyakit ini semakin serius sejak beberapa hari yang lalu.

Selain itu, kata isterinya, Pak Wan turut mengalami beberapa masalah kesihatan lain antaranya penyakit buah pinggang dan menerima rawatan diabetis sebanyak 3 kali seminggu. Pak Wan juga turut mengidap penyakit buah pinggang dan kencing manis.

Isterinya turut melahirkan ucapan terima kasih diatas kunjungan Dr Hasan Ali, yang sudi meluangkan masa melawat suaminya.

Pak Wan merupakan aktivis PAS Tanjung Karang yang banyak berkorban dari sudut tenaga dan hartanya kepada perjuangan PAS terutama semasa, Dr Hasan Ali, menjadi ADUN Sungai Burong. Antara jasanya ialah sebagai Ahli Jawatankuasa Pembinaan Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang terletak di Jalan Jepun.

Dr Hasan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, turut berkesempatan menziarahi beberapa orang pesakit yang menyedari kehadirannya di wad berkenaan dan mereka telah melahirkan rasa gembira atas kesudian Dr Hasan, menziarahi mereka.

Turut mengiringi beliau ke HTAR ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang, Mohd Faizal Mohd Barja. Sebelum ini beberapa pimpinan PAS Kawasan Tanjung Karang turut menziarahi beliau antaranya ialah Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Abd Ghani Shamsudin.

Aktivis PAS Kawasan Tanjung Karang dimasukkan ke HTAR

Klang : Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjung Karang, Wan Dolah Wan Konok, telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang sejak Isnin lalu (29/1/2007) di tingkat 8B dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau dilaporkan mengalami penyakit barah hati dan memerlukan kos sebanyak RM300,000 untuk membuat pembedahan menukar hati. Selain itu, Wan Dolah, juga turut mengalami beberapa masalah penyakit yang telah lama dialami iaitu gout, buah pinggang dan kencing manis.

Sepanjang bergiat aktif dengan PAS, banyak jasa dan sumbangan yang telah dicurahkan kepada PAS Kawasan khususnya semasa PAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong pada tahun 1999 melalui calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, selain itu beliau juga pernah diamanahkan sebagai bendahari Majlis Tindakan DUN (MTD) Sungai Burong, AJK Jabatan Pilihanraya Kawasan (JPrK) Tanjung Karang di dalam pilihanraya umum yang lepas.

Manakala di peringkat cawangan beliau merupakan AJK PAS Cawangan Dato’ Manan selain telah diamanahkan sebagai AJK PAS Kawasan Tanjung Karang sejak tahun 2003 yang lalu.

Wan Dolah, merupakan seorang pengusaha restoran yang berjaya di Tanjung Karang iaitu Restoran Pantimur dan mempunyai beberapa cawangan di sekitar daerah Kuala Selangor. Rumah beliau di Kampong Dato’ Manan dan Restorannya sering dijadikan persinggahan oleh pimpinan PAS Pusat untuk menikmati jamuan sebelum berceramah.

Antara pimpinan PAS Tanjung Karang yang telah menziarahi beliau ialah YDP PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Timbalan YDP, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, yang juga Ketua PAS Cawangan Dato’ Manan dan beberapa pimpinan PAS Kawasan selain sanak saudara yang terdekat.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com