.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

6/20/2006

Pemimpin yang gigih dan disegani oleh kawan dan lawan

Ustaz Haji Musa Mohamad, 64, merupakan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang yang gigih dan disegani oleh kawan dan lawan.

Diatas kegigihannya, PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri yang dipimpinnya kini telah mempunyai bangunan sendiri yang berharga RM40,000.00. Bangunan tersebut kini dijadikan sebagai kelas PASTI Al Hidayah, Batu 10.

Beliau juga telah berusaha mencari dana melalui PAS Cawangan-cawangan untuk membayar hutang tanah dan pembinaan Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang berjumlah ratusan ribu dan sehingga kini telah berkurangan sehingga sebanyak RM30,000.00.

Latarbelakang

Beliau yang dilahirkan pada 16 Mac 1942 di Batu Pahat, Johor, tetapi dibesarkan di Sekinchan, Selangor adalah anak ke 5 daripada 8 orang adik beradik (4 lelaki dan 4 perempuan) kepada pasangan, Mohamad bin Haji Ariff dan Rupiah bt. Sarudin. Ibu bapanya merupakan seorang petani.

Pendidikan

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Leman, Sekinchan dari darjah 1 sehingga darjah 5 pada tahun 1951. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Sekolah Arab Nurul Falah Sungai Leman pada tahun 1959, dari darjah 3 sehingga darjah 6. Manakala pada tahun 1960 beliau memasuki Darjah Khas tahun 2 di Sekolah Agama Batu 23 Sungai Nibong.

Pada tahun 1961 beliau menyambung pelajaran di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum Dato’ Manan, Tanjung Karang sehingga mendapat Rabi’ Ibtida’i. Sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Agama Menengah Batu 38 Sabak Bernam dan mendapat Thani Thanawi dan berhenti sekolah kerana mendapat tawaran bekerja sebagai guru.

Beberapa tahun kemudian beliau menyambung pelajar semula di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum Dato’ Manan, dan mendapat Rabi’ Thanawi pada tahun 1970.

Kerjaya

Beliau memulakan kerjaya sebaik sahaja menamatkan pelajar di Sekolah Agama Menengah Batu 38 Sabak Bernam, pada 1 Januari 1962 di Sekolah Rendah Agama Parit 7 Sungai Leman, sebelum berpindah ke Sekolah Arab Mamba’ul Ulum pada tahun 1968. Ketika mengajar di sekolah tersebut, beliau tidak melepaskan peluang untuk meningkatkan kelayakkannya dalam bidang agama, lantas beliau telah mengambil peperiksaan Rabi’ Thanawi di sekolah berkenaan dan telah berjaya memperolehi sijil Rabi’ Thanawi pada tahun 1970.

Pada tahun 1977 beliau telah dipindahkan ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa Tanjung Karang sehingga tahun 1978. Manakala pada 1 Januari 1978 beliau telah berpindah ke Sekolah Rendah Agama Batu 11 selama 16 hari sebelum dipindahkan ke Sekolah Rendah Agama Seri Tiram Jaya pada 17/1/1978 sehingga tahun 1982.

Manakala pada tahun 1982 beliau telah bertugas di Sekolah Rendah Agama Parit Serong sehingga tahun 1984. Dan pada tahun 1984 beliau telah bertukar ke Sekolah Rendah Agama Parit 4 Sekinchan, selama 13 tahun sebelum bersara pada tahun 1997.

Di Sekolah Rendah Agama Parit 4 Sekinchan, beliau telah dilantik sebagai Penolong Kanan pada tahun 1984 sehingga tahun 1995. Manakala pada tahun 1995 beliau telah dilantik sebagai Guru Besar di sekolah berkenaan sehingga beliau bersara pada tahun 1997.

Keluarga

Beliau yang kini menetap di Batu 10, Jalan Bernam, Tanjung Karang, telah mendirikan rumahtangga dengan Ustazah Hajjah Napsiah bt. Maon, 53, pada tahun 1 Januari 1972. Hasil perkongsian hidup selama 34 tahun beliau telah dikurniakan seramai 3 orang cahayamata, seorang lelaki dan 2 orang perempuan. Anak lelakinya telah mendirikan rumahtangga dan beliau telah dikurniakan seorang cucu.

Isterinya yang kini mengajar di Sekolah Rendah Agama Sungai Sireh juga merupakan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al Hidayah Batu 10, sejak PASTI tersebut di tubuhkan pada tahun 1993 sehingga sekarang. Ustazah Napsiah juga adalah Naib Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri dan bekas Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang.

Mula bergiat aktif dengan PAS

Ustaz Musa mula menyertai PAS pada tahun 1963 di Cawangan Sungai Leman sebelum berpindah ke Cawangan Sungai Tengi Kiri pada tahun 1984. Beliau mula bergiat aktif dengan PAS pada tahun 1985 dan dipilih sebagai Naib Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sebelum dipilih sebagai Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri pada tahun 1986 sehingga sekarang.

Di peringkat Kawasan, beliau pernah dipilih oleh perwakilan sebagai Naib YDP PAS Kawasan Tanjung Karang pada tahun 1986 sehingga pada tahun 1989, dibawah YDP PAS ketika itu, Tuan Guru Haji Hakim Abdullah. Manakala pada tahun 1989 beliau telah dilantik sebagai Bendahari PAS Kawasan Tanjung Karang sebaik sahaja tidak mempertahankan jawatan Naib YDP PAS Kawasan selama beberapa tahun.

Selepas beliau melepaskan jawatan sebagai Bendahari PAS Kawasan dan beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjung Karang sehingga pada tahun 2003.

Selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya PAS Kawasan Tanjung Karang yang dulunya mempunyai 3 Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu, DUN Sungai Panjang, DUN Sekinchan dan DUN Sungai Burong telah dipecahkan. DUN Sungai Panjang dan DUN Sekinchan telah diletakkan dibawah Parlimen baru iaitu Parlimen Sungai Besar. Manakala DUN Permatang yang dulunya terletak di Parlimen Kuala Selangor telah dimasukkan ke Kawasan Tanjung Karang. Ini menjadikan Parlimen Tanjung Karang kini mempunyai 2 DUN iaitu DUN Sungai Burong dan DUN Permatang.

Pada tahun 2003 beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Tanjung Karang sehingga tahun 2005. Manakala pada tahun 2005 beliau telah menang tanpa bertanding sebagai YDP PAS Kawasan Tanjung Karang menggantikan Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali, yang tidak mempertahankan jawatan. Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Di peringkat Negeri pula beliau merupakan AJK Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor dari tahun 2003 sehingga sekarang. Beliau juga merupakan Pengerusi PASTI Al Hidayah, Batu 10, sejak ia ditubuhkan juga sehingga sekarang.

Selepas Pilihanraya Umum ke-10 pada tahun 1999 PAS Kawasan Tanjung Karang khasnya DUN Sungai Burong telah mencatat kenangan manis apabila berjaya memenangi kerusi DUN Sungai Burong melalui calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali yang berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dato’ Mohd Aini Taib. Beliau kemudiannya telah dilantik sebagai Pengerusi Pusat Khidmat Komuniti (PKK) ADUN Sungai Burong sehingga tahun 2004.

Aktiviti Masyarakat.

Selain bergiat aktif dengan PAS beliau juga turut terlibat secara aktif dengan aktiviti masyarakat. Beliau merupakan Imam Masjid Jamiul Hasanat, Batu 10 Tanjung Karang sejak tahun 1985 sehingga sekarang. Beliau juga mempunyai kuliah tetap di beberapa buah Masjid dan Surau di sekitar kawasan Tanjung Karang.

Beliau turut dijemput untuk memberikan kuliah mingguan dan ceramah agama di jabatan-jabatan kerajaan sekitar Tanjung Karang seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Sekolah.

Ustaz Musa juga sering mendapat jemputan sebagai Hakim Tilawah Al-Quran di peringkat Mukim dan Daerah Kuala Selangor. Selain itu, beliau juga merupakan Mudir Maahad Thahfiz Jamiul Hasanat Batu 10 Tanjung Karang dari tahun 1994 sehingga sekarang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com