.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

12/11/2005

Dewan Undangan Negeri tidak akan dibubar


PELANCARAN kempen Pas di Stadium Mini Pasir Mas 27 November lalu bagi mempertahankan DUN Pengkalan Pasir, nyata bagaikan dentuman guruh di langit tetapi hujan tidak jadi, apabila terpaksa menerima hakikat mereka tewas dengan majoriti 134 undi. Seperti biasa, Pas mempunyai pelbagai alasan untuk tidak mengiktiraf kejayaan BN. Wartawan Berita Minggu ISMAIL MAT dan NASIR HASAN menemui Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, di pejabatnya, Kota Darulnaim, untuk mendapatkan komennya yang tidak berada di pusat penjumlahan kerana debaran penantian keputusan pilihan raya dikhuatiri menjejaskan jantungnya.

Kenapa Datuk tak hadir ketika keputusan penjumlahan undi pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada Selasa lalu?

Sebenarnya, saya tak boleh tunggu lama-lama ketika hari pengiraan undi itu sebab tidak tahan rasa debaran, yang tidak baik untuk jantung saya seperti dinasihatkan doktor. Bukan setakat itu, malah untuk menonton siaran ulangan tinju pun tak tahan, kerana debaran yang membawa ke jantung.

Kalau begitu, bolehkah bertahan terhadap tekanan politik?
Kalau tekanan yang tak membabitkan jantung tak apa. Kerja dalam politik tak membabitkan jantung, hanya otak, sebab ia hanya bermain dalam kepala tetapi benda tu (melihat pertarungan termasuk menunggu keputusan pilihan raya) membawa debar ke jantung. Sebab tu saya balik awal dan rehat di rumah saja. Sudah lama saya naik tangga pejabat Pas, tetapi akhir-akhir ini, doktor nasihatkan jangan naik lebih tujuh anak tangga sebab takut memberi kesan pada jantung saya.

Apa komen terhadap laporan cadangan bubar DUN Kelantan selepas Pas kalah di Pengkalan Pasir, kerana dari segi moralnya, Kerajaan Pas perlu fahami aspirasi rakyat?

Itu bukan aspirasi rakyat, tetapi aspirasi tauke-tauke yang membawa pengundi hantu, kerana selepas bubar dewan, dia orang akan dapat banyak untung lagi, orang inilah yang dapat untung daripada biaya pengundi hantu dan orang inilah selalunya di belakang Umno. Orang ini kaki rasuah. Orang inilah tak habis-habis nak memenuhkan temboloknya yang tak tahu bila nak penuh. Ini bukan aspirasi rakyat tetapi orang inilah yang nak suruh Pas bubar.

Maksudnya, bagi Pas, pilihan raya kecil ini tak mencerminkan hakikat sebenarnya?
Memanglah! kerana banyak perkara. Pertamanya, undi Pos secara terang-terang. Tanpa undi Pos, Umno kalah 16 undi. Betul ke undi pos ini telus atau dipaksa mana-mana pihak. Di Banggol Chica, ada pengundi masuk melalui parit, dikejar oleh Nik Amar (Exco, Nik Amar Nik Abdullah) cuma tak dapat tangkap saja.

Maknanya, Pas tidak iktiraf keputusan pilihan raya kecil Selasa lalu?

Saya iktiraf dan terima keputusan pilihan raya itu dengan protes dan Pas akan buat petisyen, biar mahkamah mendengar dan membuat penyelesaiannya.

Pas tuduh Umno guna wang dalam kempen pilihan raya ini, tetapi Pas juga didakwa menggunakan pendekatan sama. Bukankah itu juga politik wang?

Saya sebagai Menteri Besar. Dua perkara saya buat. Pertama saya bagi pengajaran Islam melalui kuliah, kedua orang sakit saya bagi duit. Semua orang tahu, saya ada duit, nak kata tak ada duit mana boleh semua orang tahu. Jadi duit kena beri sebagai suruhan agama untuk menjaga maruah Islam yang saya pimpin. Rasuah ni barang yang tak dapat ditegah melainkan dalam kalbu kita sendiri. Soal duit, saya pun bagi duit, tapi bukan bentuk rasuah. Saya tak bagi rasuah, kerana saya tahu rasuah itu haram. Contohnya, saya melawat orang sakit saya bagi duit. Saya wajib bagi duit, sebab nak tolong sesama manusia. Saya bagi dalam RM50, tak banyak berbanding Umno hingga ribuan ringgit.

Apakah pendirian berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)?

Saya asasnya memang tak mahu bubar. Kalau katakan saya nak bubar, untuk apa saya nak bubar, tak pasal-pasal. Banyak mengundang masalah, jika bubar belum tentu Umno menang atau Pas kalah. Ia menambahkan beban. Kenapa nak bubar? Nak cari masalah? Demokrasi betul, saya tak akan buat kerana ia boleh merosakkan moral saya. Ia akan memberi masalah kepada Pas dan Umno sendiri.

Ketika kempen, saya dapati laungan takbir `Allahu Akbar' di kalangan penyokong Pas kini semakin kurang kedengaran tidak seperti dulu?

Mungkin orang yang mendengar dan tak laung takbir tu bukan ahli Pas atau mungkin juga ramai ahli Umno. Orang Umno sebut `Hidup Melayu' Pas sebut `Allahu-Akbar'. Itu bezanya. Seorang Menteri ketika sama-sama dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dulu pernah kata, macam mana mereka boleh duduk dengan Pas, kerana mereka sebut `Hidup Melayu' tapi Pas sebut `Allahu-Akbar'.

Jadi bermakna, ceramah Pas yang sesak di Stadium Pasir Mas tempoh hari lebih ramai orang Umno, bukan orang Pas sendiri?

Jika ramai orang Umno, memang itu yang kita mahu, kerana kita nak suruh orang Umno dengar ceramah kita, sebab Pas tiada radio yang boleh sampaikan mesej kepada mereka. Kalau pemimpin Pas ceramah pada orang Pas juga tak guna.

Apakah relevan Pas menjemput Penasihat Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkempen untuk Pas baru-baru ini. Sesuai lagikah isu lama yang dibawanya?

Pas tak jemput dia. Dia datang secara sukarela. Saya rasa dia ingin menyatakan isi hati dia atas pentas Pas.

Adakah tok guru setuju dan merestui perbuatan agresif penyokong Pas menahan serta merampas kunci van dinaiki Puteri Umno menyebabkan kenderaan itu terpaksa ditunda ke balai polis?

Saya tak setuju jika tindakan begitu sekali. Sama ada betul atau tidak maklumat itu saya tak boleh pasti. Jika kenderaan itu dikepung dan mereka yang ditahan itu diserahkan kepada polis. Itu saya setuju.

Mana boleh kita tidak bertindak agresif apabila orang lain bertindak agresif. Islam tak galakkan kita berdiam diri kalau orang bertindak demikian.

Kenapa hanya pemimpin Pas tertentu dibenarkan bercakap kepada media, hingga calon Pas sendiri dihalang berbuat demikian ketika pilihan raya Pengkalan Pasir.

Mungkin keadaan itu timbul kerana akhbar membuat laporan tidak adil dan berat sebelah. Dari segi peribadi saya boleh mengeluarkan apa saja kenyataan, tak ada masalah, tapi saya tak rela dari dunia sampai akhirat jika orang memutarbelitkan kenyataan saya.

Saya tak mahu kenyataan saya diambil sekerat-sekerat. Di antara Utusan Malaysia dan Berita Harian, Utusan Malaysia lebih berat sebelah dan memihak kepada BN. Ini menambahkan bebanan kepada pembaca.

Dipetik dari Berita Minggu 11/12/2005

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com