.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

11/07/2005

Pengasas PAS Kawasan Tanjung Karang Meninggal Dunia

Tanjung Karang : Pengasas PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Haji Khalid Abd Hamid, 76, telah meninggal dunia pada 6hb November 2005 bersamaan 4 Syawal 1426H, jam 1.00 pagi, kerana sakit tua, di rumahnya di Batu 10, Jalan Bernam, Tanjung Karang.

Allahyarham Ustaz Khalid merupakan antara pengasas awal PAS Kawasan Tanjung Karang sejak tahun 1960-an bersama-sama dengan Allahyarham Ustaz Adnan Hashim, Tuan Guru Zakaria Ansari, Cikgu Awang Ansari dan lain-lain.

Beliau pernah menjadi Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang yang ketiga pada tahun 1969-1974. Manakala di dalam Pilihanraya Umum tahun 1982, Allahyarham telah bertanding sebagai calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong menentang calon Barisan Nasional (BN) Abd Shukur Harun, tetapi tewas.

Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tanjung Karang sebelum bersara daripada politik kerana faktor kesihatan.

Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri, Hajjah Zaleha Shamsudin dan sepuluh orang anak, enam lelaki dan empat perempuan, telah di kebumikan di tanah perkuburan Islam Tanjung Karang pada jam 11.00 pagi.

Solat jenazah telah diimamkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, dan telah disembahyangkan di Masjid Jamiul Hasanah, Batu 10.

Seluruh pimpinan PAS Kawasan Tanjung Karang, pimpinan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanjung Karang serta orang ramai telah hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham. Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Fadzlin Taslimin dan Setiausaha PAS Kawasan Sungai Besar, Haji Abd Karim Satar. Al-Fatihah.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com