.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

11/11/2005

Ustazah Sabariah Aktivis Muslimat PAS Tanjung Karang yang cekal dan gigih.



Ustazah Hajjah Sabariah Hashim, merupakan aktivis PAS Kawasan Tanjung Karang yang cekal dan gigih dalam memimpin parti khususnya di kalangan muslimat. Politik telah menjadi asam garam keluarganya, 4 orang adik beradiknya termasuk beliau sendiri terlibat secara langsung dengan PAS.

Ustazah Hajjah Sabariah, telah dilahirkan pada tahun 1937, di Kampong Kanchong Darat, Banting. beliau merupakan anak ke-5 daripada lapan orang adik beradik (4 lelaki dan 4 perempuan) kepada pasangan Allahyarham Haji Hashim Abu Mansur dan Allahyarhamah Maimunah Yusof.


Abangnya Allahyarham Ustaz Adnan Hashim, merupakan Pengasas PAS Kawasan Tanjung Karang/ Kuala Selangor dan pernah menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, selain pernah bertanding di DUN Tanjung Karang pada tahun 1969. Manakala abangnya yang ke-4, Allahyarham Ustaz Ismail Hashim, merupakan Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor (1983-1994) dan Bekas Ketua Dewan Ulama’ PAS Negeri Selangor. Manakala adiknya, Allahyarham Ustaz Abdullah pernah bertanding sebagai calon PAS pada tahun 1982 di Parlimen Pelabuhan Klang.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Tinggi Hishamuddin, Sungai Berteh, Kelang, sehingga mendapat Rabi’ Thanawi.

Ustazah Sabariah memulakan kerjaya sebagai guru di beberapa buah sekolah di sekitar Tanjung Karang seperti Sekolah Rendah Agama (SRA) Jeram, SRA Block G, SRA Block J dan Sekolah Kebangsaan Seri Tiram Jaya, sebelum mengajar di Sekolah Menengah Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan pada tahun 1966. Manakala pada tahun 1977 Ustazah Sabariah telah berpindah ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa, Tanjung Karang sehingga beliau besara pada tahun 1992.

Ustazah Sabariah, yang kini menetap di Block J Sawah Sempadan, Tanjung Karang telah mendirikan rumahtangga dengan Haji Muhamad Ridhwan Hj Abd Hamid, yang juga merupakan seorang aktivis PAS, pada tahun 1959. Hasil perkongsian hidup selama 46 tahun beliau telah dikurniakan seramai 9 orang cahayamata.

Ustazah Sabariah merupakan seorang ibu contoh yang gigih dalam kegiatan keagamaan, kemasyarakatan dan politik, di samping berjaya mendidik anak-anak untuk, mencapai kejayaan di bidang pendidikan. Seramai 4 orang anaknya telah mengikut jejak langkahnya sebagai guru, manakala yang lain merupakan lepasan Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta (IPTA/S).

Penglibatan awal beliau di dalam PAS bermula sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan, kemudian diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, sebelum dipilih sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan. Pada tahun 2001, beliau telah diamanahkan sebagai Pemangku Ketua DMP Kawasan, berikutan Ketua DMP Kawasan ketika itu, Allahyarhamah Ustazah Hajjah Shamsiah Salleh, meninggal dunia.

Manakala pada tahun 2003, Ustazah Sabariah telah melepaskan jawatan dan memberikan laluan kepada Ustazah Hajjah Jamiyah Yusof untuk mengetuai DMP Kawasan. Manakala Ustazah Sabariah pula telah diamahkan sebagai Timbalan Ketua DMP Kawasan.

Usia bukan penghalang untuk beliau terus berbakti kepada masyarakat dan jamaah, dalam usia 68 tahun, Ustazah Sabariah masih aktif didalam PAS, kini beliau masih memegang jawatan sebagai Naib Ketua DMP Kawasan dan sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyyah DMP Kawasan selain Ketua Muslimat PAS Cawangan Raden Putih.

Selain itu, Ustazah Sabariah juga aktif dengan masyarakat, pada sebelah petang 6 kali seminggu, beliau menghabiskan masa dengan mengajar agama kepada para muslimat di sekitar Tanjung Karang. Beliau juga memainkan peranan sebagai Bilal Jenazah di samping mengendalikan kursus-kursus yang berkaitan. Kebiasaannya, Ustazah Sabariah akan menunggang motosikal untuk ke setiap majlis ilmu dan program-program yang memerlukan kehadirannya.

Sebagai penghargaan di atas segala kegigihan, jasa dan pengorbanan beliau kepada masyarakat, maka pada tahun 1996, Ustazah Sabariah telah dianugerahkan TOKOH IBU MITHALI bagi peringkat Daerah Kuala Selangor. Manakala pada tahun berikutnya (1997) beliau telah diberikan anugerah yang sama oleh Kerajaan Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah (1418)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com