.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

6/23/2006

Teks Khutbah Jumaat : Jangan melantik pemimpin seperti Bani Israel


Teks khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Haji Musa Mohamad, yang juga Imam Masjid Jamiul Hasanat, Batu 10, Jalan Bernam, Tanjung Karang.
______________________________

Tuan-tuan dan puan-puan para tetamu Allah sekalian saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada tuan-tuan dan puan-puan ahli jamaah sekalian marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah s.w.t dengan mengikut segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertakwa carilah bekalan dan sebaik-baik bekalan itu ialah takwa kepada Allah s.w.t.

Tuan-tuan sidang jumaat yang dikasihani sekalian marilah pada hari yang mulia ini kita mengambil pengajaran daripada firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Apakah kamu tidak memerhatikan kisah-kisah pemimpin-pemimpin dikalangan Bani Israel sesudah Nabi Musa a.s apabila mereka berkata kepada nabi mereka ketika itu, lantiklah oleh kamu seorang raja bagi memimpin kami supaya kami berjuang dan berperang kejalan Allah, lalu nabi mereka berkata nanti apabila Allah mewajibkan kamu berperang, kamu berpaling iaitu tidak menunaikan perintah Allah. Maka mereka menjawab mengapa kami tidak boleh berperang pada jalan Allah padahal kami telah dihalau keluar meninggalkan tanah air, isteri dan anak-anak kami. Manakala Allah mewajibkan kepada mereka berperang kebanyakan mereka melarikan diri hanya sebahagian kecil sahaja yang menyahut panggilan itu. Sebenarnya Allah maha mengetahui iaitu Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Dan berkatalah nabi mereka Allah telah melantik seorang yang bernama Thalut menjadi raja yang memimpin kamu. Mereka menjawab bagaimana dia dilantik menjadi pemimpin kami, padahal kami lebih baik daripada dia di dalam menentukan kerajaan dan dia tidak mempunyai harta kekayaan yang banyak. Nabi mereka berkata, Allah memilih Thalut menjadi raja yang memimpin kamu kerana dia seorang (yang) berilmu dan mempunyai tubuh badan yang gagah berani. Sesungguhnya Allah mengurniakan kekuasaan kepada siapa yang dikehendakinya kepada hambanya dan Allah maha luas kurnianya lagi maha mengetahui”

Sidang jumaat yang dihormati sekalian begitulah cerita kaum Bani Israel yang di paparkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Quranul karim untuk menjadi pengajaran kepada Umat Islam dan juga kaum Bani Israel. Kisah itu juga hanya diketahui sebahagian Ulama’ Bani Israel apabila ayat-ayat (Allah) dibacakan kepada mereka, Ulama’-ulama’ mereka dapat membuktikan bahawa Nabi Muhamad sebenar-benar nabi dan Rasul akhir zaman yang dijanjikan Allah s.w.t.

Walaupun dikalangan mereka dilantik rasul-rasul dan nabi-nabi yang paling ramai dan mereka sendiri berbangga dengan keturunan Nabi Ya’akub bin Ishak bin Ibrahim a.s, tetapi apabila mereka menerima perintah Allah mereka menjadi hina.

Ini adalah disebabkan mereka meninggalkan perintah jihad fisabilillah iaitu berjuang menegakkan kalimah Allah s.w.t.

Allah s.w.t memberi kemuliaan kepada suatu umat itu dengan Islam bukan dengan keturunan dan kekayaan. Apabila Islam itu ditinggalkan maka bangsa itu akan menerima penghinaan daripada Allah s.w.t. bernarlah apa yang diucapkan oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq ketika dilantik menjadi Khalifah yang bermaksud :

“Tidaklah sesuatu kaum yang meninggalkan perjuangan jihad melainkan Allah akan mendatangkan kehinaan dan kemusnahan kepada mereka.”

Iaitu bencana yang menimpa kepada kaum Bani Israel.

Penyakit kedua ialah rasuah. Mereka dipengaruhi oleh wang serta menjadikannya sebagai alat untuk mencapai kuasa pemerintahan untuk membeli manusia bagi menghasilkan sesuatu hajat dalam kehidupan di dunia tanpa mempedulikan kepada benar dan salah. Mereka memilih pemimpin dan ketua yang boleh memberi wang dan harta bagi mencapai sesuatu impian hidup di dunia ini. Oleh kerana itu, Rasulullah s.a.w memberi amaran kepada Umat Islam di dalam sabdanya yang bermaksud :

“Allah s.w.t melaknat orang memberi rasuah dan yang menerima rasuah”

Di dalam Hadith yang lain sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Orang yang memberi rasuah dan orang yang menerimanya, kedua-dua mereka di dalam neraka”

Penyakit yang menggunakan wang kerana pangkat dan kebesaran adalah menjadi penyakit yang membawa bencana kepada sesuatu umat. Marilah kita menghitung diri dan masyarakat kita dengan ikhlas. Sebenarnya penyakit ini sedang dialami oleh umat Islam di akhir zaman ini. Kita tidak (boleh) menyelamatkan umat kita melainkan dengan Islam. Dengan berjihad pada jalan Allah dan membuang penyakit rasuah termasuk menggunakan wang untuk berkuasa. Semua penyakit ini perlu dibuang segera jika tidak kita akan dilaknat oleh Allah di dunia dan di akhirat. Penyakit (yang) melanda umat Islam hari ini telah menjadikan (kita) bangsa yang hina. Kemuliaan hanya dengan Islam. Hina dan celaka sekiranya mencari selain dari Islam. Allah berfirman di dalam Al-Quran Surah Al-Hujurat yang bermaksud :

“Orang-orang yang jika kami berikan mereka kekuasaan (memerintah) dimuka bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menegakkan yang ma’ruf dan mencegah kemungkaran. Dan ingatlah, bagi Allah jualah kesudahan segala urusan manusia”

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com