.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

11/18/2006

Suatu Pengamatan Ringkas Terhadap Ucapan Presiden UMNO (Siri 1)

Ulasan Ucapan Dasar Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini oleh Ustaz Abd Ghani Shamsudin, Ahli Majlis Syura Ulama' PAS Pusat merangkap Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor dan Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang.
______________________________
Mengikuti ucapan Presiden UMNO dalam perhimpunannya yang lalu kita berhadapan dengan berbagai pertanyaan yang tidak berjawab dan perasaan kecewa kerana ia tidak menampakkan apa-apa perubahan fundamental yang ingin di bawa oleh beliau. Meskipun kita disogokkan oleh beberapa ayat al-Quran yang agak banyak daripada biasa dalam ucapan presiden yang lepas-lepas namun ternyata kefahaman terhadap prinsip, dasar dan saranan yang di bawa oleh ayat-ayat berkenaan masih tidak mendalam dan belum menyeluruh.

Di dalam al-Quran terdapat ayat yang menekankan tentang perlunya masuk Islam secara menyeluruh .Allah befirman dalam Surah al Baqarah 208:

”Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

Islam bukan hanya ibadat tetapi juga adalah dasar perjuangan politik , ekonomi, budaya dan system pemerintahan . Orang yang berminda tinggi dan bijak ialah orang menerima kebenaran dari Tuhan yang Maha bijak dengan mengikut ajaran Islam secara menyeluruh dan berjuang atas landasan Islam yang menyeluruh dan tidak mengikut dasar-dasar rekaan samada yang berasaskan bangsa semata-mata, tanah atau daerah atau apa yang dinamakan Islam Hadhari yang tidak pernah di bawa oleh Rasulullah.

Allah berfirman dalam Surah al Baqarah 130-133
“Barangsiapa yang menolak atau membenci agama Ibrahim maka itulah orang yang membodohkan diri mereka sendiri. kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya).

(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam".

Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".

Sudah pasti yang dimaksudkan dalam ayat ayat di atas ialah pegangan Islam yang lengkap, menyeluruh sepertimana yang diperlihatkan oleh Rasulullah, para sahabat baginda.

Seruan untuk memperjuangkan Islam dalam segenap sudut kehidupan adalah sesuai dengan ajaran Rasulullah yang tidak pernah memperjuangkan faham kebangsaan, atau perkauman apatah lagi ke Melayuan. Sudah sampainya para pemimpin politik melayu merubah falsafah dan keyakinan politik mereka dari kepompong Melayu kepada wadah perjuangan Islam yang lebih benar dan suci setelah berada dalam kepompong Melayu itu berpuluh tahun. Mereka sewajarnya berpegang kepada nasihat perwakilan yang menyebutkan petikan ungkapan leluhur silam bahawa barangsiapa yang hari ininya lebih baik dari semalam itulah orang yang bijak, bistari dan beruntung. Manakala barangsiapa yang hari ininya lebih buruk dari hari semalamnya maka itulah pertanda orang itu gagal dan tidak bijak.

Sudah sampainya masanya untuk para pemimpin politik Melayu yang tersilap wadah perjuangan mula berpehak kepada perjuangan politik Islam, golongan alim ulama dan bijak pandai Melayu yang bertakwa dan paling ramai ulama Melayu yang menyertainya itu Tidak wajar samasekali untuk mereka menganggap para alim ulama dan pejuang-pejuang parti Islam yang dianggotai oleh bukan sahaja orang Melayu tetapi juga Cina Muslim, India Muslim, Arab, dan lain-lain sebagai musuh yang hendak dijatuhkan dan diperangi.

Ayat-ayat al-Quran yang dibaca tanpa kefahaman yang betul terhadap maksud sebenarnya ayat itu adalah kepunyaan para pejuang Islam yang hakiki dan bukan Islam ciptaan baru atau parti yang melandaskan perjuangan mereka atas dakwaaan memperjuangkan bangsa.

Kembali berpegang dasar perjuangan Islam yang lengkap ini bermakna harus ada anjakan pradigma yang boleh dibuat oleh ketua atau presiden parti Melayu itu justeru para pengikut mereka pasti akan patuh .Ini kerana mereka pun telah menerima Islam sebagai agama dalam ertikata yang terbatas (tidak termasuk aspek politik). Tapi hal ini tidak disuarakan atau ditekankan justeru belum ada keinsafan dan kesedaran yang menyeluruh terhadap ajaran Islam yang meliputi perjuangan politik seperti yang telah dijelaskan.

Penegasan tentang Islam Hadhari yang direkacipta itu hanya “pendekatan” tidak dapat mempertahankan kebatilannya. Lebih-lebih lagi Islam Hadhari itu sendiri telah mempunyai rukunnya yang tersendiri. Ia menjadi dasar pengangan dan asas untuk membedakan siapa yang harus dibantu dan siapa yang harus ditentang dan dikalahkan.Ia membedakan pegangan Islam Hakiki dengan pegangan Islam Hadhari. Bahkan ada perwakilan UMNO yang menegaskan bahawa parti Islam adalah musuh mereka. Kalau pegangan Islam Hadhari sebagai pendakatan sahaja yang tidak menjejaskan perkara pokok mengapa parti Melayu Islam Hadhari tidak boleh berkerjasama dan membantu kejayaan parti Islam di Kelantan dan di Terengganu. Perkataan Hadhari telah menjadi asas perbedaan yang nyata antara pegangan Islam yang telah sekian lama bertapak di alam dan rantau Melayu. Ia telah menjadi unsur perpecahan baru dan indikator rekaan baru untuk menentukan siapa kawan dan siapa lawan. Jelas Islam Hadhari adalah dasar, pegangan baru - kalaupun tidak dipanggil agama baru – yang bid’ah dan tidak boleh dinafikan hanya dengan sekadar mengatakan tidak.

Bersambung…

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com