.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

10/12/2006

Umat Islam diseru teruskan jihad di bulan Ramadhan

Tanjung Karang : Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, berkata, tanda-tanda puasa (seseorang) diterima ialah perubahan daripada yang tidak baik kepada yang lebih baik. Daripada melakukan kezaliman kepada melakukan sesuatu yang adil dan amanah.

Jika selepas Ramadhan, katanya, masih tidak mahu berjuang dengan Islam bermakna puasa yang dilakukan tidak ada kesan apa-apa sebab puasa bukan hanya menahan dari lapar dan dahaga semata-mata tetapi memenuhi segala perintah yang Allah syariatkan.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, meminta Umat Islam sempena bulan Ramadhan ini meningkatkan jihad seperti mendesak supaya pihak berkuasa memberi kebebasan dan ruang kepada rakyat diperkasa dan diperkukuhkan supaya rakyat boleh memberi pandangan mereka.

Usaha untuk merampas kedaulatan rakyat sesungguhnya bercanggah dengan agama sebab Islam mengutamakan kejujuran, amanah dan sebagainya. Islam menghendaki rakyat bebas untuk bersuara dan jika perlu melakukan perubahan dalam kerajaan, katanya.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, menyeru supaya ahli-ahli diperingkat kawasan supaya mewujudkan hubungan dengan pelbagai kumpulan seperti nelayan, PIBG, koperasi dan sebagainya demi untuk memperkukuhkan perjuangan Islam. Selain itu, ahli-ahli juga perlu mewujudkan badan-badan bertindak untuk menangani isu-isu setempat.

Markaz-markaz PAS perlu dijadikan sebagai tempat untuk sumber ilmu dan tempat rujukan ahli-ahli serta orang ramai seperti risalah-risalah IFC, Artikel 11 dan sebagainya. Selain itu jentera parti juga perlu menguasai peralatan ICT, katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan kuliah mingguan Deenul Islam di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS). Program dimulakan dengan berbuka puasa bersama ahli-ahli. Beliau turut mengimamkan solat isya’ dan terawih sebelum menyampaikan kuliah tersebut.

Buat perkata kalinya juga kuliah deenul Islam tersebut telah dipancarkan secara langsung melalui saluran 3 webtv.parti-pas.org/.

Turut hadir ialah YDP PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP Kawasan, Dr Md Yusof Abd Wahab, Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, Setiausaha, Haji Mohd Saad Ibrahim dan Ketua Penerangan, Abd Malek Abd Majid.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com