.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

9/09/2006

Timbalan Pengerusi Tetap PAS kembali ke Rahmatullah pagi tadi

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Hrkh) - PAS hari ini dikejutkan dengan satu berita menyedihkan setelah pagi tadi Timbalan Pengerusi Tetap PAS, Ustaz Suhaimi Ahmad meninggal dunia di Hospital Alor Setar pada jam 9.15 pagi tadi.

Allahyarham Ustaz Suhaimi yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kupang sesi 1999 hingga 2004 dilaporkan meninggal kerana pelbagai penyakit antaranya kencing manis dan buah pinggang.

Allahyarham begitu berjasa kepada PAS dan amat dikenali dengan sifat dan perwatakan mesranya ketika mempengerusikan Muktamar PAS.

Allahyarham yang juga adik kepada bekas Timbalan Yang diPertua PAS (kini dikenali Timbalan Presiden), Dato' Nakhaie Ahmad dan bekas ahli Parlimen Padang Terap, Ustaz Zawawi Ahmad dilaporkan akan di kebumikan di Kupang, Baling selepas sembahyang jenazah di Masjid Derga, Alor Setar pada jam 3.00 petang ini.

Selain menjawat Timbalan Pengerusi Tetap, Allahyarham juga adalah bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah ketika bekas Presiden PAS, Almarhum Dato' Fadzil Noor menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah.

Allahyarham juga pernah menjawat Ketua Pemuda PAS Kedah tatkal PAS menghadapi ujian getir berhadapan peristiwa 'Memali'.

Selain itu Allahyarham juga dikenali sebagai perancang utama politik pilihan raya PAS Kedah di samping Almarhum Ustaz Fadzil ketika PAS menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional Kedah pada Pilihan Raya 1999.

Kini jawatan Ketua Pemuda PAS Kedah disandang adiknya, Musoddak Ahmad yang juga Exco Pemuda PAS Pusat.

Allahyarham sangat dikenali sebagai seorang tokoh agama yang baik hati, Adun yang cukup rapat dengan pengundi serta seorang yang cekal dalam menempuhi ranjau politik dan perjuangan Islam di negara ini.

Allahyarham sanggup meninggalkan jawatan sebagai guru agama di sebuah sekolah kerajaan pada tahun 80-an semata-mata untuk menumpukan khidmat bakti kepada perjuangan PAS hingga kembali ke Rahmatullah hari ini.

Dengan pemergian Allahyarham Ustaz Suhaimi, ini bermakna dalam masa terdekat ini PAS kehilangan dua tokoh besar dalam politiknya di Kedah kerana tiga bulan sebelum ini bekas Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Cikgu Mustafa Long juga kembali ke Rahmatullah.

Dalam Muktamar PAS di Kedah Jun lalu, Allahyarham sempat mempengerusikan sidang muktamar pada hari kedua sebelum dimasukkan ke hospital hari berikutnya. Al-Fatihah...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com