.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

5/10/2006

Aktivis yang Istiqamah di dalam perjuangan


Ustazah Hajjah Safiah bt Lebai Ahmad, 56, merupakan aktivis PAS kawasan Tanjung Karang yang low profile dan istiqamah di dalam perjuangan. Anak kelahiran Ayer Hitam, Jerlun, Kedah ini, dilahirkan pada 2 Oktober 1950, tetapi dibesarkan di Tanjung Karang, Selangor.

Beliau merupakan anak ke-2 daripada 2 orang adik-beradik, kedua-duanya perempuan. Bapanya, Haji Lebai Ahmad bin Hj Omar merupakan guru agama sepenuh masa yang mengajar di Institusi pondok, di Kedah. Setiap bulan Ramadhan bapanya juga dijemput oleh Sultan Kedah untuk bertadarus al-Quran di Istana Kedah. Manakala ibunya, Hajjah Robeah bt Yusof, juga merupakan guru al-quran, dan masih mengajar sehingga sekarang di Desa Taqwa, Jeram, Selangor. Bapanya telah meninggal dunia semasa beliau didalam kandungan lagi.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tambun Tulang, Arau Perlis sehingga darjah 6. Kemudian menyambung pengajian ke peringkat menengah di Madrasah Nurul Islam, Ayer Hitam, Kedah, sebelum berpindah ke Tanjung Karang, Selangor, dan menetap di Sungai Sireh, kerana mengikut ibunya berpindah.

Di Tanjung Karang beliau menyambung pengajian di Sekolah Agama Rakyat Batu 11. Selepas itu beliau menyambung lagi pengajian di Sekolah Agama Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan sehingga mendapat Rabi’ Ibtida’ie.

Keluarga

Selepas menamatkan pengajian beliau telah mendirikan rumahtangga di usia 18 tahun dengan Ustaz Haji Munjir bin Ashaari, 66, seorang pesara guru dan pengamal perubatan Islam pada tahun 1968.

Hasil perkongsian hidup selama 38 tahun beliau telah dikurniakan seramai 7 orang cahayamata, 4 lelaki dan 3 perempuan. 3 orang anaknya telah mendirikan rumahtangga, manakala seorang lagi telah meninggal dunia. Beliau telah dikurniakan seramai 7 orang cucu.

5 orang anaknya telah berkerja, 2 orang bekerja sebagai guru, seorang pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Seorang Penolong Pengarah dan seorang lagi sebagai Doktor Perubatan. Manakala Seorang lagi masih menuntut di dalam jurusan Undang-undang di Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Mula aktif dengan PAS

Ustazah Safiah yang dilahirkan di dalam keluarga PAS mula mengenali PAS semasa mendengar ceramah dari Frof. Zulkifli Mohamad, Timbalan Presiden PAS, semasa berceramah berhampiran rumahnya di Kedah ketika berusia 11 tahun. Beliau menyertai PAS secara rasminya pada tahun 1968.

Pada tahun 1978 beliau telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri. Manakala pada tahun 1980 beliau telah dipilih sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sehingga sekarang.

Manakala pada tahun 1982 beliau telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang. Dalam masa yang sama beliau juga diamanahkan sebagai AJK Lajnah Ekonomi DMP Kawasan Tanjung Karang.

Beliau tidak pernah ketinggalan menyertai setiap Pilihanraya kecil yang berlaku dan bertugas sebagai perayu undi untuk PAS. Pengalaman manisnya semasa menjadi perayu undi ialah semasa Pilihanraya Kecil Parlimen Arau, Perlis pada tahun 1998 yang menyaksikan calon PAS ketika itu, Ustaz Hashim Jasin, yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perlis telah berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Kassim, yang juga adik kepada Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Shahidah Kassim.

Setiap hari rabu petang pula beliau akan akan mengikuti kelas pengajian di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) yang dipimpin oleh Naib Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajjah Sabariah Hashim. Manakala setiap hari jumaat malam sabtu beliau tidak ketinggalan mengikuti Kuliah Mingguan Deenul Islam juga di KOMPAS.

Sepanjang beliau meminpin Muslimat di Cawangannya, DMP Kawasan Tanjung Karang telah memilih Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri sebagai Muslimat PAS Cawangan terbaik tahun 2005 sempena dengan Mesyuarat Agung DMP Kawasan Tanjung Karang yang lalu.

Sekarang beliau masih lagi diamanahkan sebagai AJK DMP Kawasan Tanjung Karang dan Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri selain menjadi Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMP Kawasan Tanjung Karang.

Jejak langkahnya sebagai aktivis PAS turut diikuti oleh salah seorang anaknya. Anak lelakinya merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang dan AJK Lajnah Penerangan dan Dakwah Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor. Dan merupakan lepasan Diploma Thahfiz Al-Quran dari Institut Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Aktivit Masyarakat

Selain aktif secara langsung dengan PAS, beliau dan suaminya juga merupakan seorang pengamal perubatan Islam di bawah bimbingan Ulama’ terkenal Frof. Dato’ Dr Harun Din. Beliau sendiri telah dianugerahkan ijazah di dalam bidang perubatan Islam pada 22 Ogos 1999. Beliau sering membantu suaminya untuk merawat pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan mereka.

Selain itu, Ustazah Safiah dan suaminya juga sering membawa rombongan untuk mengerjakan Umran dan Haji. Beliau dan suaminya akan akan membawa rombongan umrah sebanyak 3 kali setahun, biasanya pada bulan 5, 8 dan 12 selain membawa rombongan haji.

Di qariahnya, beliau merupakan bilal jenazah Muslimat di Masjid Jamiul Hasanah, Batu 10, Tanjung Karang. Selain itu, beliau juga sering mengadakan kelas-kelas pengajian untuk Muslimat di Cawangannya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com