.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

1/06/2006

Diberi notis pindah 24 jam kerana aktif dengan PAS

Gelombang reformasi dalam Pilihanraya Umum ke-10 tahun 1999 berikutan pemecatan Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memberi kesan yang besar kepada rakyat. Lebih membanggakan lagi PAS yang selama ini tidak pernah memenangi sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, (Kecuali DUN Sungai Panjang, Haji Hamdan Bakri, mengunakan tiket Barisan Nasional (BN) tahun 1974) telah memperolehi 4 kerusi DUN di dalam Pilihanraya umum tahun 1999.

Salah satu kerusi yang berjaya dimenangi oleh PAS ialah DUN Sungai Burong melalui calonnya, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali yang telah berjaya menewaskan Calon BN, Dato’ Mohd Aini Taib. Berikutan gelombang kemaraan rakyat yang memuncak kepada Umno ketika itu, Umno telah melakukan berbagai cara untuk menyekat rakyat terutama kakitangan kerajaan daripada terus aktif dengan parti pembangkan terutamanya PAS.

Ustazah Hajjah Asmah bt. Ahmad, 56, adalah salah seorang aktivis PAS Tanjung Karang yang telah menjadi mangsa politik balas dendam Umno. Beliau, yang ketika itu mengajar di Sekolah Agama Menengah Seri Desa (SAMSED), telah diberikan notis pindah 24 jam ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ) di Shah Alam, Selangor oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), beberapa tahun sebelum beliau bersara, atas arahan Ahli Parlimen Tanjung Karang, Dato’ Noh Omar, kerana terlibat secara aktif di dalam Pilihanraya umum tersebut.

Latarbelakang

Ustazah Asmah Ahmad, dilahirkan pada 11 Mac 1949, di Kampong Masjid Baroh, Sungai Tengi Kanan, Tanjung Karang. Bapanya Haji Ahmad b. Imam Razi merupakan seorang guru agama di kampongnya, manakala ibunya Hajjah Napsiah bt. Abd Jalil, adalah suri rumah sepenuh masa. Beliau merupakan anak bongsu kepada sembilan beradik.

Pendidikan

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Sekolah Agama Menengah Tinggi Hishamuddin, Kampong Jawa, Klang, dan telah mendapat Rabi’ Thanawi pada tahun 1969.

Pada tahun 1978 sehingga 1981 beliau telah mengambil Diploma Pendidikan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak, dalam pengkhususan Bahasa Arab dan Pendidikan Islam.

Keluarga

Ustazah Asmah telah mendirikan rumahtangga pada 13 Februari 1970 dengan Haji Mohd Jamil Hj Nawawi, yang bekerja sebagai Pengurus Kilang Padi, dan telah dikurniakan seramai 5 orang anak kesemua lelaki.

Suaminya juga merupakan aktivis PAS di Kawasan Kuala Selangor. Pernah menyandang beberapa jawatan di dalam PAS seperti Ketua PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan dan Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Selangor.

Manakala di dalam Pilihanraya Umum tahun 1986, Haji Mohd Jamil, telah dipilih sebagai Calon PAS menentang calon Barisan Nasional (BN) Dato’ Yusof Hasan di DUN Sungai Tinggi, tetapi tewas. Suaminya, telah meniggal dunia pada 1 September 1991, kerana penyakit paru-paru berair.

Dua orang anaknya telah berkerja dan telah mendirikan rumahtangga dan telah dikurniakan seorang cucu. Manakala yang selebihnya masih bersekolah.

Kerjaya

Setelah mendapat Rabi’ Thanawi, pada tahun 1969 beliau telah bertugas sebagai guru di Sekolah Agama Pekan Tanjung Karang sehingga tahun 1977.Manakala pada tahun 1977 beliau telah berpindah ke Sekolah Agama Menengah Seri Desa (SAMSED), Tanjung Karang sebelum melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris pada tahun 1978.

Setelah berjaya memperolehi Diploma Pendidikan, pada tahun 1981 beliau terus berkhidmat di SAMSED sehingga tahun 2000. Pada tahun 2001 beliau telah dipindahkan ke Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah (SAMTAJ), Shah Alam, sehingga beliau bersara pada Mac 2005 yang lalu.

Sepanjang berkhidmat dengan JAIS sebagai guru selama 35 tahun, beliau telah dianugerahkan, Anugerah Perkhidmatan Guru Cemerlang pada tahun 1995 dan 2004.

Naluri sebagai seorang guru memang telah sebati di dalam jiwanya, ini terbukti walaupun beliau telah bersara, tetapi beliau masih lagi mengajar tuisyen Bahasa Arab kepada pelajar-pelajar di SAMTAJ setiap hari selasa dan rabu.

Di antara bekas – bekas pelajar Ustazah Asmah, yang berjaya dibidang masing-masing termasuklah, Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjung Karang, Ustaz Nasir Joyo, adik kepada Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Pegawai Masjid Daerah Kuala Selangor, Ustaz Khair Ramli dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustazah Hajjah Jamaiyah Yusof.

Mula bergiat dengan PAS

Ustaz Asmah, yang dilahirkan di dalam keluarga PAS, mula bergiat aktif sekitar tahun 90-an dan memegang jawatan sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan, sehingga tahun 2002. Pada tahun 2002, beliau terpaksa melepaskan jawatan, disebabkan beliau telah dipindahkan ke SAMTAJ.

Setelah bersara pada tahun 2005, beliau sekali lagi telah diamahkan sebagai Ketua Muslimat PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan. Di samping itu, beliau telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang dan Ahli Jawatankuasa Lajnah Tarbiyyah DMP Kawasan Tanjung Karang.

Beliau juga aktif memberikan kuliah kepada muslimat PAS sekitar Tanjung Karang. Pada hari selasa setiap minggu, beliau mempunyai kelas khusus untuk Muslimat PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

Beliau merupakan aktivis Muslimat yang tabah dan berani, semasa menerima notis berpindah dalam masa 24 jam, beliau telah diberi pilihan jika mahu terus mengajar di SAMSED, beliau diminta membuat rayuran kepada Ahli Parlimen Tanjung Karang, Noh Omar, tetapi beliau tidak mengindahkannya dan terus mengambil keputusan berpindah ke SAMTAJ sehingga bersara.

Ustazah Asmah juga pernah di pujuk oleh Penghulu Mukim Tanjung Karang, supaya tidak terlibat secara aktif dengan PAS, tetapi beliau tetap dengan pendiriannya.

Aktiviti masyarakat

Ustazah Asmah, bukan sahaja aktif di dalam politik tetapi juga turut terlibat secara aktif dengan masyarakat. Selain mengajar di kelas-kelas pengajian untuk Muslimat PAS, beliau turut memberikan kuliah kepada kaum ibu di Masjid Baroh yang berhampiran dengan rumahnya.

Beliau juga terlibat sebagai pendakwah di Unit Mubalighah, JAIS sehingga sekarang, dan sering di jemput untuk memberikan ceramah samaada di jabatan-jabatan kerajaan atau swasta, terutama semasa bulan Ramadhan melalui program Penghayatan Ramadhan yang dianjurkan oleh Unit Mubalighah.

Keberanian, ketabahan dan kerajinan beliau sebagai pimpinan PAS khususnya dikalangan Muslimat sewajarnya menjadi contoh kepada setiap pimpinan dan ahli PAS di Tanjung Karang.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com