.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

4/18/2007

Tan Sri Khalid dipilih sebagai calon PKR dalam Pilihanraya kecil N11 Ijok

Kuala Selangor : Bendahari Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, telah diisytiharkan sebagai calon dalam Pilihanraya kecil N11 Ijok pada 28 April ini. Pengumuman itu telah dilakukan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Dato’ Dr Wan Ismail di hadapan lebih 5,000 orang.

Tan Sri Khalid yang juga Pengerusi PKR Negeri Selangor dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut dari dulu hingga kini.

Khalid Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar 1956 dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Beliau seterusnya menyambung pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.

Beliau kemudiannya lulus dengan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.

Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini Pengerusi Dana Amanah Mellenia Berhad dan ahli lembaga pengarah Sirim Berhad. Khalid Ibrahim juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam Jeddah, sebuah syarikat pelaburan kewangan Islam yang tersohor.

Beliau juga merupakan Fellow Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bekas guru dan pensyarah institut pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Penduduk Kuala Selangor selalu mengingati jasa Khalid Ibrahim yang membina pusat latihan penyelenggaraan jentera perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.

Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang di Guthrie Berhad, dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.

Kedua-dua program ini berjaya menaik taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.

Turut hadir semasa perisytiharan itu ialah Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com