.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

4/26/2007

BN guna polis halang rakyat dengar penjelasan PKR

Kuala Selangor : Pilihanraya kecil N11 Ijok yang akan berlangsung pada 28 April ini telah dicemari dengan campur tangan daripada pihak Polis yang telah menjadi salah satu komponen Barisan Nasional (BN).

Forum Perdana Ehwal Islam yang membariskan ahli panel seperti Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Negeri Selangor, Ustaz Kamal Ashaari di Markaz Besar PAS Batu 8 Ijok telah diganggu oleh pihak polis.

Forum yang pada awalnya berjalan dalam keadaan aman mula berlaku sedikit ketegangan apabila pihak polis telah mengarahkan forum tersebut dihentikan dengan alasan tidak mempunyai permit.

Sementara itu di Pekan Batang Berjuntai, ceramah yang dianjurkan oleh Parti KeADILan Rakyat (PKR) yang membariskan tokoh seperti Pansihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu, AJK PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Dato’ Mohd Ghazali dan beberapa tokoh yang lain turut diganggu oleh pihak polis.

Kedudukan BN kini berada dalam keadaan yang membimbangkan, sebab itulah mereka telah menggukan polis untuk menghalang rakyat daripada mendengar penjelasan daripada Barisan Alternatif (BA).

4/22/2007

Mesyuarat Agung PAS Kawasan berjalan lancar

Tanjung Karang : Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tanjung Karang kali ke-44 berjalan lancar di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan telah dirasmikan oleh Bendahari PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli.

Manakala beberapa jawatan utama PAS Kawasan kekal seperti sebelumnya tanpa bertanding iaitu, Yang Dipertua (YDP), Ustaz Musa Mohamad, Timbalan YDP, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, NYDP, Dr Mohd Yusof Abd Wahab dan Ketua Urusan Ulama’, Ustaz Khairullah Junid.

Manakala bagi Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjung Karang bagi sesi 2007/2009 gabungan muka lama dan baru telah dipilih oleh perwakilan iaitu, Haji Maskuri Mardzuki, Ustaz Kassim Kayat, Haji Mohd Saad Ibrahim, Haji Saad Suhod, Haji Maslan Sarman, Haji Badarudin Kasan, Haji Abd Rahman Bujang, Haji Rosman Saiman, Ahmad Arbian, Haji Abd Jalil, Ustazah Hajah Asmah Ahmad, Muhd Rosli Kamsani, Norshidah Samat, Ustaz Kosnon Kamit, Mahadi Hasmeon dan Mohd Faizal Mohd Barja.

Bagi jawatan Pengerusi tetap, Haji Kamaruddin Morni, menang tanpa bertanding, manakala timbalan pengerusi tetap pula ialah Haji Mukrim juga menang tanpa bertanding.

4/21/2007

Pemuda Umno Serang Wartawan : TV3 cuba sembunyikan fakta

Kuala Selangor : Jentera Pemuda Umno mula memasuki fasa keganasan menjelang Pilihanraya kecil N11 Ijok pada 28hb April ini. Ini terbukti dengan tindakan jentera Pemuda Umno Malaysia yang telah bertindak mengurung dan memukul seorang wartawan difahamkan dari Malaysiakini.com dengan botol kaca di rumah Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di Batu 8 Ijok.

Malangnya TV3 hanya menyiarkan berita yang tidak jelas mengenai kejadian itu dengan menyebut “seorang wartawan bebas telah dipukul oleh seorang penyokong parti politik yang tidak dikenali”. Kenapa TV3 tidak berani menyiarkan berita sebenar dengan mengatakan bahawa Pemuda Umno yang telah bertindak memukul wartawan tersebut dengan botol kaca?

Cuba kita bayangkan jika sekiranya yang memukul itu adalah dari jentera Angkatan Muda KeADILan atau penyokong parti pembangkang?, sudah tentu dicanang seluruh dunia bahawa parti pembangkan bersikap ganas dan sebagainya.

Tetapi bila ia berlaku sebaliknya TV3 tidak berani mendedahkan perkara yang sebenar, inilah sikap hipokrit TV3 lain-lain media bila berhadapan dengan pembangkang.

Bukan itu sahaja tindakan ganas yang telah dilakukan oleh Pemuda Umno, bahkan calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim, juga hampir menjadi mangsa keganasan BN apabila beliau hamper dipukul oleh penyokong BN.

Selain itu petugas Wanita PKR juga turut diganggu oleh Pemuda samseng BN ketika mereka merayu undi dari rumah ke rumah. Inilah sikap ganas dan samseng yang dibawa oleh penyokong-penyokong BN di Ijok dalam pilihanraya kecil ini.

Sebelum ini, semasa proses penamaan calon yang lepas, penyokong BN juga turut melakukan keganasan dengan membaling botol air (yang bercop dacing) dan kayu bendera kearah penyokong PKR, akibat daripada itu beberapa orang penyokong BA telah mengalami kecederaan.

Wakil Rakyat Meninggal Baru Rakyat Dapat Jalan Baru

Kuala Selangor : Sudah menjadi tradisi di Malaysia yang telah hampir 50 tahun merdeka bilamana wakil rakyat sesuatu kawasan meninggal dan berlaku Pilihanraya Kecil barulah rakyat mendapat durian runtuh daripada Kerajaan BN.

Begitulah yang sedang dialami oleh penduduk di N11 Ijok sekarang yang akan mengundi pada 28hb April ini. Sejak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Mendiang Dato’ K Sivalingam, meninggal penduduk Ijok telah mendapat limpahan projek daripada pihak Kerajaan.

Seluruh jalan disekitar Ijok dan menuju ke Ijok sekarang sedang rancak diperbaiki oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) antaranya jalan dari Kuala Selangor ke Kepong sedang dinaik taraf dengan serta merta dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang sangat teruk dari kedua-dua arah.

Selain itu, setiap jalan dan lorong di sekitar Ijok turut dinaik taraf dan ditar dengan tar yang baru. Walaupun adalah sesetengah jalan dan lorong tersebut baru sahaja dibaiki beberapa bulan yang lalu.

Pada musim pilihanraya ini jugalah sekolah-sekolah dan dewan-dewan orang ramai yang telah dibina berpuluh tahun yang lalu dirasmikan oleh menteri-menteri dan pembesar BN. Peruntukan-peruntukan yang dipohon oleh rakyat sejak berpuluh tahun yang lalu dan tidak mendapat tindak balas dari wakil rakyat yang terdahulu masa inilah mereka akan mendapat dengan serta merta.

Inilah untungnya rakyat Malaysia yang telah hampir 50 merdeka. Amat malang bagi rakyat Malaysia sekiranya perkara-perkara sekecil inipun tidak mampu difikirkan secara rasional oleh mereka.

TV3 Mainkan Isu Anak Tempatan Di Ijok?

Kuala Selangor : Sesiapa yang menonton rancangan Berita jam 8.00malam tentunya sakit hati dengan pihak TV3 yang memainkan isu bahawa kononnya calon Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, bukan anak kelahiran N11 Ijok sebaliknya merupakan anak kelahiran DUN Jeram walaupun DUN Tersebut masih di dalam Parlimen Kuala Selangor.

TV3 yang sememangnya telah menjadi salah satu media rasmi Umno/ BN seolah-olah telah kehabisan isu dalam menghadapi PKR di dalam Pilihanraya kecil ini. Jika isu tempatan dan bukan tempatan yang dimainkan oleh TV3 bagaimana pula dengan calon BN, K. Parthiban?. Jika dikira, calon BN bukan sahaja anak kelahiran Ijok bahkan anak kelahiran luar Parlimen Kuala Selangor.

Partiban, yang dilahirkan di Raja Musa adalah anak klahiran DUN Permatang dan terletak di bawah Perlimen Tanjung Karang. Bukan itu sahaja, jawatan utama Partiban adalah sebagai Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Karang.

Sedangkan Khalid, masih lagi anak kelahiran Parlimen Kuala Selangor walaupun tempat kelahirannya dibawah DUN bersebelahan dengan Ijok. Manakala jawatan beliau didalam parti pula selain sebagai Bendahari PKR dan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor, beliau juga adalah Ketua PKR Bahagian Kuala Selangor.

Jadi jika dikira tempatan atau tidaknya calon PKR dan BN sudah tentu calon BN itu bukan anak tempatan. Lebih mengejutkan lagi ialah pemilihan Partiban sebagai calon BN mendapat tentangan hebat dari MIC Bahagian Kuala Selangor sendiri, apabila Ketua MIC Bahagian S.P. Thirumoorthy dan lebih 2,000 ahli-ahli MIC sekitar Ijok dan Kuala Selangor telah bertindak meletakkan jawatan dan bertindak keluar dari MIC.

Ahli UMNO tidak iktiraf calon BN?

Kuala Selangor : Jika sesiapa telah berkunjung ke Ijok tentunya merasa hairan kenapa poster calon Barisan Nasional (BN) K. Partiban, tidak kelihatan di kampong-kampong Melayu sedangkan yang ada hanya gambar Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo. Siapa sebenarnya calon BN di Ijok?

Adakah ahli-ahli Umno tidak mengiktiraf calon daripada MIC tersebut? Sebelum ini Umno Bahagian Kuala Selangor, dibawah dimpinan Dato’ Aminudin Setro, pernah menuntut supaya kerusi DUN Ijok diberikan kepada Umno kerana majoriti mengundi di kawasan tersebut ialah pengundi Melayu. Tetapi tuntutan tersebut tidak dilayan oleh pemimpin-pemimpin Umno dengan alasan kerusi tersebut adalah milik MIC.

Adakah ini merupakan langkah boikot secara senyap oleh ahli-ahli Umno di Ijok atau ia sebagai strategi Umno untuk mengaburi mata mengundi supaya terus mengundi BN yang ditentang oleh calon Parti KeADILan Rakyat (PKR) Tan Sri Khalid Ibrahim, yang berbangsa melayu.

Poster-poster Partiban hanya banyak kelihatan di simpang 3 Ijok, Pekan Batang Berjuntai dan kawasan yang mempunyai ramai pengundi India. Sedangkan poster dan kain rentang yang terpampang gambar calon PKR berada dimana-mana di kawasan N11 Ijok.

4/19/2007

Pertandingan satu lawan satu di N11 Ijok

Kuala Selangor : Bendahari Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, 61, akan ditentang oleh calon Barisan Nasional (BN), K. Parthiban, 38, dalam pilihanraya kecil N11 Ijok pada 28 April ini.

Pengumuman telah dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Haris Kasim, pada jam 11.00 pagi.

Penamaan calon dilakukan di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai dimulakan dengan perarakan kedua-dua penyokong parti pada jam 8.00 pagi. Calon PKR, Tan Sri Khalid, telah diiringi oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Dato’ Dr Wan Ismail, Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Ketua Wanita PKR, Hajjah Fuziah Salleh dan beberapa pemimpin PKR.

Turut mengiringi calon PKR ialah, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Hajah Lo’ Lo’ Dato’ Mohd Ghazali dan beberapa pimpinan PAS pelbagai peringkat.

Perhimpunan kedua-dua penyokong yang pada awalnya aman menjadi tidak terkawal apabila penyokong BN mula membuat provokasi dengan membaling botol air dan kayu bendera. Kejadian tersebut menyebabkan beberapa orang penyokong PKR mengalami kecederaan.

Parthiban, yang juga setiausaha MIC bahagian Tanjung Karang, mengemukakan kertas pencalonannya 20 minit selepas penamaan calon dibuka di Dewan Orang Ramai Batang Berjuntai pada 9.00 pagi. Pencalonan beliau dicadang oleh Rahim Mohd Yatim dan disokong Chong Yau Peng.

Abdul Khalid, yang juga merupakan Pengerusi PKR Selangor pula menyerahkan kertas pencalonannya pada 9.36 pagi. Pencalonan Khalid dicadangkan oleh Abdol Rahman Moharam dan disokong Mohd Yusof Abdul Rahim.

4/18/2007

Klik untuk besarkan

Tan Sri Khalid dipilih sebagai calon PKR dalam Pilihanraya kecil N11 Ijok

Kuala Selangor : Bendahari Parti KeADILan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim, telah diisytiharkan sebagai calon dalam Pilihanraya kecil N11 Ijok pada 28 April ini. Pengumuman itu telah dilakukan oleh Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Dato’ Dr Wan Ismail di hadapan lebih 5,000 orang.

Tan Sri Khalid yang juga Pengerusi PKR Negeri Selangor dilahirkan pada tahun 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram Batu 20, Kuala Selangor dan merupakan anak watan kebanggaan penduduk di kawasan tersebut dari dulu hingga kini.

Khalid Ibrahim mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Jeram sekitar 1956 dan menduduki peperiksaan Special Malay Class. Beliau seterusnya menyambung pelajaran di sebuah sekolah Inggeris di Kampung Kuantan.

Beliau kemudiannya lulus dengan cemerlang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Queensland, Australia.

Khalid Ibrahim, anak jati Kuala Selangor, kini Pengerusi Dana Amanah Mellenia Berhad dan ahli lembaga pengarah Sirim Berhad. Khalid Ibrahim juga dilantik sebagai penasihat Bank Pembangunan Islam Jeddah, sebuah syarikat pelaburan kewangan Islam yang tersohor.

Beliau juga merupakan Fellow Institut Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS), Majlis Produktiviti Kebangsaan dan Ahli Kehormat Majlis Penasihat Perniagaan Persidangan Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).

Bekas guru dan pensyarah institut pengajian tinggi ini pernah memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (1979-1994) dan Ketua Pegawai Eksekutif di Kumpulan Guthrie Berhad (1995-2003).

Penduduk Kuala Selangor selalu mengingati jasa Khalid Ibrahim yang membina pusat latihan penyelenggaraan jentera perindustrian dengan kerjasama UMW Berhad di Kuala Selangor. Pusat tersebut telah membantu memberi latihan kepada remaja miskin dari kawasan sekitar termasuk Ijok, sebelum diserapkan sebagai tenaga kerja di UMW Berhad. Pusat tersebut mula beroperasi dari tahun 1994 sehingga kini.

Khalid Ibrahim juga memperkenalkan Program Rakan Jaya Diri yang khusus untuk melatih pelajar-pelajar yang tercicir dari persekolahan. Mereka diberi peluang di Guthrie Berhad, dan diajar kemahiran komunikasi dan kemahiran asas pejabat bagi memudahkan mereka diserapkan berkerja di mana-mana syarikat.

Kedua-dua program ini berjaya menaik taraf kehidupan penduduk sekitar Kuala Selangor termasuk Ijok.

Turut hadir semasa perisytiharan itu ialah Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

4/17/2007

PKR Isytihar calon malam ini

Kuala Selangor : Parti KeADILAN Rakyat (PKR) akan mengumumkan calonnya yang akan bertanding di dalam Pilihanraya Kecil N11 Ijok pada malam ini bertempat di Bukit Badong, Batang Berjuntai.

Peristiharan calon PKR itu akan dilakukan oleh Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Antara yang akan hadir ialah, Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa dan Naib Presiden PAS, Dato’ Dr Hasan Mohd Ali, yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Semalam Barisan Nasional (BN) telah mengumumkan calonnya daripada MIC, K. Parthiban, 38. Pengisytiharan telah dilakukan di Dewan Harmoni Batang Berjuntai oleh Pengerusi BN Selangor, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Tetapi BN mengalami tamparan hebat apabila Ketua MIC Bahagian Kuala Selangor, S.P. Thirumoorthy dan lebih 2,000 ahli-ahli MIC sekitar Ijok dan Kuala Selangor telah meletakkan jawatan dan bertindak keluar dari MIC kerana parti tersebut tidak memilih calon dari MIC tempatan untuk mewakili DUN ini.

Penamaan calon bagi Pilihanraya Kecil Ijok telah ditetapka pada 19 April ini oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) manakala 28 April sebagai hari mengundi sekiranya ada pertandingan.

Mengikut daftar pemilih tersebut DUN N11 Ijok mengandungi 12,272 pemilih iaitu 12,233 pemilih awam dan 39 orang pemilih pos. Pengundi Melayu sebanyak 51.04 peratus, India 28.16 peratus dan Cina 20.59.

4/16/2007

Pemuda PAS Tanjung Karang siap sedia bantu Pilihanraya kecil Ijok

Kuala Selangor : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang bersiap sedia membantu jentera Pilihanraya Barisan Alternatif (BA) di dalam Pilihanraya Kecil (PRK) N11 Ijok yang akan diadakan pada 28 April 2007 ini.

Sebagai langkah awal Pemuda PAS Anjung Utara iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjung Karang dan Kuala Selangor telah mengadakan taklimat tertutup bagi membincangkan gerak kerja yang perlu dilakukan oleh Pemuda PAS dalam menghadapi PRK itu nanti.

Taklimat telah diberikan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir di Markaz PAS Batu 8 Ijok dan telah mendapat sambutan yang luar biasa darpada Pemuda seluruh Anjung Utara.

Hampir semua Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Tanjung Karang dan Pemuda PAS Cawangan-cawangan dalam Kawasan Tanjung Karang telah hadir mendengar taklimat tersebut. Selain itu sesi dialog turut turut diadakan selepas itu.

Pilihanraya kecil DUN Ijok diadakan berikutan kematiann wakilnya daripada MIC, Mendiang Dato’ K Sivalingam. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan 19 April 2007 untuk penamaan calon manakala 28 April 2007 sebagai hari mengundi sekiranya ada pertandingan.

Dalam Pilihanraya umum ke-11 tahun 2004 yang lalu, K Sivalingam memenangi kerusi DUN Ijok dengan majoriti paling tipis iaitu 1,649 menewakan calon KeADILan, Abd Rahman Moharam.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda Anjung Utara, Ustaz Jamsari Marsom yang juga Ketua DPP Sabak Bernam dan Ketua-ketua DPP Anjung Utara.

4/09/2007

Contohi akhlak Rasulullah s.a.w dalam setiap perkara

Parit 4, Sekinchan : Umat Islam wajib mengambil contoh perjuangan dan akhlak yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w setiap masa. Kerana pada diri Rasulullah adalah sebaik-baik contoh seperti yang digambarkan oleh Allah di dalam Al-Quran, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Ustazah Hajah Jamilah Ibrahim, sewaktu memberikan ceramah kelompok sempena sambutan Maulidur Rasul anjuran PAS Cawangan Parit 4 Kampong.

Antara sifat terpuji Rasulullah ialah, baginda bersifat lemah lembut walaupun sering mendapat cercaan dan penghinaan dari kaum Qurais. Oleh itu sebagai seorang pejuang yang mengikut jejak langkah baginda sewajarnya kita perlu bersifat sabar dalam menghadapi setiap mehnah di dalam perjuangan, katanya.

Beliau yang juga bekas seorang pendidik kesal dengan tingkah laku anak-anak remaja masa kini yang banyak terlibat dengan gejala sosial seperti Mat Rempit dan Minah Rempit. Sepatutnya gejala ini dibendung oleh pihak pemerintah bukan hanya menyalahkan ibubapa semata-mata.

Selain itu, menurutnya, gejala murtad yang semakin menjadi-jadi di kalangan orang Melayu juga amat membimbangkan, terdapat kes seorang pelajar perempuan yang bertudung tetapi dalam diam-diam pelajar tersebut memakai kalung berlambangkan salib. Ibubapa harus mengawasi tingkah laku anak-anak mereka supaya aqidah mereka tidak tergelincir, katanya yang juga Bekas Ketua DMP Pusat

Beliau juga menyeru supaya kaum ibu atau warga emas membanyakkan membaca buku-buku agama untuk mendalamkan pengetahuan mereka. Selain itu, libatkan juga anak-anak serta cucu-cucu supaya turut sama membaca buku-buku tersebut supaya mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah.

Ceramah yang julung-julung kalinya diadakan di cawangan tersebut telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan bukan sahaja dari muslimat tetapi juga muslimin. Antara yang hadir ialah Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Kosnon Kamit, Ahmad Arbian dan AJK Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, Ramlah

Gandingan muka lama dan baru terajui DPP Kawasan

Tanjung Karang : Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang kali ke-43 telah diadakan di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan telah dirasmikan oleh Setiausaha DPP Negeri Selangor, Azri Mohamad Arish.

Mesyuarat Agung dimulakan dengan Nyanyian Lagu Tema PAS diikuti dengan Unit Amal kemudian Ucapan Aluan oleh Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin dan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad.

Selepas itu majlis menyampaikan sijil watikah sebagai Jentera Pilihanraya Pemuda telah diberikan kepada Pemuda-pemuda yang telah menyertai Himpunan 15K Pemuda di Padang Perdana, Kota Bharu Kelantan akhir tahun lalu oleh YDP PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad. Selepas itu penyampaian sijil penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa (AJK) DPP Kawasan bagi sesi 2005/2007 dan sijil watikah pula telah disampaikan oleh Setiausaha DPPNS, Azri Mohamad Arish.

DPP Kawaan juga turut memberikan cenderamata penghargaan khas kepada seorang AJK DPP Kawasan yang telah meninggalkan DPP Kawasan atas faktor usia iaitu, Mohd Rosli Kamsani. Beliau menjadi AJK DPP Kawasan selama dua penggal iaitu sesi 2003/2005 dan 2005/2007 selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya. Cederamata telah disampaikan oleh Azri Mohamad Arish.
Diikuti dengan ucapan perasmian oleh Azri Mohamad Arish.

Mesyuarat Agung kali ini juga menyaksikan tiga jawatan utama DPP Kawasan kekal iaitu Ketua, Ustaz Mat Hasbullah Sudin, Timbalan Ketua, Nor Az Azlan Ahmad dan Naib Ketua, Abd Malek Abd Majid, tanpa bertanding.

Manakala bagi AJK DPP Kawasan sesi 2007/2009 pula menyaksikan perubahan besar dalam pemilihan AJK DPP Kawasan iaitu hanya dua penyandang kekal manakala selebihnya adalah muka baru, iaitu Mohd Faizal Mohd Barja (kekal), Mohamad Abd Majid (muka baru), Mubaraq Omar (muka baru), Jafarudin Daud (muka baru), Shahran Salleh (muka baru), Mohd Sofian Mohd Khalil (kekal), Norusabah Abd Ghani (muka baru) dan Jasul Jubri (muka baru).

Manakala jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Tetap juga kekal seperti sebelumnya iaitu, Haji Badarudin Kasim dan Mohd Ramdzan Rosman.

Turut hadir ialah AJK PAS Kawasan, Ustaz Kassim Kayat, Ahmad Arbian dan Pemerhati Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan, Norshidah Samat dan Rugayah Ramli.

4/06/2007

Klik untuk besarkan

Mesyuarat Agung Dewan Muslimat PAS Tanjung Karang kali ke-26

Tanjung Karang : Dewan Muslimat PAS (DMP) Kawasan Tanjung Karang telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-26 di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS) dan telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua DMP Negeri Selangor, Noraini Hussein.

Walaupun hujan turun lebat sejak awal pagi ia tidak menghalang perwakilan muslimat PAS Cawangan-cawangan untuk menghadiri Mesyuarat Agung tersebut.
Mesyuarat Agung dimulakan dengan nyanyian lagu tema PAS dan Unit Amal. Kemudian diikuti dengan persembahan multimedia DMP Kawasan Tanjung Karang diikuti dengan ucapan oleh Ketua DMP Kawasan, Ustazah Hajah Jamiyah Yusof sebelum ucapan perasmian oleh Noraini Hussein.

Di dalam mesyuarat agung kali ini juga menyaksikan tiga penyandang utama DMP Kawasan kekal seperti sebelumnya iaitu Ketua, Ustazah Jamiyah Yusof, Timbalan Ketua, Ustazah Hajah Maryuni Said dan Naib Ketua, Ustazah Hajah Siti Sabariah Hashim..

Manakala Ahli Jawatankuasa DMP Kawasan tidak banyak berlaku perubahan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Turut hadir ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan, Mohd Faizal Mohd Barja.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com