.comment-link {margin-left:.6em;}

PAS Kawasan Tanjung Karang

2/27/2006

Aqidah Sebagai Asas Utama Perjuangan

Sungai Gulang-gulang : Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. kata Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Ramli Sidom, sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Sungai Gulang-gulang kali ke-18 di Markaz PAS Sungai Gulang-gulang, Tanjung Karang.

Dengan kata lain, katanya, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.

Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh para nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan, ujarnya.

Peranan utama para rasul yang diutuskan Allah adalah mebawa petunjuk kepada hambaNya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu menyerus supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Esa dan menyeru supaya menjauhi taghut, ujarnya lagi.

Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu dengan terlaksananya syariatNya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran lain. Allah s.w.t menuntut agar agamaNya ini diletakkan mengatasi segala ajaran lain.

Seramai lebih 30 orang perwakilan telah menghadiri mesyuarat agung tersebut. Ustaz Ramli turut berkesempatan membuat cabutan bertuah.

2/25/2006

Teruskan berjuang samaada kalah atau menang

Bukit Belimbing : (Ahli-ahli PAS) perlu meneruskan perjuangan, kalah atau menang (dalam perjuangan) bukan kerja kita, kata Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir, sewaktu berucap dalam perasmian serentak mesyuarat agung PAS Cawangan Bukit Belimbing, Permatang dan Ujong Permatang di Markaz PAS Cawangan Bukit Belimbing, Tanjung Karang.

Perjuangan Islam adalah untuk mencari keredhaan Allah. Di Palestin rakyat Palestin setiap hari berhadapan dengan Israel. Tetapi HAMAS telah berjaya di dalam Pilihanraya di Palestin. Dua orang pemimpin HAMAS juga telah dibunuh secara kejam oleh tentera Israel iaitu Sheikh Ahmad Yassin dan Dr Abd Aziz Rantisi beberapa bulan kemudian, katanya.

Di Malaysia, menurutnya, Tidak ada orang lain yang boleh memperjuangkan Islam kecuali PAS. Sebagai contoh ialah, kes Sarjan Morthy @ Mohamad Abdullah, salah seorang pendaki Gunung Everest, yang telah memeluk Islam sebelum meninggal dunia, tidak ada seorang pun pemimpin Umno yang hadir semasa hari perbicaraan di mahkamah dan di tanah perkuburan Islam. Tetapi PAS telah diwakili oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, katanya lagi yang juga Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kelana Jaya.

Ekoran daripada peristiwa tersebut 10 orang menteri telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya perkara 121 (1A) dipinda bagi mengurangkan kuasa mahkamah syariah. PAS telah mengambil pendirian menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi menentang memorandum yang dibawah oleh 10 orang menteri kabinet tersebut.

Selain itu, menurutnya, Sebuah Badan Bukan Kerajaan, IFC (Inter Faith Commission) telah menuntut supaya memberi kebebasan beragama kepada semua rakyat yang berumur 18 tahun keatas. Dan salah satu pertubuhan yang terlibat dengan IFC ialah Sisters In Islam (SIS).

Tuntutan IFC tersebut telah ditandatangani oleh beberapa orang Ahli Parlimen dari Umno. Manakala salah seorang anggota SIS ialah, anak Bekas Perdana Menteri, Datin Paduka Marina Mahathir dan anak kepada Perdana Menteri, Nori Abdullah, katanya.

Begitu juga mengenai karikatur yang menghina Nabi Muhamad s.a.w oleh akhbar Denmark, PAS telah mengetuai perhimpunan aman di Kedutaan Denmark. Perarakan yang terbesar itu telah diketuai oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dari Masjid Kampong Baru sehingga Kedutaan Denmark.

Di akhir ucapannya, beliau mengharapkan agar semua pihak bersama-sama dengan PAS dalam isu berkaitan dengan Islam tanpa mengira fahaman politik. PAS, menurutnya, boleh menang dengan sokongan daripada semua pihak termasuk Umno dan atas pagar.

Perasmian mesyuarat agung serentak tersebut telah dihadiri oleh Ahli-Ahli Jawatankuasa dan ahli-ahli PAS ketiga-tiga cawangan.

2/21/2006

Teruskan berjuang untuk Islam walaupun tinggal seorang

Seri Gambut : Nabi Noh a.s telah berdakwah selama 1,000 tahun tetapi tidak ramai (manusia) yang mendokong perjuangannya, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Haji Abd Ghani Shamsudin, ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Parit 2 Terusan Besar dirumah Haji Zainal Saktam, Seri Gambut, Tanjung Karang.


Perjuangan dalam PAS, menurutnya, adalah untuk Islam dan setiap apa yang dilakukan adalah ibadah dan mendapat pahala kerana PAS membawa landasan agama.


Jangan berputus asa untuk berjuang dalam Islam. Kerana Syaitan sangat suka kepada orang yang berputus asa, biarpun hanya tinggal seorang tetapi teruskan berjuang untuk Islam, ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.


Selain itu katanya, nama Islam tidak boleh dipinda atau ditambah, kerana Islam yang dibawah oleh Rasulullah s.a.w sudah sempurna. Islam Hadhari adalah sebahagian daripada Islam Liberal yang diperjuangkan oleh musuh-musuh Islam.



Beliau mengigatkan dengan sebuah hadith yang menyebut, Di akhirat ramai sahabat Nabi yang datang minum di kolam Nabi. Manakala sebahagian lagi tidak dapat minum di kolam tersebut. Nabi berkata “Itu umat ku”. Tetapi Malaikat berkata “mereka telah menyelewengkan Islam selepas kewafatan Nabi”, ujarnya lagi.

Beliau juga kesal dengan penutupan satu-satunya akhbar melayu yang menggunakan tulisan jawi. Akhbar Melayu mati ditangan orang melayu. Untuk menghidupkan semula tulisan jawi perlu dihidupkan ruh Islam. Tulisan jawi perlu dipertahankan kerana ia adalah sebahagian daripada huruf al-quran, katanya.



Selain itu menurutnya, perjuangan berlandaskan kepada kebangsaan terbukti gagal seperti kerugian yang dialami oleh Sistem Penerbangan Malaysia Berhad (MAS), Proton, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Tabung Haji dan lain-lain.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang mengharapkan supaya setiap cawangan dapat menghidupkan usrah. Kerana jika usrah hidup PAS cawangan dengan sendiri akan hidup dan dapat perkembang.


Turut hadir ialah Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan, Abd Malek Abd Majid, yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan.

2/19/2006

Dewan Pemuda PAS (DPP) dan Unit Amal Kawasan Tanjung Karang mengadakan gotong-royong menanam rumput dan membersihkan padang Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS). DPP dan Unit Amal juga sedang merancang beberapa program riadah yang akan dilaksanakan di KOMPAS

Memperjuangkan Islam seperti memegang bara – Ustaz Ghani

Tanjung Karang : Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, berkata, zaman sekarang manusia lebih takut kepada manusia berbanding takut kepada Allah. Manakala golongan-golongan pemuda telah dilalaikan dengan program-program hiburan seperti sure heboh dan sebagainya.

Akhir zaman, menurutnya, orang yang berpegang kepada Islam seperti memegang bara. Cabaran yang paling besar dihadapi oleh Umat Islam ialah cabaran dari sudut aqidah.

Setiap ahli PAS harus mencontohi perjuangan gerakan Islam HAMAS di Palestin yang telah menang di dalam Pilihanraya di Palestin ketika Umat Islam di Palestin ditindas oleh Yahudi, ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Perjuangan yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w ialah berlandaskan kepada Islam. Oleh itu didik anak-anak supaya cintakan Rasulullah. Setiap Umat Islam wajib mengasihi Nabi Muhamad serta mengagung dan membesarkan baginda dengan cara berselawat kepada Nabi dan tidak membiarkan baginda dihina (seperti karikatur yang disiarkan oleh akhbar di Denmark.), ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang menyeru supaya membawa anak-anak muda lelaki dan perempuan ke dalam gerakan Islam seterusnya berpegang kuat dengan ajaran Islam kerana politik merupakan sebahagian daripada agama.

Di dalam ucapannya beliau juga memuji PAS Cawangan kerana telah membangunkan Laman Web PAS Cawangan yang menarik dan merupakan satu-satunya PAS Cawangan di Kawasan Tanjung Karang yang mempunyai laman web sedemikian. Beliau juga mengharapkan agar kandungan laman web tersebut di “update” (kemaskini) setiap masa supaya kelihatan lebih menarik.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah kali ke-7 di Bilik Gerakan PAS Cawangan Batu 9, di Sungai Tengi Kiri, Tanjung Karang. Turut hadir ialah YDP PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad
.

Perjuangan Islam seperti roda – Ustaz Musa Mohamad

Tanjung Karang : Jangan jadikan agama Islam hanya sebagai simbolik seperti yang dilakukan oleh Umno. Perjuangan (Umno) sudah kucar-kacir dan hanya berebut kepada kebendaan sahaja, kata Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang, Ustaz Musa Mohamad, semasa berucap di dalam Mesyuarat Agung PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

Setiap apa yang dilakukan oleh manusia akan ditimbang oleh Allah s.w.t (di akhirat kelak). Oleh itu jangan ragu-ragu dan takut untuk berjuang dengan PAS, ujarnya.

Perjuangan Islam, menurutnya, berputar seperti roda ada kalanya dibawah dan adakalanya di atas. Jangan jadi manusia yang berpegang kepada Islam ketika Islam berada diatas tetapi bilamana Islam berada dibawah ramai yang meninggalkan Islam, ujarnya lagi.

Beliau juga menyeru setiap ahli PAS supaya mengikuti kuliah-kuliah pengajian agama untuk memantapkan iman. PAS Kawasan Tanjung Karang setiap minggu tanpa henti mengadakan kuliah mingguan deenul Islam di Kompleks PAS DUN Sungai Burong (KOMPAS).

Mesyuarat Agung Tahunan PAS Cawangan kali ke-7 telah dirasmikan oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin. Mesyuarat agung tersebut yang diadakan di Bilik Gerakan PAS Cawangan Batu 9 Kampong Tengah, Sungai Tengi Kiri Tanjung Karang, telah dihadiri oleh lebih 20 orang ahli PAS Cawangan.

2/13/2006

Jahil punca siar karikatur hina Nabi Muhamad – Ustaz Ghani Shamsudin

Sungai Sireh : Setiap tahun seramai lebih 20,000 orang telah memeluk agama Islam di Amerika. Selepas tersiarnya karikatur yang menghina Nabi Muhamad s.a.w di dalam surat khabar di Denmark, semakin ramai orang yang ingin mengkaji mengenai Islam dan mengenali Nabi Muhamad s.a.w, Kata Ahli Majlis Syura Ulama’ PAS Pusat, Ustaz Abd Ghani Shamsudin, ketika berucap dalam perasmian serentak Mesyuarat Agung PAS Cawangan Ban 3 Parit 1 dan PAS Cawangan Lorong 2 Sungai Sireh, di rumah Haji Hamid, Sungai Sireh, Tanjung Karang.

Menurutnya, 12 karikatur yang disiarkan mengenai Nabi Muhamad s.a.w adalah berpunca daripada mereka yang jahil.

PAS katanya, banyak mengatur perancangan untuk menghadapi Pilihanraya (PRU) Umum tahun 2008. PAS juga banyak menghulurkan bantuan kepada orang ramai yang teraniaya antaranya ialah di perkampungan setinggan Bagan Hailam, di Klang, yang telah dirobohkan rumah mereka oleh Kerajaan Negeri Selangor, ujarnya

Beliau juga menyeru supaya setiap ahli PAS menguatkan semangat dan motivasi ahli-ahli PAS serta menambahkan keahlian PAS di kalangan pemuda, muslimat dan orang-orang tua, ujarnya lagi yang juga Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Tanjung Karang.

Ustaz Ghani yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, meminta ahli-ahli PAS mencontohi perjuangan HAMAS di Palestin yang ditindas tetapi telah berjaya mencapai kemenangan di dalam Pilihanraya di Palestin baru-baru ini dengan mendapat 76 kerusi Parlimen.

Turut mengadakan mesyuarat agung pada hari yang sama ialah PAS Cawangan Sungai Tengi Kiri pada sebelah pagi di Maahad Thahfiz Jamiul Hasanah, Batu 10 dan dirasmikan oleh YDP PAS Kawasan Sungai Besar, Ustaz Fadzlin Taslimin.

Manakala mesyuarat agung PAS Cawangan Jalan Bomba, Cawangan Tanjung Karang Pekan dan Cawangan Sungai Kajang telah diadakan pada waktu malam di Markaz PAS Sungai Kajang. Perasmian serentak mesyuarat agung tersebut telah dilakukan oleh Ustaz Dr Osman Sabran, Ahli Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

2/12/2006

Dewan Pemuda PAS Kawasan sertai puluhan ribu umat Islam behimpun di kedutaan Denmark.

Kuala Lumpur : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang telah menyertai demontrasi puluhan ribu umat Islam bagi membantah dan mengecam tindakan biadap sebuah surat khabar Denmark yang menyiarkan karikatur Nabi Muhamad s.a.w.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, telah mengetuai demontrasi tersebut yang dimulakan dengan perarakan selepas sembahyang jumaat dari Masjid Kampung Baru ke Kedutaan Denmark. Walaupun hujan turun dengan lebat, ia tidak menghalang orang ramai untuk menyertai perarakan tersebut.

Perhimpunan tersebut juga turut disertai oleh Pimpinan PAS Pusat, Parti KeADILan Rakyat (PKR), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Persatuan Mahasiswa.

Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abd Hadi Awang, Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu adalah antara pimpinan PAS yang berucap di dalam perhimpunan tersebut. Turut berucap ialah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Ustaz Dr Badrul Amin Baharum, Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Ibrahim Ali dan Wakil Persatuan Mahasisiwa.

Perhimpunan selama hampir 2 jam itu berjalan dengan aman dan telah diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Haji Ahmad Awang.

Antara pimpinan PAS yang hadir ialah, Ketua DPP Pusat, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin, Dr Lo’ Lo’ Dato’ Mohd Ghazali, Dr Syed Azman Syed Ahmad dan Dato’ Abu Bakar Chik.

2/09/2006

Meninggalkan UMNO Selepas peristiwa memali



Peristiwa pembunuhan As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya di Memali, Baling, Kedah pada tahun 1986 telah menyebabkan Haji Chamsari Kasaman, 67, bertindak nekad meninggalkan Umno bersama rakan-rakannya untuk menyertai PAS.

Haji Chamsari Kasaman dilahirkan pada 20 November 1939 di Kampung Sungai Gulang-gulang tetapi dibesarkan di Block Q Sawah Sempadan, Tanjung Karang. Bapanya Kasaman Mat Kasim adalah seorang petani manakala ibunya, Mahpin Abd Shukur, merupakan suri rumah sepenuh masa. Beliau merupakan anak sulong daripada 4 orang adik beradik, tiga lelaki dan seorang perempuan.

Pendidikan

Haji Chamsari mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Rakyat di Sawah Sempadan sehingga peringkat menengah. Kemudian beliau telah menyambung pelajaran di Sekolah Arab Mamba’ul Ulum, Dato’ Manan, Tanjung Karang sehingga mendapat Rabi’ Thanawi.

Keluarga

Selepas menamatkan pelajaran, beliau yang bekerja sendiri sebagai seorang petani telah mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Mariatun Kosnon, 56, pada tahun 1964. Beliau yang kini menetap di Kampong Sungai Gulang-gulang telah dikurniakan seramai 3 orang anak, seorang lelaki dan 2 orang perempuan.

Anak-anak dan menantunya telah mengikut jejak langkahnya sebagai aktivis PAS. Anak sulungnya merupakan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan Tanjung Karang, manakala anak ketiganya, Ruhayana, adalah Ketua Majlis Guru PASTI (MGP) Kawasan Tanjung Karang dan Setiausaha Jawatankuasa Muslimat PAS Cawangan Sungai gulang-gulang. Menantunya, Mohd Ramdzan Rosman, adalah Pengerusi PASTI Kawasan Tanjung Karang dan merupakan Timbalan Ketua DPP Kawasan Tanjung Karang bagi sesi 2003/2005 yang lalu.

Mula bergiat dalam politik

Haji Chamsari mula melibatkan diri di dalam politik sebagai ahli Umno Cawangan Sungai Gulang-gulang pada tahun 1971. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau sewaktu dalam Umno adalah Ketua Penerangan Umno Cawangan dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Gulang-gulang.

Peristiwa pembunuhan secara kejam ke atas As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya di Memali, Baling Kedah pada tahun 1986 telah mengubah pendirian politiknya. Beliau dan beberapa orang rakannya telah bertindak nekad meninggalkan Umno dan menyertai PAS, seterusnya menubuhkan PAS Cawangan Sungai Gulang-Gulang pada tahun yang sama, selepas beliau mendengar ceramah daripada Haji Mahfuz Omar.

Bermula pada tahun tersebut, beliau telah diamanahkan sebagai Ketua PAS Cawangan Sungai Gulang-gulang sehingga sekarang.

Di peringkat kawasan, Haji Chamsari, pernah memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Kuala Selangor seterusnya dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kuala Selangor di bawah dua YDP iaitu Haji Miskon Misani dan Norman Toha, sehingga tahun 2003.

Selepas persempadanan semula kawasan pilihanraya Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang yang dulunya terletak di Parlimen Kuala Selangor telah dimasukkan ke Parlimen Tanjung Karang.

Kemudian pada tahun 2003, di dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan Tanjung Karang, beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai Naib YDP PAS Kawasan Tanjung Karang sehingga tahun 2005. Manakala pada tahun 2005 beliau telah menarik diri sebagai calon Naib YDP. Walaubagaimanapun beliau telah dipilih oleh perwakilan sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Tanjung Karang bagi sesi 2005/2007.

Kegigihan dan keikhlasannya di dalam PAS terbukti apabila sebahagian daripada tanah di hadapan rumahnya telah dijadikan sebagai Markaz PAS Cawangan Sungai Gulang-gulang pada tahun 1993 seterusnya dijadikan sebagai Kelas untuk PASTI Mamba’ul Huda dan telah dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (kini Dato’ Seri Presiden PAS) pada tahun 1994.

Markaz tersebut merupakan markaz pertama yang didirikan di kawasan Kuala Selangor ketika itu.

Aktiviti Masyarakat

Selain bergiat aktif dengan PAS, Haji Chamsari juga terlibat secara aktif dengan kegiatan masyarakat. Beliau merupakan Imam 1 Masjid Sungai Gulang-gulang selain itu beliau juga telah menganjur dan mengendalikan kursus untuk bakal-bakal haji di Markaz di hadapan rumahnya pada setiap hari petang ahad.

Beliau juga turut menjadi naqib untuk kelas pengajian al-quran di surau berhampiran dengan rumahnya, selain turut mengajar kelas untuk para muslimat.

2/08/2006

DPP Tanjung Karang lawat rumah mangsa kebakaran

Sungai Sireh : Dewan Pemuda PAS (DPP) Kawasan telah melawat rumah mangsa kebakaran di Sungai Sireh, Tanjung Karang.

Kebakaran kira-kira jam 10.00 pagi itu berlaku dengan pantas dan dipercayai akibat daripada litar pintas. Orang ramai tidak sempat menyelamatkan barang dirumah berkenaan.

Sewaktu kejadian, Shafie sekeluarga tiada di rumah, kerana bekerja di kebun, manakala anak-anaknya sudah bekerja dan bersekolah. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

DPP Kawasan Tanjung Karang juga telah menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa. Sumbangan telah disampaikan oleh Ketua DPP Kawasan, Ustaz Mat Hasbullah Sudin.

Antara AJK DPP Kawasan yang membuat lawatan ke tempat kejadian ialah Naib Ketua, Abd Malek Abd Majid, Setiausaha, Mohd Faizal Mohd Barja dan Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DPP Kawasan, Mohd Rusli Kamsani.

2/06/2006

Umat Islam perlu berhijrah dari sudut sikap dan pemikiran

Dato’ Manan : Nabi Muhamad s.a.w berhijrah dari Makkah ke Madinah (ialah untuk) menyelamatkan umat dari api neraka kepada jalan yang lurus. Tetapi ada pihak yang yang menerima ajaran (yang dibawa) nabi sebahagian sahaja dan menolak sebahagian lagi, kata Ustaz Sallehen Mukhyi sewaktu berceramah sempena Ma’al Hijrah di Markaz PAS Cawangan Sungai Tengi Kanan, Kampong Dato’ Manan.

Sekarang tidak ada lagi hijrah tempat tinggal tetapi yang ada ialah hijrah dari sudut sikap dan pemikiran dari yang tidak baik kepada yang baik, ujarnya.

Menurutnya, Nabi Muhamad berjuang Islam bukan bermatlamat harta benda dan pangkat. Abu Jahal dan Abu Lahab menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh nabi kerana bimbang perniagaan yang mereka jalankan seperti menjual arak dan patung berhala akan ‘lingkup’ Apabila masyarakat Makkah mengikut ajaran Islam yang dibawa oleh nabi.

Berlainan dengan masyarakat Madinah yang telah menerima Islam di dalam hidup mereka, ujarnya.

Ceramah yang dianjurkan buat pertama kalinya di Cawangan tersebut sejak pilihanraya umum yang lalu telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Turut hadir ialah, Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan, Ustaz Musa Mohamad, Naib YDP Kawasan, Dr Mohd Yusof Abd Wahab, dan Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan, Ustaz Khairullah Junid.

2/01/2006

Tidak kecewa kekalahan di Pengkalan Pasir - Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat

Kota Bharu : Bila kita berjuang di atas nama Islam, maka contoh tauladan kita adalah Rasulullah s.a.w. Segala gerak geri baginda, suka dan duka adalah panduan. Dalam sejarah hidup Rasulullah tiga kali baginda mengalami ujian getir peperangan. Semasa perang Uhud patah gigi Rasulullah, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, di dalam wawancara majalah i keluaran Februari 2006.

Semasa perang Khandak pula, Rasulullah menderita berbulan-bulan lamanya apabila dikepung termasuk oleh bapa mertua sendiri. Begitu juga dalam peperangan Hunain banyak penderitaan yang terpaksa ditanggung. Namun nabi mengajar kita supaya tidak kecewa, yang dibolehkan adalah berasa dukacita, ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Dalam konteks pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, saya berasa dukacita bukan kerana PAS kalah, tetapi saya melihat sebagai kekalahan gerakan Islam. Jika kalah gerakan Islam, yang tinggal gerakan yang berasaskan fahaman lain samaada menggunakan fahaman kebangsaan atau nasionalis. Pada saya ini malang bagi masa depan umat Islam di Kelantan.

Saya selalu ingatkan ahli-ahli PAS supaya jangan banyak bercakap hal PAS atau hal parti bila kita berdepan dengan orang ramai. Ungkapan seperti sokonglah perjuangan PAS, marilah memahami usaha PAS perlu diubah dengan meperbanyak dakwah dan tarbiyah tentang ajaran Islam.

PAS hanya wadah yang boleh naik dan turun, boleh menonjol dan tenggelam. Tetapi Islam tidak akan lenyap di masa dan sampai bila-bila. Selagi bumi wujud, langit ada, selagi itulah Islam akan kekal. Ahli PAS kena ingatkan diri dan orang lain bahawasanya, kalau kita tidak mahu menjadi pendukung kebenaran, Allah SWT akan pilih orang lain. Jadi mana lebih baik, jadi pendukung atau berdiam diri.

Apabila kita bercakap tentang Islam, maka kita menyakinkan manusia tidak kira PAS atau Umno supaya percaya kewujudkan hari kemudian. Hari yang setiap amalan kita dinilai dan dibalas. Jika banyak kebaikan, belasannya Syurga. Sebaliknya apabila banyak kejahatan, balasannya adalah neraka. Sebagai pemimpin, saya antara orang yang pertama disoal oleh Allah SWT di padang mahsyar tentang apa yang telah saya lakukan, ujarnya lagi yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan.

Mengenai Kekalahan PAS di Pengkalan Pasir, Tuan Guru Nik Abd Aziz berkata, Antara kekuatan utama BN dalam setiap kali pilihan raya adalah kekuatan media. Semua saluran yang ada sama ada media cetak atau elektronik digunakan. Sedang pembangkang seperti tidak mempunyai saluran untuk menyuarakan pandangan. Yang ada hanyalah media cetak yang terhad dan saluran internet yang tidak dimiliki oleh semua orang. Ini satu kekurangan yang berlaku dalam amalan demokrasi.

Saya sedar peranan media ini penting mempengaruhi pemikiran rakyat. Sebab itu mula dapat kuasa dulu, saya memohon kepada menteri Penerangan untuk memperolehi lessen radio dan televisyen. Saya tertarik membuat ini kerana semasa pergi ke Lubnan, terdapat banyak saluran radio dan TV Islam yang beroperasi secara kecil-kecilan.

Tetapi permohonan tersebut tidak mendapat reaksi. Nampaknya wujud sekatan media kepada pembangkang yang pada saya salah dari segi demokrasi dan juga dari segi syariat Islam.

Menggulas mengenai hikmah disebalik kekalahan PAS di Pengkalan Pasir beliau berkata, Hikmah pada satu peristiwa itu biasanya meliputi tiga perkara. Pertama, tanbihulghafilin atau untuk mengejutkan manusia yang lalai. Ta’dibulassin atau balasan kepada orang yang membuat maksiat dan Taghfirzunub asad, sebagai kifarah atau balasan disebabkan dosa.

Boleh jadi orang PAS buat lalai selama ini sehingga Allah kejutkan. Atau buat maksiat sehingga Allah beri balasan. Atau buat dosa sehingga Allah balas semasa hidup di dunia ini. Inilah tiga hikmah yang boleh direnung, sekiranya satu perkara buruk menimpa kita, ujarnya lagi.




©1426/2005 pastgkarang.blogspot.com®
"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang (berperang) untuk membela agama-Nya, dalam satu saf yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff ayat 4)
dpptgkarang@yahoo.com